• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Golongan Lalai Tak Cukup Masa

Oleh Ashraf Muslim

2011/10/24
Perancangan penting pastikan kerja dilakukan sempurna

TIDAK cukup masa. Rasanya setiap hari kita mendengar keluhan ini kerana 24 jam sehari tidak mencukupi untuk melakukan pelbagai perkara menyebabkan ada antara kita terpaksa menggunakan waktu malam semata-mata menyambung tugas pada siang hari. Sebenarnya, perkara itu sudah diingatkan kepada kita melalui firman Allah yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar.” (Surah Al-‘Asr, ayat 1-3) "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar." (Surah Al-‘Asr, ayat 1-3) Apabila dinilai semula ingatan ini, jelaslah bukan masa tidak mencukupi tetapi kelemahan kita membiarkan masa berlalu tanpa dimanfaatkan sepenuhnya. Tidak percaya, cuba kita senaraikan aktiviti dilakukan dalam sehari dan masa diambil melakukannya.

Pasti kita akan berjumpa dengan saat-saat dibazirkan tanpa sedar sedangkan jika dimanfaatkan, perjalanan 24 jam sehari sudah memadai atau sekurang-kurangnya berupaya memenuhi keperluan harian.

Tempoh masa untuk melakukan kerja di pejabat contohnya, digunakan dengan berbual, sementara masa satu jam dihadkan bagi makan tengah hari serta solat dipanjangkan hingga dua jam.

Sebab itulah kita selalu mengeluh, tidak cukup masa. Padahal, sudah diingatkan kita akan rugi jika tidak bijak mengatur masa.
Justeru, apabila melihat remaja kita yang duduk bersembang di kedai makan atau melepak di pusat beli-belah, andaian boleh dibuat banyaknya masa mereka hingga boleh duduk lama-lama di sana.

Dalam dunia yang sangat pantas ini, manusia berlumba dengan masa. Banyak cabaran semasa menjadikan kita ditinggalkan masa seperti kesesakan lalu lintas, perkhidmatan awam tidak berkesan, perkhidmatan kaunter lambat dan macam-macam cabaran lagi.

Semua itu menuntut kebijaksanaan merancang supaya masa diperuntukkan tidak dipersiakan seterusnya menjadikan kita golongan rugi. Tetapi, manusia hanya merancang tetapi Allah yang menentukan.

Sekurang-kurangnya kita merancang dengan mengambil kira semua aspek dan apabila berlaku tidak seperti dirancang, rasanya kita boleh berpuas hati dan reda ketentuan Allah. Itu akan menjadi positif jika kita melihat ia sebagai ujian terhadap kesabaran berlumba dengan masa.

Ketentuan itu juga sepatutnya membuka dimensi pemikiran bahawa perancangan kita tidak boleh mengatasi rancangan Allah. Mungkin pada hemat kita apa yang dirancang itu baik tetapi Allah lebih mengetahui. Di sinilah kesabaran kita diuji dan ilmu kita juga diuji.

Perkataan sesuai bagi situasi sebegini ialah muhasabah iaitu apakah kita sudah membuat perancangan yang teliti. Justeru, kesudahan tidak seperti dirancang adalah kesempatan untuk kita melakukan bedah siasat dan melakukan penambahbaikan pada masa depan.

Mengejar masa juga bukan bermakna mengorbankan tuntutan jiwa yang memerlukan rehat kerana badan serta minda kita juga perlu direhatkan. Oleh itu, jadual di pejabat, sekolah, universiti dan rumah, diperuntukkan masa untuk rehat.

Bagaimana kita memanfaatkan masa rehat itu pula perlu dinilai semula. Bagi yang bercuti hujung minggu, pasti seronok dapat meluangkan masa bersama keluarga untuk melakukan aktiviti bersama.

Tidak dinafikan, timbul pula perbahasan antara kualiti masa atau kuantiti masa. Jika hendak didebatkan, tidak akan berjumpa titik pertemuannya. Terpulang kepada kedudukan serta keperluan bagi merencana yang terbaik untuk menghabiskan waktu rehat kita.

Keseimbangan penting untuk kita membuat perancangan berpandukan keutamaan. Pastinya, keutamaan kita ialah mengejar kebaikan di dunia serta memperoleh kebahagiaan di akhirat. Bercerita mengenai masa, marilah kita renungkan hadis ini.

Abdullah bin Umar berkata, Rasulullah SAW memegang bahuku seraya berkata: “Jadikanlah diri kamu di atas muka bumi ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Ibnu Umar berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang, jangan kamu tunggu menjelang waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, jangan kamu tunggu menjelang petang. Gunakanlah peluang beramal ketika kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan ketika hidup untuk persediaan matimu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)