• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Fitnah Telefon Bimbit

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

SEJAJAR dengan kemajuan teknologi maklumat (IT) yang bergerak pantas, kita mempunyai banyak pilihan mendapatkan maklumat.

Kita tidak hanya bergantung kepada media massa untuk mendapatkan berita kerana banyak media pilihan boleh dijadikan sumber maklumat.


Paling dominan ialah telefon bimbit, kerana cirinya lebih mesra pengguna dan kos yang murah menyebabkan segala urusan menjadi mudah.

Alat komunikasi itu yang diperkenalkan di Jepun 30 tahun lalu, bukan sekadar penghubung komunikasi malah dilengkapi pelbagai fungsi seperti aplikasi e-mel, siaran radio, televisyen dan capaian internet.

Kajian mendapati ada 3.3 bilion pengguna telefon bimbit pada 2007 dengan 2.4 bilion pengguna mesej pesanan ringkas (SMS).

Ini membuktikan telefon bimbit sebagai media interaktif popular bagi penduduk dunia.

Asasnya, media itu membawa kebaikan, tetapi ia tidak sunyi daripada keburukan, khususnya apabila jatuh di tangan golongan tidak bertanggungjawab.

Golongan terbabit akan menggunakannya sebagai saluran menabur fitnah, membuka aib orang lain dan menyampaikan maklumat tidak tepat hingga bertentangan dengan prinsip agama.

Fitnah secara umumnya bererti menyebarkan sesuatu yang palsu seperti berita, cerita, gambar dan rakaman yang tidak benar, khusus membabitkan hal yang menjatuhkan imej dan personaliti orang lain.

Dalam al-Quran istilah ini dikatakan mempunyai pelbagai makna, tertakluk kepada konteks ayat seperti bermakna syirik, ujian dan cubaan, seksa, dosa, kekufuran, pembunuhan dan kebinasaan, berpaling dari jalan benar dan sesat.

Makna yang boleh difahami melalui hadis, seperti perselisihan dan peperangan, ujian dan cubaan, melalaikan dan melekakan, kemungkaran dan maksiat, tertakluk kepada keadaan.

Bagaimanapun, fitnah bagi pemahaman orang Melayu ialah penyebaran berita bohong atau desas-desus mengenai seseorang yang tidak selaras dengan kenyataan dan kebenaran.

Semua itu dilarang keras dalam Islam, namun disebabkan dengki, suka mengadu domba dan memutarbelitkan fakta oleh segelintir pihak menyebabkan perbuatan itu tidak pernah sunyi dalam kehidupan masyarakat.

Perbuatan fitnah sangat kejam dan balasan kepada yang melakukannya sangat keras. Huzaifah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak masuk syurga orang yang suka menabur fitnah." (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, bagi mengelak daripada terpengaruh dengan maklumat palsu dan berunsur fitnah, kita bertanggungjawab menyelidiki dulu. Ini sesuai dengan firman-Nya, bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, selidikilah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada sesuatu kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan." (Al-Hujurat: 6)

Selain itu, blog iaitu laman sesawang yang diselenggara secara individu, bagi menyampaikan maklumat dan komentar mengenai sesuatu topik, terutama yang menarik minat masyarakat turut diminati masyarakat.

Blog memberikan kebebasan kepada pemiliknya memuatkan maklumat termasuk berbentuk gambar dan klip video digemari, namun kebebasan itu bukanlah lesen besar untuk menabur fitnah, membuat tuduhan, hasutan dan mencetuskan suasana tidak harmoni.

Laman sesawang terbabit seharusnya tidak menjadi gelanggang untuk tuduh-menuduh yang akhirnya menimbulkan suasana tidak tenteram, bahkan setiap komentar harus diberikan secara adil.

Islam melarang umatnya terbabit dengan perbuatan keji dan tidak membina, termasuk fitnah dan tuduhan palsu. Malah, dalam bab menuduh perbuatan keji (zina), ada hukuman qazaf iaitu dikenakan 80 kali sebatan di khalayak ramai.

Hukum qazaf dikenakan jika penuduh perbuatan keji itu gagal mengemukakan empat orang saksi yang adil iaitu tidak fasik.

Justeru, pengguna media baru, sama ada generasi baru atau lama wajar beretika berpandukan lunas agama dan nilai kemasyarakatan, bukannya menurut kehendak hedonis atau keseronokan semata-mata.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)