• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Gerakan Halus Sesatkan Orang Asli

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

DAIF! Begitulah situasi yang dapat digambarkan keadaan surau di beberapa perkampungan Orang Asli yang diibarat bagaikan 'hidup segan mati tak mahu'.

Keadaan sekeliling yang dipenuhi semak samun setinggi hampir setengah meter dengan longgokan sampah sarap di sekitar kawasan surau pastinya mengundang pelbagai tanggapan negatif. Malah hanya menyakitkan mata sesiapa yang memandangnya. Langsung tidak mencerminkan rumah ibadat orang Islam yang mana kebersihan merupakan sebahagian daripada iman.

Lebih menyedihkan, hanya beberapa bilah cermin berdebu tebal yang tinggal pada tingkap sekeliling dinding surau tersebut. Tangga yang diperbuat daripada kayu untuk jemaah naik bagi menunaikan solat pula kelihatan semakin usang dan reput dimamah anai-anai.

Jelas sekali menunjukkan rumah Allah setinggi dua tingkat itu sudah lama tidak dikunjungi dan berpenghuni.

Namun, keadaan yang sebaliknya berlaku di kawasan sama. Kelihatan sebuah binaan persis banglo tersergam indah di sebuah kawasan lapang tidak jauh dari surau tersebut.

Siapa sangka dalam perkampungan pendalaman yang serba kekurangan itu terdapat sebuah binaan yang indah. Dilengkapi dengan segala kemudahan bekalan elektrik dan air. Tidak kurang kawasan lapang yang sesuai digunakan untuk mengadakan pelbagai aktiviti.

Terdapat pula sebuah pondok kecil berhampiran banglo tersebut yang dipenuhi anak muda untuk berkumpul dan meluangkan masa bersama rakan tidak kira usia.

Alangkah terkejutnya, apabila ditanya, binaan yang cantik itu adalah sebuah rumah ibadat agama lain yang digunakan oleh penduduk kampung untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan berkumpul di kampung tersebut.

Gerakan halus penyebaran agama lain terbukti telah berjaya menambat hati penduduk kampung yang terletak di negeri Pahang itu. Sehingga hampir keseluruhan isi keluarganya adalah bukan Islam.

Keistimewaan Islam sebagai agama rasmi persekutuan ternyata tergugat dengan gerakan-gerakan menyaingi gerakan dakwah Islamiah.

Gerakan halus tersebut yang disebarkan atas pelbagai aktiviti terutama yang berasaskan kebajikan termasuk menjanjikan kemewahan tentu mempengaruhi pemikiran masyarakat yang berada di atas pagar.

Tinjauan Mega di 25 perkampungan Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia ketika mengikuti anggota Jelajah Silaturrahim Orang Asli Seluruh Malaysia Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), mendapati rata-rata perkampungan Orang Asli pernah dimasuki oleh gerakan ajaran agama lain.

Gerakan tersebut dipercayai mengambil kesempatan menyebarkan ajaran agama mereka secara perlahan-lahan dan tidak disedari.

Bermula dengan menghulurkan sumbangan dan memberikan pengharapan lalu mengubah kepercayaan penduduk mengikuti ajaran mereka.

Batin Kampung Tanah Merah, Yusof Komeng, 50, berkata, dengan menyatakan alasan prihatin terhadap perkembangan pendidikan Orang Asli di kampung tersebut, sebuah gerakan agama lain memasuki kampungnya.

Yusof berkata, kumpulan itu yang pada mulanya ingin memberikan perubahan dan pendidikan kepada kampung itu akhirnya mendirikan sebuah rumah ibadat.

"Kumpulan itu pada asalnya datang untuk memberikan bantuan dari segi keperluan isi rumah dan pendidikan. Mereka seterusnya mendirikan sebuah rumah ibadat dengan alasan untuk menjadikan tempat untuk kelas pengajian.

"Saya tidak menghalang kerana menyangka niat mereka baik untuk memajukan pendidikan di kampung ini. Tambahan pula dengan penempatan kampung ini yang jauh dari bandar.

"Namun akhirnya saya sedar bahawa rumah ibadat itu sengaja dibina untuk mempengaruhi penduduk kampung," katanya.

Yusof yang pada mulanya enggan menerima pelawaan gerakan tersebut untuk mendirikan rumah ibadat apatah lagi dibina di kawasan tanah rumahnya bagaikan terpukau dengan pujuk rayu halus yang dibawa oleh kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya gerakan itu kini semakin kurang aktif memasuki kampung itu berbanding dulu.

"Jika dulu sebulan dua atau tiga kali mereka memasuki kampung ini untuk menjalankan aktiviti, tetapi kini tidak lagi.

"Kira-kira lebih dua bulan mereka tidak lagi memasuki kampung ini. Kita juga akan sentiasa memantau pergerakan mereka dari semasa ke semasa. Jika mereka mula menyebarkan ajaran yang pelik, kita akan sekat," katanya.

Kekurangan pendakwah

Sementara itu, menurut Batin Kampung Orang Asli Pos Buntu, Pahang, Amran Yokpam, 31, menganggarkan lebih empat bulan tiada pendakwah Islam yang datang ke kampungnya.

"Setahu saya, sudah lama tiada seorang pendakwah Islam yang datang memasuki kampung ini. Walaupun kebanyakan penduduk di kampung ini adalah bukan beragama Islam, tetapi kita tidak pernah menghalang mana-mana pertubuhan datang ke sini.

"Malah kita sentiasa mengalu-alukan kedatangan sesiapa yang ingin menjalankan aktiviti di kampung ini selagi tidak menimbulkan kekacauan," katanya.

Hal ini menjadikan masyarakat Orang Asli yang penganut agama Islam terbiar dan tersisih tanpa mendapat bimbingan sewajarnya. Ini mengakibatkan Islam mereka hanya pada nama sahaja.

Dalam masa sama, pelbagai pertubuhan keagamaan cuba mengambil peluang menyebarkan dakyah kepercayaan agama masing-masing di kampung yang terbiar tersebut.

Malah tinjauan Mega juga mendapati wujudnya kelemahan kepada pendakwah Islam yang kurang prihatin dan memberikan perhatian terhadap kebajikan pegangan agama masyarakat Orang Asli yang telah berjaya diIslamkan.

Ia boleh mengundang kepada gerakan agama lain untuk mengambil kesempatan menyebarkan dakyah kepada masyarakat atas pagar itu sehingga mempengaruhi kepercayaan mereka serta berjaya mendirikan rumah ibadat mereka.

Justeru, pendakwah Islam perlu mengambil peluang dan bertindak pantas menyebarkan dakwah Islamiah sebelum dakyah agama lain terus meluas.

Tambahan pula ujarnya, kedudukan kampung tersebut yang merupakan laluan pintas Orang Asli dari kampungnya untuk ke Slim River, Perak membuatkan ia sentiasa dikunjungi dan dimasuki penduduk kampung bersebelahan.

"Lokasi kampung ini yang terletak berhampiran pusat rekreasi Lata Lembik menjadikan ia tumpuan pelbagai organisasi termasuk yang bukan Islam.

"Sehinggakan ada juga yang telah berkahwin dengan orang luar termasuk masyarakat dari bandar," kata Amran.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)