• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Gerhana Matahari Satu Peringatan

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


GERHANA matahari

BELUM pun berpisah dengan bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang kekuasaan dan keagungan Allah melalui peristiwa agung Israk dan Mikraj, kita dijodohkan pula dengan peristiwa gerhana matahari yang menyaksikan satu lagi tanda kebesaran dan keagungan-Nya.

Selaku seorang Muslim, apatah lagi yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita seharusnya peka dengan fenomena alam ini. Seterusnya berusaha memahami iktibar dan pengajaran di sebalik setiap yang berlaku.

Ketahuilah, bahawa kejadian gerhana ini dijadikan oleh Allah bagi menakutkan hamba-hamba-Nya dan mengingatkan mereka tentang kebesaran-Nya.

Di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah r.a, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. (Matahari dan bulan itu) tidak menjadi gerhana kerana kematian seseorang ataupun kelahiran seseorang, tetapi Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan kedua-duanya."

Allah mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan biasanya Kami tidak menghantar turun tanda-tanda melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman). (al-Israk: 59)

Adalah wajar kejadian gerhana dianggap sebagai suatu peristiwa yang menakutkan, kerana tiada siapa pun yang mengetahui apa yang Allah kehendaki daripada kejadian gerhana ini.

Namun, cukuplah sabda Rasulullah SAW dalam khutbah gerhananya ini mengingatkan kita tentang kehebatan Allah dan peringatan-Nya yang tersirat di sebalik peristiwa ini: "Wahai umat Muhammad! Demi Allah! Sekiranya kalian mengetahui apa yang saya ketahui, sudah pasti kalian akan ketawa sedikit dan banyak menangis."

Malangnya, betapa ramai umat Islam pada zaman ini yang memandang remeh dan tidak gentar bertemu dengan kejadian gerhana ini. Sedangkan ia adalah saat-saat yang begitu mencemaskan penghulu sekelian manusia, Nabi Muhammad SAW.

Berapa ramai yang leka dan asyik dengan pekerjaannya, sedangkan para salafussoleh begitu cemas dan gentar. Mereka berkejaran dan bersegera mengerjakan solat dan berdoa apabila menyaksikan fenomena ini sehinggalah kejadian yang mencemaskan ini berakhir.

Diriwayatkan, bahawa seorang Ahli 'Arifin bernama Tawus, apabila melihat kejadian gerhana matahari, beliau menangis ketakutan hingga hampir-hampir menemui maut. Beliau berkata, "Matahari itu lebih takutkan Allah daripada kita."

Ikutan kita yang agung, Rasulullah SAW gementar dan luruh hatinya semasa melihat kejadian ini. Terdapat banyak hadis yang meriwayatkan tentang reaksi cemas Baginda tatkala berlaku gerhana matahari dan bulan.

Di dalam Sahih Muslim diriwayatkan, ketika berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW, terkejut dan bingkas bangun ingin mengambil selendangnya untuk dipakai tetapi terambil baju besinya kerana fikiran dan hatinya yang sibuk dan cemas memikirkan kejadian gerhana yang sedang berlaku.

Baginda SAW menjadi begitu cemas kerana takut sekiranya Allah menurunkan bala atau mengisyaratkan akan berlakunya kiamat berikutan gerhana tersebut.

Kebimbangan Nabi SAW ini menyebabkan Baginda memanjangkan doanya dan mencucurkan air mata, lebih-lebih lagi memikirkan nasib umatnya.

Hal ini disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam al Syamail al Muhammadiah, Abdullah ibn 'Amru r.a berkata: "Pada masa Rasulullah SAW (hidup), pernah terjadi gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW mengerjakan solat hinggakan seolah-olah Baginda SAW tidak akan rukuk (kerana terlalu lama berdiri). Kemudian Baginda SAW rukuk, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya.

"Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya, seolah-olah Baginda SAW tidak akan sujud. Kemudian Baginda SAW sujud, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya (dari sujud). Kemudian Baginda SAW menghembuskan nafasnya dan menangis seraya berdoa:

"Wahai Tuhanku! Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku, bahawa Engkau tidak akan mengazab mereka selagi aku berada bersama mereka. Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku bahawa Engkau tidak akan menyiksa mereka, selagi mereka memohon keampunan, sedangkan kami memohon keampunan kepada-Mu".

Apabila Baginda SAW selesai melakukan solat dua rakaat, matahari terang kembali. Baginda SAW pun berdiri, lalu mengucapkan pujian kepada Allah. Kemudian Baginda SAW pun bersabda, "Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak akan gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahiran seseorang. Apabila terjadi gerhana, bersegeralah kalian berzikir mengingati Allah".

Sesungguhnya Baginda SAW tidak mengalirkan air mata kerana dirinya sendiri, tetapi Baginda mengalirkan air mata semata-mata kerana mengenang dan kasihkan umatnya serta bimbang Allah akan mengazab mereka disebabkan dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Lihatlah betapa dalam dan suci kasih Rasulullah SAW terhadap umatnya. Walaupun berada dalam keadaan cemas dan ketakutan, Baginda SAW tidak pernah melupakan kita.

Justeru, renungilah, apakah yang kita lakukan demi Baginda SAW? Apakah pengorbanan yang pernah kita lakukan demi mempertahankan agamanya yang tercinta?

Allah SWT dengan segala keperkasaan dan keagungan-Nya, mampu menjadikan atau tidak menjadikan kejadian gerhana matahari dan bulan. Namun, dari perspektif ilmu saintifik yang dicanang oleh sebahagian saintis moden mengatakan semua itu berlaku secara nature yang mesti berlaku mengikut kiraan ilmu bintang yang mereka cipta.

Semuanya itu tidak diyakini dengan pasti, malah berdasarkan sangkaan semata-mata, menurut agakan dan ukuran fikiran mereka yang masih rendah. Sedangkan Nabi SAW menyebut bahawa matahari dan bulan adalah tanda kebesaran Allah dan peristiwa gerhana dijadikan oleh Allah sebagai menakutkan dan mengingatkan hamba-Nya.

Hikmah di sebalik kejadian gerhana

Terlalu banyak hikmah tersirat di sebalik kejadian ini sebagaimana yang banyak disebut oleh ulama. Di antaranya ialah:

lMenzahirkan penguasaan dan pentadbiran Allah terhadap matahari dan bulan.

lMenerangkan kejelikan dan kebodohan orang-orang yang menyembah matahari dan bulan. Firman Allah yang maksud-Nya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya benar kamu hanya beribadat kepada Allah. (al-Fussilat: 37)

lMenggementarkan hati orang-orang yang berasa tenang dengan kelalaian dan dosa-dosa yang dilakukannya.

lMemperlihatkan kepada manusia contoh-contoh peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat sebagaimana firman Allah: Maka (hari Kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), dan bulan hilang cahayanya, dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. (al Qiyamah 7-9)

lMenggambarkan Allah mungkin akan mengazab orang yang tidak berdosa.

Merenung hikmah-hikmah ini, terlintas di fikiran saya, apakah kejadian gerhana matahari yang Allah datangkan sejurus selepas sambutan Israk dan Mikraj merupakan peringatan daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang masih lagi lalai dan belum juga insaf dengan segala maksiat yang dilakukan sama ada maksiat zahir atau batin.

Sekalipun telah diperingatkan tentang kekuasaan-Nya melalui peristiwa Israk dan Mikraj?

Apakah telah hampir masanya untuk Allah menunjukkan kehebatan dan kekuasaan-Nya yang sebenar? Moga-moga Allah menggolongkan kita di antara hamba-Nya yang sentiasa sedar dan terselamat daripada kemurkaan-Nya

Amalan sunat semasa gerhana

Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

lSolat dan berdoa. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi".

lBerzikir dan beristighfar. Abu Musa berkata: "Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.

lBerlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: "Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur."

lBersedekah. Sabda Rasulullah SAW: "Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah."

lMemerdekakan hamba. Asma' ra berkata: "Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. "Dalam satu riwayat: "Gerhana bulan."

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita SAW kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat. Tinggalkanlah sunnah ahli bidaah kerana inilah jalan yang membawa kecelakaan di dunia dan akhirat.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)