• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Dunia Diuji Syurga Dinikmati

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

BERAPA ramai manusia yang hanyut kerana duniawi; mereka terus berkhayal, umur yang semakin meningkat tidak dihiraukan sehinggakan hidup mereka hampa dan merugikan.

Begitulah apabila hati sudah 'jatuh hati' dengan dunia sehingga melupakan akhirat. Kita semua mengetahui, kesempatan hidup di dunia ini hanya sementara.
Janganlah nafsu dunia saja di turutkan kerana pada satu masa nanti kita pasti akan ‘berpisah’ dengannya. Kematian, berlaku setiap hari malah mungkin ada di kalangan kaum keluarga, sanak saudara atau teman rapat kita sudah dijemput menghadap Ilahi.

Bermakna urusan mereka di dunia ini sudah selesai. Yang terus subur ialah amalan yang mereka lakukan ketika hidup dulu; jika baik mereka pasti 'pulang' dengan aman dan mendapat keuntungan.

Kehidupan di dunia sebenarnya tempat persinggahan sementara untuk manusia mengutip bekalan secukupnya sebelum menuju ke destinasi terakhir dan kekal abadi iaitu akhirat.

Imam Al-Ghazali berpesan: "Ketahuilah bahawasanya dunia ini adalah tempat singgah untuk sementara waktu, bukan tempat tinggal yang sebenarnya, sedangkan manusia di dalamnya selaku musafir yang sedang berkelana. Awal pertama manusia singgah dalam perut ibunya, dan yang terakhir manusia singgah di liang kubur.
Manusia masih dalam perjalanan, dan yang dituju adalah kampung halaman yang kekal, iaitu (kampung akhirat)".

Kebahagiaan di akhirat tidak mungkin dinikmati tanpa melakukan amalan baik ketika di dunia seperti menafkahkan harta di jalan Allah, bersedekah, berzakat serta melaksanakan ibadah wajib seperti solat.

Umat Islam perlu sentiasa berwaspada agar tidak berlaku pengabaian antara kedua-dua tuntutan berkenaan dalam kehidupan seharian.

Sebagai iktibar, pada zaman Nabi Musa ada seorang lelaki yang kaya raya bernama Qarun. Dia adalah manusia yang sangat bakhil serta derhaka terhadap perintah Allah sehingga hartanya yang banyak itu tidak sedikit pun mendatangkan manfaat dalam hidupnya.

Di dalam Al-Quran disebutkan mengenai kekayaan Qarun; dia seorang yang berlagak di hadapan orang ramai malah ramai yang ingin menjadi sepertinya dengan memiliki rumah besar serba indah dengan perkakasan mewah serta pakaian yang indah-indah.

Disebabkan sifat bakhil yang menebal dalam dirinya itu menghalang dia daripada berzakat untuk diberikan kepada mereka yang berhak.

Dia menyangka seolah-olah akan kekal dengan kekayaannya itu dan terus bersikap sombong.

Qarun lupa kekayaan yang dimilikinya itu adalah kurniaan Allah. Akhirnya Qarun diseksa oleh Allah dengan rumah serta hartanya terkubur sekali bersama.

Allah berfirman yang bermaksud: "Kemudian Kami benamkan Qarun itu berserta rumahnya ke dalam tanah, maka tiada satu kaum yang dapat menolongnya selain dari Allah, sedang ia tidak mendapat pertolongan apa-apa." (Surah Al-Qashash ayat 81).

Ketahuilah apabila kita ditimpa penyakit, itu sebenarnya kita sedang diuji dengan kesabaran dan reda. Begitu juga apabila kita hidup dalam kesusahan, kita sedang diuji dengan kekufuran dan jika menjadi kita kaya raya, ingatlah itu bentuk ujian bagi melihat sama ada kita bersyukur, dan kuat bersedekah atau hidup dalam kesombongan.

Umat Islam perlu sentiasa berwaspada agar tidak berlaku pengabaian antara kedua-dua tuntutan berkenaan dalam kehidupan seharian.

Penceramah, Ustaz Harryanto Rizal Rokman berkata takrifan kepada kehidupan dunia ialah setiap perkara yang manusia nikmati secara sekarang manakala syurga adalah penghidupan selepas mati.

Sememangnya dunia begitu dekat dengan manusia. Syurga pula perkara kemudian yang tidak nampak dengan mata kasar manusia tetapi di dalamnya penuh dengan kelazatan dan kenikmatan.

Dunia adalah mazratul akhirat (jambatan menuju akhirat). Amalan manusia di dunia akan menentukan nasib di akhirat sama ada mereka menuju ke syurga atau neraka,” katanya pada majlis Forum Hal Ehwal Islam bertajuk ‘Dunia Diuji, Syurga Dinikmati’ anjuran bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Balai Berita, Jalan Riong, baru-baru ini.

Beliau berkata manusia barangkali berebut-rebut melakukan amalan soleh jika dapat mengetahui serta memeriksa baki dalam akaun simpanan mereka.

Ia bolehlah diumpamakan seperti dapat menyemak akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang hanya boleh dikeluarkan selepas seseorang itu bersara kelak.

Sudah tentu kita akan gembira apabila mendapati jumlah wang terkumpul di dalam akaun simpanan kita meskipun tidak dapat menggunakannya lagi.

"Jika Allah memberi peluang kepada kita ‘menyemak’ pahala seperti itu sudah tentu kita mengetahui banyak mana amalan yang sudah kita dilakukan selama ini," katanya.

Beliau berkata untuk sampai ke syurga sememangnya manusia akan terus diuji dengan pelbagai cabaran.

Benar, manusia akan berasa kehilangan apabila mereka jauh dengan dunia. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 hingga 157 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami uji manusia itu dengan bermacam-macam ujian, adakalanya dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, kematian dan kekurangan buah-buahan, berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar atas cubaan itu. Iaitu orang-orang yang ditimpa musibah (malapetaka) mereka berkata:
"Sesungguhnya kami ini kepunyaan Allah dan akan kembali kepada-Nya, untuk mereka rahmat dari Tuhannya serta anugerah dan mereka itu mendapat petunjuk."

Jelas kepada kita ujian yang didatangkan kepada kita memang payah untuk melaksanakannya kerana agama ini sifatnya berlawanan dengan nafsu.

"Jadi untuk menjadi seorang yang baik, berdamping dan duduklah sekali dengan mereka yang suka melakukan kebaikan," katanya.

Penceramah, Ustaz Abdul Halim Din berkata, di dalam Al-Quran terdapat sebanyak 115 kali perkataan dunia dan akhirat dinyatakan.

Perlu ada keseimbangan antara dunia dan akhirat namun Islam meletakkan akhirat terlebih dahulu. Dalam Surah Al-Qashash ayat 77 yang bermaksud: "Dan carilah apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) kampung akhirat, dan jangan kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada manusia), sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang berbuat bencana."

Sebab itu, setiap kali bangun daripada tidur kita perlu menyoal beberapa soalan iaitu siapa diri kita, untuk apa kita berada di dunia ini dan ke mana kita akan pergi selepas ini,” katanya.

Abdul Halim berkata anak muda terutamanya perlu sentiasa mendidik hati mereka dengan kecintaan terhadap penghidupan akhirat.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Dua nikmat yang manusia sering lupa dan alpa ialah kesihatan dan waktu atau usia yang Allah berikan". (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ujian terhadap orang muda ialah mereka tidak ada rasa tanggungjawab sehingga menyebabkan matinya perasaan. Mereka perlu segera bangkit dan sedar kenapa mereka lahir sebagai seorang Muslim?

Jangan terus hanyut dengan masalah sosial serta mengamalkan hiburan secara berlebihan kerana sekarang orang bukan Islam melihat orang Islam tidak berakhlak.

Jadilah seperti Usamah Zaid, Fatimah Az-Zahrah dan Mus’ab Umair yang menjadi individu penting yang memperjuangkan Islam,” katanya.


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)