• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Generasi Muda Muslim Mesti Timba Ilmu, Beriman Untuk Berjaya

Oleh Mastura Mohd Zain

SETIAP tahun ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Kolej Matrikulasi mengikuti pelbagai program pengajian pada peringkat diploma dan ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini.

Namun di sebalik kejayaan anak-anak ini, pelbagai cerita tidak enak didengar. Ada mahasiswa ponteng kuliah, tidak menghormati pensyarah, merokok, dadah, suka berfoya-foya. Ada mahasiswi hanya bertudung ketika di kampus tetapi tidak di luar. Kebanyakan mereka yang bermasalah ini adalah Melayu Islam.

Ada yang sudah tidak mendengar nasihat ibu bapa, menganggap diri sudah besar dan angkuh dengan status sebagai mahasiswa. Mempunyai sikap keras kepala, tidak menghormati orang tua, dan sudah pandai menipu keluarga bila ditanya mengenai kehidupan di kampus. Malah ada yang terjebak dengan jenayah. Mengapa perkara ini berlaku?

Jika ditinjau bangsa lain seperti pelajar Cina dan India yang berada di IPT, mereka amat menghargai serta tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi. Mereka tekun belajar, menumpukan sepenuh perhatian, tidak suka membuang masa, menubuhkan kumpulan belajar masing-masing, rajin bertanya pensyarah dan rajin mencari rujukan tambahan berbanding pelajar Melayu.

Hari ini kita lihat ramai orang Islam yang mengamalkan agama Islam hanya setakat bersembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Agama hanya dilihat sebagai perbuatan yang perlu dilakukan sedangkan agama Islam adalah suatu cara hidup yang perlu diterapkan dalam kehidupan. Mungkin sebab itu kita lihat mahasiswa kurang agamanya dari segi sikap dan tingkah laku.

Ibu bapa dan pendidik juga perlu bekerjasama bagi memastikan banyak bahan bacaan berunsur agama dekat dengan remaja. Anak muda lebih gemar membaca majalah hiburan, berita sensasi artis, serta bahan bacaan ringan yang tidak memerlukan berfikir. Remaja Islam perlu didedahkan dengan watak Salahuddin al-Ayubi, Abdul Rahman bin Auf, contohnya.

Umat Islam juga kurang berfikir. Mereka hanya menerima ilmu namun kurang berfikir, mentafsir serta memahami apa yang dibaca. Akibatnya timbul ‘budaya kakak tua‘ yang hanya meluahkan saja apa yang dipelajari tanpa mengemukakan pendapat sendiri. Budaya ini amat ketara di IPT. Kebanyakan mereka ini amat suka pensyarah yang menyuapkan segala maklumat kerana mereka tidak perlu bersusah-payah mencari bahan.

Apabila kurang berfikir maka mereka mudah terikut-ikut. Ini mungkin kerana didikan ketika kecil, kita selalu dilarang oleh orang tua-tua untuk banyak bertanya sedangkan pakar kanak-kanak mengatakan anak sepatutnya digalakkan bertanya. Soalan yang ditimbulkan anak menunjukkan mereka sedang berfikir dan ia suatu proses yang positif.

Sebagai orang Islam kita digalakkan bukan hanya membaca al-Quran tetapi memahami isi kandungannya. Apabila faham maksud ayat barulah boleh berfikir dan menterjemahkannya dalam kehidupan. Tetapi masyarakat membaca al-Quran hanya untuk khatam dan mengadakan majlis besar-besaran; ataupun untuk mendengar suara paling merdu apabila membaca al-Quran.

Cabaran dari luar terhadap remaja juga tidak kurang hebatnya. Mereka ‘diserang’ dari semua arah, media elektronik dan cetak. Anak terdedah dengan pelbagai budaya di luar batasan agama umpamanya televisyen memaparkan wanita tidak bertudung dengan fesyen pakaian mengghairahkan serta adegan bergaduh dan hasad dengki.

Paling malang semua pelakon adalah orang Melayu Islam. Jadi bagaimana kita hendak mengharapkan remaja menyemai fikrah Islam sebenar?

Ramai mahasiswa hari ini lebih bertumpu kepada soal mendapatkan pekerjaan yang baik selepas tamat belajar. Mereka lebih memikirkan hal pangkat, jawatan dan tangga gaji. Tidak guna segulung ijazah jika sikap dan perangai tidak mempamerkan nilai murni seorang Islam.

Penulis adalah Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)