• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Dosa Menyeleweng Hakikat Sejarah dan Fakta

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Mufti Negeri Perlis)

Dalam sejarah manusia, ramai yang teraniaya hanya disebabkan oleh berita palsu yang direka terhadap seseorang. Penderitaan atau kezaliman cerita bohong atau penyelewengan fakta terhadap seseorang, bukan sahaja dirasai kesannya oleh individu berkenaan, sebaliknya juga orang ramai. Lihat sahaja apabila diselewengkan hakikat Nabi Isa daripada seorang insan yang diutuskan menjadi rasul diselewengkan kepada anak Tuhan. Hasilnya, satu umat merubah menjadi syirik dan tersasar dari agama yang sebenar. Adapun Nabi Isa, tetap mulia di sisi Allah namun yang menjadi mangsa ialah golongan jahil yang menelan penyelewengan fakta. Demikian Sayidina Ali, hakikat dirinya telah diselewengkan, sehingga lahirnya aliran Syiah telah memuja-mujanya melebihi yang sepatutnya melebihi kedudukan seorang nabi lalu tersasarlah satu mazhab di kalangan umat ini.

Sebab itu dosa para penyeleweng fakta dan hakikat sejarah bukan sedikit. Firman Allah: (maksudnya) Kecelakaan besar bagi orang-

orang yang menulis Kitab (Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini datang dari sisi Allah,” supaya mereka dapat membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. ( al-Baqarah: 79).

Dosa penyelewengan akan terus ditanggung selama mana pembohongan beredar di kalangan manusia. Justeru itu, kita sentiasa disuruh berhati-hati. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6: Wahai orang-

orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. Bukan sedikit dalam sejarah manusia yang menjadi mangsa hasil penyelewengan fakta. Bermula daripada para nabi, para sahabah Nabi s.a.w., tokoh-tokoh ilmu, para pemerintah sehingga kepada insan biasa. Semua kerana berita golongan yang hasad, menyimpan dendam kebencian, atau orang yang hobinya membuat cerita. Atas apa pun alasan, mereka yang menyelewengkan fakta memakai pingat kurniaan bergelar ‘fasik’ atau ‘orang jahat’ atau ‘ahli dosa’.

Umpamanya, entah berapa banyak kisah dusta yang direka oleh golongan Syiah untuk memburuk Muawiyah bin Abi Sufyan, sahabah Nabi s.a.w. hanya kerana dendam politik. Seorang tokoh sejarah, Munir al-Ghadban menyebut: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi – di dalam sejarah Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabah yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan. Sesungguhnya kebanyakan maklumat yang terlekat di pemikiran orang ramai telah diterima sebagai sesuatu yang tidak diragui lagi dan tidak boleh untuk dipertikaikan. Maklumat itu tidak bersesuaian sama sekali dengan darjat yang sepatutnya bagi seorang sahabah Nabi. Gambaran Muawiyah pada pemikiran orang ramai ialah seorang yang menuntut kuasa, ahli politik yang cekap, seorang yang mencari kesempatan, dia tidak pernah menghiraukan apa pun dalam usahanya untuk sampai kepada kekuasaan dan seorang yang bertarung kerana inginkan kuasa serta bertindak membunuh berpuluh-puluh ribu orang lain semata-mata untuk menjadi khalifah. Inilah gambarannya yang bertentangan dengan perasaan dan fitrah setiap muslim, namun tiada ganti baginya kerana buku-buku sejarah menyebut demikian. (Munir al-Ghadban, Muawiyah bin Abi Sufyan, m.s. 5 Syria, Dar al-Qalam).

Demikian riwayat-riwayat bohong yang menggambarkan Khalifah Harun al-Rasyid suka berfoya-foya. Bahkan masyhur di kalangan sesetengah masyarakat bahawa dia sering ditipu oleh ‘kaki belit’, Abu Nawas. Ramai yang membaca kisah bohong itu dan tersengih melihat bagaimana dia berjaya mempersendakan Khalifah Harun al-Rasyid. Sedangkan kata Ibn Khaldun (meninggal 808H): “Adapun apa yang dipalsukan oleh hikayat mengenai Harun al-Rasyid yang selalu meminum arak dan mabuk seperti mabuknya kaki arak, Allah memelihara daripada itu semua! Kita tidak pernah tahu dia seorang yang berbuat jahat. Mana mungkin ini semua dengan keadaannya yang melaksanakan tanggungjawab agama dan keadilan bagi kedudukannya sebagai khalifah. Seorang yang mendampingi ulama dan aulia. Selalu berbincang dengan al-Fudail bin ‘Iyad, Ibn al-

Sammak dan al-‘Umari. Selalu berutusan surat dengan Sufyan al-Thauri, menangis mendengar nasihat mereka, berdoa di Mekah ketika tawaf, kuat beribadah, menjaga waktu solat dan hadir solat subuh pada awal waktu.” (Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, m.s. 17, Beirut: Dar al-Fikr).

Kadangkala kebencian dan dendam membawa sesetengah pihak menghalalkan diri mereka mencipta kisah dusta memfitnah orang lain. Kemudian orang ramai pula menelankan tanpa menyedari bahawa jika itu satu fitnah pembohongan, mereka akan dihukum oleh Allah pada hari kiamat kelak kerana menyebarkan fitnah terhadap muslim yang lain. Apatah lagi jika muslim itu sahabah Nabi s.a.w. atau orang soleh atau tokoh ilmuwan Islam. Sekalipun jika individu itu bukan terkenal sebagai orang soleh dan baragama, kita tidak boleh menzaliminya dengan membuat cerita bohong terhadapnya. Lihatlah apa yang dilakukan oleh penyelewengan sejarah terhadap Yazid bin Muawiyah dengan menuduh dia membunuh cucu Nabi s.a.w. Sayidina Husain bin Ali. Sehingga dia dilaknat dan ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan. Padahal tiada bukti pun yang menunjukkan demikian. Kata Ibn Taimiyyah (meninggal 728H): “Yazid bin Muawiyah lahir pada zaman khalifah ‘Uthman bin ‘Affan. Beliau tidak bertemu dengan Nabi s.a.w. dan tidak termasuk dalam kalangan sahabah dengan sepakat ulama. Dia juga tidak termasuk di kalangan yang terkenal dengan agama dan kesolehan. Dia adalah salah seorang pemuda muslimin. Dia tidak kafir atau zindik. Memegang jawatan selepas ayahnya dengan kebencian sebahagian kaum muslimin dan reda sebahagian yang lain. Dia adalah seorang yang berani dan bermurah hati. Dia bukan seorang yang menzahirkan perkara-perkara keji (maksiat) seperti yang dituduh oleh musuh-musuhnya.” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 2/

253, Riyad: Maktab al-‘Abikan).

Adapun peristiwa pembunuhan cucu Nabi s.a.w. Husain bin Ali tidak ada bukti dia menyuruhnya atau terlibat dengannya. Bahkan ahli sejarah yang adil meriwayatkan beliau menangis atas kematian Husain dan melaknat pembunuhnya. Penduduk Syam turut menangis. Bahkan hubungan baik Yazid dan anak Sayidina Husain iaitu Ali bin Husain berterusan selepas itu. Mereka sering mengutus surat. Bahkan Ali bin Husain menganggap yang membunuh ayahnya adalah Syiah di Kufah yang menjemput ayahnya dan menipunya. Cuma Yazid dipertikaikan kerana tidak membunuh balas terhadap pembunuh Husain. Kata Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh Husain. Riwayat yang dipercayai menyatakan perintah membunuh al-Husain datang dari orang yang mengepalai pembunuhannya iaitu ‘Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu.” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid, Kaherah: Dar al-Sahwah).

Maka, kita dapat menerima sesetengah pihak yang memudah-mudahkan menerima kisah buruk hanya kerana yang dikaitkan itu artis atau orang politik atau orang yang tidak dipandang tinggi dalam agama. Dosa tetap dosa. Para wartawan hendaklah sedar. Jangan dalam keghairahan mengejar berita sensasi, mereka melanggar hak-hak insan yang dipelihara agama.

Para ulama juga bukan sedikit yang menjadi mangsa penyelewengan fakta. Cumanya fitnah terhadap tokoh-tokoh ilmuwan agama ini kebanyakannya lahir dari sentimen ketaksuban sesama golongan agama itu sendiri. Hal ini mengenai pelbagai tokoh termasuk al-Imam al-Syafii, al-Bukhari, Ibn Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahhab dan ramai yang lain. Contohnya, di sana ada kitab yang dusta mengenai al-Rihlah ila al-Rasyid (Kembara Menuju Harun al-Rasyid) yang disandarkan secara palsu kepada al-Imam al-Syafii. Dalam kitab tersebut banyak riwayat yang bohong dan karut. Antara ianya mencerita bahawa Al-Imam al-Syafii bertemu dengan al-Qadi Abu Yusuf (w 182H), tokoh utama mazhab Abi Hanifah di Baghdad, sedangkan al-Qadi Abu Yusuf meninggal sebelum al- Imam al-Syafii masuk ke Baghdad. Lebih buruk lagi ia menceritakan tokoh terkenal ulama Islam al-Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani (w 189H) dan juga al-Qadi Abu Yusuf merancang agar al-Imam al-Syafii dibunuh dengan membuat dakwaan terhadapnya di hadapan khalifah. Ini adalah fitnah besar terhadap kedua imam agung tersebut. Kedudukan kedua-dua imam itu memustahilkan mereka melakukan perkara yang seperti itu. Kisah ini semata-mata untuk memperlihatkan ketaksuban kepada imam al-Syafii. Semuanya datang daripada ‘Abd Allah bin Muhammad al-Balawi, seorang pendusta. Malangnya beberapa tokoh memetik apa yang diriwayatkannya tanpa menjelaskan pembohongan isi kandungannya. Sedangkan menurut kajian al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) al-Imam al-Syafii datang ke Baghdad pada tahun 184H. Beliau berdialog dengan al-Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani di hadapan khalifah Harun al-Rasyid. Muhammad bin al-Hasan memuji al-Imam al-Syafii disebabkan kebijaksanaannya. Sehingga beliau memuliakan al-Imam al-Syafii dan mengambilnya sebagai tetamu. Adapun Al-Qadi Abu Yusuf telah meninggal setahun, atau dua tahun sebelum itu. (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/263, cetakan Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah, Beirut).

Demikian fitnah yang dikenakan kepada Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah. Hanya kerana hasad dan taksub. Di Malaysia ini pun ada ‘tukang penyebar fitnah terhadap Ibn Taimiyyah’. Tujuannya agar cubaan membawa Islam dengan lebih terbuka dan ilmiah dapat dihalang. Maka seperti biasa Ibn Taimiyyah dituduh sebagai wahhabi, padahal dia meninggal pada tahun 728H dan al-Imam Muhammad Abdul Wahhab lahir pada 1115H, iaitu hampir empat ratus sebelum kelahiran Muhammad bin Abdul Wahhab. Ilmu Ibn Taimiyyah juga jauh mengatasi keilmuwan Muhammad bin Abdul Wahhab. Ibn Taimiyyah telah membayar harga yang mahal untuk perjuangan pembaharuan yang dilakukan pada zamannya. Setiap kali gerakan perbaharuan berlaku, sejarah akan mengenangnya. Musuh-musuh pembaharuan pula akan membangkitkan semula fitnah terhadapnya. Pada zamannya musuh-musuh beliau dari kalangan ahli-

ahli khurafat, syiah dan tarikat yang melampau telah menabur fitnah yang begitu dahsyat terhadap beliau. Dengan harapan, jatuhnya Ibn Taimiyyah, dapatlah mereka bermaharajalela. Tokoh dakwah terkenal Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi, dalam bukunya “Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah” menceritakan bagaimana golongan yang sesat berusaha agar Ibn Taimiyyah dipenjarakan. Apabila dipenjarakan, mereka kembali berani menyebarkan kesesatan. Maka, para ulama pada zaman tersebut mulai sedar betapa besar dan pentingnya peranan Ibn Taimiyyah. Mereka mula menulis surat, merayu dan membelanya di hadapan pemerintah, sehingga al-Nadwi menyebut: “Ahli bidaah dan hawa nafsu yang cuba untuk menonjolkan diri sebagai bermazhab Ahli sunah, untuk menipu para pemerintah dan hakim (agar menangkap Ibn Taimiyyiah). Sebaik sahaja berjaya penipuan mereka, maka orang ramai pun nampaklah kejahatan mereka, dan golongan tersebut mulalah menonjol dan tidak bersembunyi lagi.” (Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi, Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah, Kuwait: Dar al-Qalam) Jika kita perhatikan tokoh-tokoh umat pada zaman lalu dan kini, mereka banyak mengambil manfaat daripada khazanah Ibn Taimiyyah. Lihat alNadwi yang saya sebutkan di atas. Demikian juga al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut “Al-

Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku.” (Al-Qaradawi, Kaif Nata‘amul ma‘a al-Sunnah, Mesir: Dar al-Wafa).

Justeru, kita hendaklah berhati-hati dengan fitnah dan khabar buruk yang disebarkan. Orang yang difitnah tidak rugi di sisi Allah selagi dia ikhlas dan lurus dengan Allah. Namun yang memfitnah dan menyebarkan fitnah, akan menanggung bebanan dosa itu. Janganlah kita jadi seperti masyarakat lalat hijau yang gemarkan bahan busuk, dan akan mati jika disiram air wangi. Dengari firman Allah (maksudnya): Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita dusta itu segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan mendapat hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri mereka sendiri (sesama mukmin) dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.” (surah al-Nur 11-12).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)