• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Golongan Tak Lalai Mendambakan Masjid

Dr Juanda Jaya

UMAT Islam sentiasa mencari ketenangan, kasih sayang, kesucian jasmani dan rohani di rumah Allah SWT. Masjid menjadi pilihan mereka yang mendambakan kebahagiaan hidup setelah puas dilanyak kerasnya ujian duniawi. Dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram sehingga surut segala kesakitan yang diderita. Di masjid bermulanya tapak keimanan yang disemai tumbuh menjadi pohon-pohon berakar kuat, tidak mudah rebah dihempas badai kehidupan. Di masjid pula diharapkan tersedia khazanah ilmu yang boleh menjawab setiap persoalan hidup yang dihadapi setiap anak manusia.

Ketenangan hidup, kasih sayang hakiki dan kesucian rabbani sememangnya wajar menjadi moto bagi setiap masjid yang berdiri megah di tengah kekalutan dunia maksiat. Nilai itu adalah jawapan paling tepat dengan keperluan manusia moden yang hampir-hampir kehilangan nurani manusiawi. Tetapi sayang, kadangkala dijumpai suasana yang bertolak belakang dengan semangat ketenangan, kasih sayang dan kesucian. Ada sesetengahnya yang ternoda oleh semangat perpecahan, persengketaan hingga perebutan kuasa yang memanaskan suhu masjid ke tahap yang amat membimbangkan.

Jika pada zaman sahabat terkorban di mihrab masjid Nabi, yang menumpahkan darah Umar al-Khattab sewaktu mengimami jemaah, demikian pula tragedi berdarah di masjid Kufah yang mengorbankan Saidina Ali Abu Talib maka saat ini tidak mustahil perpecahan umat Islam yang dihasilkan api permusuhan boleh mencetuskan pertumpahan darah juga.



Benarlah firman Allah SWT mengenai mahalnya harga persaudaraan yang bermaksud; “Dan Dialah (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya dia Maha gagah lagi Maha Bijaksana.” - (Surah Al-Anfal ayat: 63)

Umat Islam di negara ini selayaknya bersyukur dengan limpah kurnia rahmat-Nya yang menyatukan hati umat Islam dalam keadaan berkasih sayang. Sunnah Rasulullah SAW yang mengajarkan selembut-lembut akhlak menjadi pegangan umat yang memakmurkan masjid dengan semangat kasih sayang. Padahal di belahan dunia Islam lain telah terjadi pertumpahan darah atas sebab fanatik mazhab seperti pembunuhan silih berganti antara penganut Syiah dan Sunni di Iraq menjadi berita hangat hampir setiap hari. Baru-baru ini Hamas yang memperjuangkan Islam dari kekejaman Israel terpaksa menghadapi musuh dalam selimut di kalangan umat Islam sendiri. Sehingga terpaksa menjaga khatib yang berkhutbah dengan senjata kerana keadaan darurat ini.

Masjid yang dibina dengan asas teladan sunnah Rasulullah SAW amat menekankan hubungan hati antara hamba dengan Allah dan juga hubungan sesama manusia. Orang yang berhimpun di dalamnya bersedia menggantungkan pakaian dunia di luar pagar masjid. Mereka menggantikan pakaian itu dengan pakaian takwa yang mampu menundukkan hawa nafsu di bawah kawalan iman sepanjang masa. Walaupun mereka keluar dari masjid dan kehidupan berubah menjadi sibuk oleh urusan dunia tidak sekali mereka dilalaikan olehnya kerana setelah keluar dari masjid pakaian taqwa kekal digunakan hasil semangat solat yang berkualiti.

Untuk memastikan fungsi masjid berjalan selari dengan sunnah Rasulullah SAW sewajarnya ahli masjid sentiasa beringat dan bermuhasabah mengenai peranan mereka dalam menghidupkan rumah Allah SWT yang suci ini.

l Memperbaharui niat.

Orang munafik di Madinah yang diketuai Abdullah bin Ubay bin Salul amat membenci perpaduan umat Islam, mereka faham mengenai kedudukan Masjid Nabi yang mampu menghimpunkan hati-hati orang mukmin sehingga kekuatan mereka semakin padu. Oleh itu mereka telah membina satu masjid yang bertujuan untuk memberi saingan kepada umat Islam, memecah belah perpaduan dan menghasut mereka untuk saling membenci sehingga terbantutlah usaha Rasulullah SAW membina kekuatan umat.

Allah SWT telah menurunkan wahyu-Nya mengenai keadaan mereka yang mempunyai niat yang keji ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan (di antara orang munafik itu) ada orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang beriman. - (Surah al-Taubah ayat: 107)

Apabila hati telah berkata-kata walaupun tidak didengari orang ramai, maka siapakah yang boleh berdusta di hadapan Allah di atas kata hatinya itu? Melakukan amal salih wajib dengan niat yang ikhlas, seseorang yang suka memakmurkan masjid tetapi dengan maksud di luar niat lillahi Taala tidak akan mendatangkan kebaikan untuk agama dan dunianya.

l Masjid tempat turunnya rahmat Allah kepada orang yang berkasih sayang.

Asas berdirinya negara Islam pertama didahului dengan terbinanya masjid. Sebelum Baginda SAW memilih tapak rumahnya terlebih dulu Baginda mencari tapak untuk dibangunkan masjid. Baginda melihat kepentingan menyatukan hati umat dengan simbol masjid sebagai alat perpaduan kerana hanya Allah SWT yang berkuasa menyatukan hati manusia. Detik-detik pertama berkembangnya negara Islam pertama itu telah dihidu oleh musuh lama yang mencari peluang merosakkan kasih sayang di antara sesama muslim.

Mereka amat membenci sabda-sabda Rasulullah SAW yang mengajak kepada perpaduan umat seperti sabda baginda yang bermaksud: “Janganlah kamu saling membenci, janganlah kamu berhasad dengki, jangan belakang membelakangi, jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.” - (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Kasih sayang adalah sunnah Rasulullah SAW, walaupun ramai yang berusaha kembali kepada Al-Quran dan al-Sunnah jarang sekali yang tidak diduga dengan konflik perbezaan fahaman akibat ketaksuban nafsu. Hatta di dalam masjid pun mereka bertelingkah kerana isu peribadi. Hal ini amat bertolak belakang dengan semangat adab dan akhlak yang diajarkan Rasulullah SAW kepada umat.

l Masjid sebagai corong dakwah.

Ahli masjid yang terpanggil memikul amanah dakwah sebagaimana yang diwarisi daripada Rasulullah SAW sentiasa mencari alternatif yang sesuai untuk mema-syarakatkan masjid di hati umat. Jika baik dan lancar fungsi dan peranan masjid yang dibina, nescaya baik pula masyarakat di sekelilingnya.

Program keilmuan yang ditawarkan hendaknya boleh menarik minat umat Islam tanpa memandang usia. Tidak sepatutnya yang memegang kuasa di setiap masjid itu mereka yang ketandusan idea dalam melancarkan program dakwah. Ahli masjid yang beramanah dituntut untuk menguasai keadaan masyarakat sekitar yang memerlukan asuhan dan bimbingan. Program media bersama masjid, remaja angkat masjid, program bimbingan belajar dan tuisyen, sukan dan seni, hiburan dan rekreasi, tempat bimbingan kewangan dan kerjaya untuk fakir miskin diharapkan boleh menyelesaikan setiap permasalahan umat.

Tidak mustahil ketenangan, kasih sayang dan kesucian jasmani dan rohani akan tercipta hasil daripada usaha gigih ahli masjid yang beramanah. Mereka adalah penyambung dakwah Rasulullah SAW yang berhak menerima balasan berlipat ganda daripada Tuhannya sekiranya mereka berjaya menjadikan semangat masjid itu wujud di tengah-tengah masyarakat yang kini kian berkecamuk.



Penulis adalah Mufti Perlis

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)