• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Elak Hati Mati

MEGA: Saban tahun kita menyambut Israk Mikraj. Namun tidak banyak realiti yang dapat kita realisasikan. Mengapa ini berlaku?

DZULKARNAIN: Sebab utama pelbagai realiti dalam peristiwa Israk Mikraj itu tidak dapat direalisasikan oleh umat Islam berkait dengan iman.

Hanya orang beriman sahaja yang dapat membuat kerja-kerja dakwah. Malah peristiwa yang dilalui oleh Baginda SAW itu juga adalah satu daripada proses saringan yang dilakukan oleh Allah kepada umat Islam ketika itu.

Sebabnya, berapa ramai yang tidak percaya apabila Nabi SAW menceritakan pengalamannya kepada penduduk Mekah ketika itu. Ini termasuklah bapa saudara nabi, iaitu Abu Jahal.

Namun, kalau kita melihat kepada aspek yang lain, kita dapati bagaimana keimanan Abu Bakar yang apabila ditanya oleh Abu Jahal, "adakah kamu percaya bahawa Muhammad dibawa ke langit dan menemui Allah dalam tempoh sehari semalam", maka dengan tegas Abu Bakar menjawab, "jika benar demikian itu kata-kata Muhammad, lebih daripada itu aku percaya".

Inilah yang membawa kepada gelaran al-Siddiq (yang membenarkan) yang diberi oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Abu Bakar.

Peristiwa ini juga menunjukkan kekuasaan Allah dan kepentingan kita beriman kepada perkara yang ghaib. Hal ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Iaitu orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib. (al-Baqarah: 3)

Perkara ghaib adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat atau dirasa dengan pancaindera yang biasa. Namun ia diakui dan diyakini berdasarkan dalil-dalil yang boleh diterima oleh akal yang sempurna.

Sememangnya Israk dan Mikraj itu juga adalah merentas alam masa depan dan juga masa lampau apabila Rasulullah dipertemukan dengan Nabi Musa dan mengimamkan solat dengan para nabi yang lain.

Firman Allah yang bermaksud: Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia dengan ilmunya dan kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia. (al-Israk: 60)

Nikmat syurga dan azab neraka diakui benar. Tetapi mengapa kita masih alpa dan lalai dalam melakukan ibadat?

DZULKARNAIN: Semasa Israk dan Mikraj, Nabi bertemu dengan seorang wanita cantik yang memperagakan perhiasan dirinya. Alhamdulillah Baginda tidak terpedaya dan berhenti di situ.

Lalu Jibril memberitahu Nabi bahawa wanita itu adalah kiasan kepada umat Baginda yang kasihkan dunia atau hubbud dunya.

Sehinggakan ada di kalangan kita yang tidak fikir soal halal-haram yang pentingnya, apa yang dihajati tercapai.

Saya melihat terlalu banyak hiburan dalam kehidupan masa kini. Lihat sahaja program-program yang ada dalam televisyen hari ini. Banyaknya lebih kepada yang lagha (melalaikan) walaupun tidak dinafikan ada rancangan agama.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati. (riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).

Sebab itu, kita lihat anak-anak atau remaja zaman sekarang nakalnya lain macam. Kalau dulu-dulu, nakal mereka setakat mandi sungai saja tetapi sekarang sampai boleh bergaduh dalam surau!

Salah satu peristiwa penting dalam Israk Mikraj adalah kefarduan solat lima waktu. Dan Nabi telah ditunjukkan betapa azabnya orang yang meninggalkan solat. Mereka ini menghantuk kepala di batu sehingga pecah dan kemudian dengan kuasa Allah kepala itu bercantum semula. Selepas itu dihantuk lagi.

Sayangnya, ada di kalangan umat Islam yang tidak merealisasikan ibadat solat ini. Apabila diadakan ceramah tentang Israk Mikraj atau pun bila tiba bulan Rejab, barulah barangkali mereka teringat tentang amaran Allah tentang golongan yang lalai dan lupa mengerjakan solat.

Malah bukan lagi rahsia, ada di kalangan umat Islam yang hanya solat apabila tiba Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha. Ini yang disebut sebagai 'hati mati'.

Keadaan beginilah yang paling kita bimbang. Ia telah dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah meterikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya, dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. (al-Baqarah: 7)

Peristiwa ini berlaku selepas tahun dukacita di mana Nabi diuji dengan kematian isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib yang banyak membantu dalam kerja dakwah. Apakah falsafah di sebalik peristiwa ini?

DZULKARNAIN: Ini menunjukkan kepada kita bahawa kerja dakwah bukan mudah. Kita akan sentiasa berhadapan dengan cabaran dan ujian. Buktinya, Nabi SAW sebagai kekasih Allah pun diuji dengan pelbagai keadaan dan tekanan. Inikan pula kita sebagai manusia biasa.

Begitu juga Nabi Musa yang dihalau keluar oleh kaumnya dari negerinya Mesir.

Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua-dua insan yang disayangi baginda semakin bertambah di mana jika kita perkirakan dari segi logik akal, maka Islam pasti akan terkubur.

Namun kuasa Allah SWT melebihi segala-galanya di mana selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, Nabi telah 'dihiburkan' dengan Israk dan Mikraj. Seterusnya diizinkan berhijrah ke Madinah sehingga membina daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah.

Dalam peristiwa di Taif di mana penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam, malah telah melontar batu ke arah Nabi sehingga berlumuran darah.

Kita dapat melihat nabi diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit di bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh Nabi sebagaimana baginda menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan meruntuhkan bukit ke atas penduduk Taif.

Bagaimana untuk mengelak daripada 'hati mati'?

DZULKARNAIN: Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Orang yang hatinya mati tidak dapat membezakan antara kebaikan dengan keburukan. Mereka tidak dapat merasai kemanisan apabila melakukan perkara yang baik.

Ingatlah amaran Allah kepada golongan begini menerusi firman-Nya yang bermaksud: Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata. (al-Zumar: 22)

Rasulullah SAW bersabda tentang cara bagaimana memastikan hati kita tidak mati. Sabda baginda yang antara lain bermaksud ada lima perkara bagi mengelak hati mati.

Pertama, jangan tinggal majlis-majlis ilmu; jangan tinggal zikir pada Allah. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Ketahuilah! Dengan mengingati Allah (zikir) itu tenang tenteramlah hati manusia. (al-Ra'd: 28)

Ketiga, jangan lupa membaca al-Quran, jangan tinggal bangun malam untuk qiamullail dan jaga pemakanan daripada yang syubhat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)