• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Gandingan Ulama, Umara Penentu Kemajuan Ummah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
Masyarakat perlu bijak memilih golongan benar-benar berilmu demi pembangunan umat

SALAH faham makna ulama pada hari ini, meletakkan pihak tidak sepatutnya berada di tempat yang tinggi, sebaliknya ulama sebenar yang mempunyai keintelektualan hebat dipinggirkan.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik) Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata itulah yang berlaku dalam masyarakat hari ini iaitu ulama tidak ditonjolkan tetapi bukan ulama diberi perhatian.

Sebagai pewaris nabi dan orang yang arif dalam ilmu, penamaan ulama tidak berdasarkan kepada aspek kuasa tetapi ilmu yang dimiliki dimanfaatkan untuk menjamin kemajuan Islam dan ummah.



"Ulama secara ideal adalah orang yang arif dalam ilmu dan orang yang tersohor tetapi disebabkan makna ulama itu sudah dicampur aduk maka yang bukan ulama pun dipanggil ulama. Makna ustaz juga begitu, semua dipanggil ustaz sedangkan ustaz adalah orang yang tahu semua.

"Tetapi masyarakat kita, asal orang itu tahu serba sedikit mengenai agama, dipanggil ustaz dan yang boleh bercakap, digelar ulama. Sebab itu ada orang yang mahir dalam bidang syariah tetapi bercakap mengenai iman, akibatnya ceramahnya lintang pukang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah Hubungan Antara Ulama dan Umara Dalam Pembangunan Ummah: Sorotan Pandangan Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jamaah kepada peserta Kursus Ahlus Sunnah Wal Jamaah anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Jumaat lalu.







Mahmood Zuhdi berkata, ulama dalam konsep sebenar adalah mereka yang memiliki ketinggian intelektual dalam bidang hebat serta bersedia menyumbang pemikiran untuk pembangunan ummah, bukan memiliki ciri tertentu yang ditetapkan masyarakat seperti memakai serban atau berjubah.



Katanya, ketinggian intelektual itu juga menjadikan mereka kumpulan sepatutnya memberi nasihat kepada umara untuk menjamin pemimpin memberi sumbangan ke arah kemajuan masyarakat kerana sasarannya ialah pembangunan ummah.



"Dalam konteks negara kita, hubungan ulama dan umara adalah untuk memperoleh kuasa, hingga terlanyak nilai dalam masyarakat, agama, politik dan bangsa kerana orang politik berkelahi sesama sendiri. Sayangnya ulama juga memihak kepada parti politik.



"Oleh itu, perpecahan politik antara ulama perlu dihentikan sekarang supaya usaha memberi nasihat kepada umara dapat dilaksanakan. Saya berpendapat per-pecahan ummah tidak boleh diselesaikan oleh orang politik tetapi pihak yang mempunyai pandangan jelas serta bebas," katanya.

Mengenai hubungan umara dan ulama dalam pembangunan ummah, Mahmood Zuhdi merujuk kepada hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Ada dua golongan manusia apabila mereka baik, orang menjadi baik, apabila mereka rosak, orang menjadi rosak: ulama dan umara." – (Hadis riwayat Abu Na'im)

Katanya, perlu ada fahaman jelas bahawa ulama bertanggungjawab memberi pandangan jitu kepada umara tanpa memikirkan untung rugi, demi melahirkan pemimpin yang baik dan kesatuan itu akan membolehkan pembangunan ummah dilaksanakan. Sebaliknya, apabila dua golongan itu gagal bersikap sepatutnya, ummah akan menjadi mangsa.



Ulama adalah anugerah Allah untuk membimbing manusia ke jalan benar hingga Rasulullah SAW menyifatkan mereka sama seperti bintang di langit. Sebagai pemegang amanah menjamin kesejahteraan Islam, ulama perlu jujur dan ikhlas dalam tugas mereka.

Sementara umara adalah keperluan yang pasti bagi ummah sebagai pelindung serta pemimpin masyarakat menjalani hidup dalam keadaan teratur selain memastikan undang-undang Islam dapat dilaksanakan.

Sama seperti ulama, umara diberi kedudukan tinggi dan penting oleh Islam kerana peranan mereka menjamin kemajuan Islam serta ummah.

Mahmood Zuhdi berkata, ulama yang salih akan sentiasa berusaha memberi nasihat kepada sesiapa saja termasuk pemimpin kerana nasihat yang menjadi asas agama boleh memberi faedah kepada pemimpin serta rakyat di bawah peme-rintahannya.

Katanya, kumpulan bebas terdiri daripada individu serta pertubuhan bukan kerajaan juga boleh bertindak sebagai penyelesai masalah dengan syarat mereka menanamkan sikap bahawa mereka boleh menyumbang ke arah pembangunan ummah.

"Jangan kata siapalah saya untuk memberi nasihat atau pandangan kerana kita akan jadi kerdil jika kita rasa kerdil, sebaliknya kita boleh jadi besar jika kita berasakan diri besar. Yang penting dalam memberi nasihat atau berdakwah ialah usaha yang berterusan," katanya.

Mahmood Zuhdi turut membangkitkan sikap pengamal media yang menjadi faktor kepada salah faham terhadap pengertian ulama apabila mengangkat hanya pihak tertentu sebagai rujukan dalam isu berkaitan agama.

Beliau berkata, disebabkan itu masyarakat salah menilai ciri ulama sebenar kerana yang mempunyai ketinggian intelektual tidak diberi ruang dan akhirnya sikap mereka itu mengekalkan penonton pada tahap pemikiran yang rendah.

Justeru, pengamal media katanya, perlu tahu siapa ulama sebenar yang sepatutnya diketengahkan untuk menyampaikan serta memberi pandangan mengenai Islam supaya masyarakat tidak terus kekal padaperingkat pemikiran rendah.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)