• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Gugur Janin

Oleh DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN

PENGGUGURAN kandungan bukan merupakan perkara baharu dalam masyarakat hari ini, tetapi ia merupakan suatu masalah yang kian meruncing dan memerlukan perhatian semua pihak. Dalam kitab-kitab fikah klasik ia dibincangkan dalam bab ‘Jenayah’ kerana kesan perbuatan seperti itu boleh melibatkan soal pembunuhan bayi dan sebagainya.

Pengguguran (al-ijhadh) bermaksud menggugurkan janin yang masih belum sempurna penciptaannya sebelum tiba tempoh lahirnya. (Mustafa, Ibrahim et.al.,al-Mu’jam al-wasit, cet. ke-2, Istanbul: Dar al-Da’wah, 1989, jil. 1, hlm. 144)

Rasulullah SAW menjelaskan peringkat perkembangan janin dalam sebuah hadis yang bermaksud: Abu Abdul Rahman; Abdullah bin Mas’ud berkata, “Nabi Muhammad, orang yang paling benar dan paling dipercayai, pernah memberitahu kami, “Sesungguhnya setiap orang daripada kalian dicipta di dalam perut rahim ibunya selama 40 hari dalam bentuk titisan air mani (nutfah), kemudian dia menjadi segumpal darah (‘alaqah) selama 40 hari juga, lalu menjadi seketul daging (mudghah), juga selama tempoh yang sama. Kemudian Allah menghantar malaikat supaya meniupkan roh kepadanya. Malaikat itu diberikan empat perintah, iaitu supaya menuliskan rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya dan sama ada dia akan sengsara ataupun bahagia... (riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam al-Ghazali (w 505H); ulama bermazhab Syafie menjelaskan, “Menggugurkan janin (al-ijhadh) dan menanam bayi hidup-hidup (al-wa’d) merupakan satu jenayah ke atas makhluk yang wujud. Terdapat beberapa tahap kewujudan, pertamanya ketika benih lelaki memasuki rahim wanita, lalu bercampur antara benih lelaki dan perempuan serta ia bersedia untuk menerima kehidupan, yang dinamakan nutfah (zigot).

Menggugurkan nutfah merupakan satu jenayah. Jika nutfah itu berubah menjadi ‘alaqah (epigenesis) dan mudghah (somit), maka jenayah menggugurkannya menjadi semakin berat. Seterusnya jika telah sempurna bentuk tubuh badannya dan telah ditiupkan roh, maka jenayah menggugurkannya menjadi lebih berat.

Jenayah yang paling berat apabila bayi yang telah lahir hidup dibunuh." (al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad, Ihya’ ‘ulum al-din, Kaherah: al-Matba’ah al-‘Uthmaniyah, 1352H, jil. 2, hlm. 47 )

Wahbah al-Zuhaili berkata, “Pendapat yang lebih tepat (rajih) menurut saya ialah dilarang menggugurkan kandungan seawal usia kandungan kerana ia sudah dianggap bermulanya sebuah kehidupan dan bermulanya perkembangan janin. Melainkan jika terdapat darurat seperti penyakit yang merbahaya, kanser atau adanya keuzuran seperti terputus susu ibu kesan daripada mengandung, sedangkan ibu itu sedang menyusukan bayinya serta dalam masa yang sama, bapa bayi itu tidak mampu membayar upah ibu susu dan dikhuatiri situasi tersebut menjejaskan keselamatan bayi. Saya lebih cenderung kepada pendapat al-Ghazali yang menganggap pengguguran itu walaupun pada awal kandungan ia adalah seperti dosa menanam anak hidup-hidup serta ia adalah perbuatan jenayah ke atas makhluk yang hidup." (al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, cet. ke-3, Dimashq: Dar al-Fikr, 1989, jil. 3, hlm. 557)

Imam Qadi Khan memberikan contoh keuzuran yang membolehkan seseorang wanita menggugurkan kandungannya, “Seorang wanita yang sedang menyusukan anaknya, kemudian dia mengandung, lalu terhenti susunya serta dalam masa yang sama, bapa kanak-kanak itu tidak mampu membayar upah ibu susu dan dikhuatiri situasi tersebut menjejaskan keselamatan kanak-kanak itu.

Para ulama berpendapat, ‘Wanita itu dibenarkan untuk menggugurkan kandungannya selagi ia masih berupa nutfah, ‘alaqah, atau mudghah yang masih belum memiliki anggota badan.’ Mereka menjelaskan tempoh kandungan itu masih belum melebihi 120 hari.

Mereka membenarkan untuk digugurkan segumpal darah tersebut, kerana ia masih belum dianggap seorang manusia. Ia dibenarkan untuk menjaga nyawa seorang manusia (iaitu kanak-kanak yang sedang menyusu tersebut)." (Qadi Khan, al-Fatawa al-Khaniyah, dlm. al-Fatawa al-Hindiyah, Misr: al-Matba’ah al-Amiriyah, 1310H, jil. 3, hlm. 410)

Hujah pendapat ini ialah kandungan yang masih belum ditiupkan roh masih belum dianggap sebagai seorang manusia. Oleh itu, menggugurkan kandungan yang masih berada pada peringkat nutfah, ‘alaqah dan mudghah yang belum berusia 120 hari iaitu sebelum janin itu bernyawa, tidak dianggap sebagai membunuh seorang manusia, namun jika dilakukan tanpa sebarang keuzuran yang diiktiraf oleh syarak, wanita yang menggugurkan kandungannya itu berdosa.

Disyaratkan perlu wujud keuzuran kerana walaupun janin itu masih belum bernyawa, tetapi ia sudah berada di dalam rahim ibunya dan sudah bermula proses kehidupan. (al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, cet. ke-3, Dimashq: Dar al-Fikr, 1989, jil. 3, hlm. 557)

Namun, menurut majoriti para pakar perundangan Islam, jika dalam keadaan darurat, maka pengguguran janin yang sudah bernyawa adalah dibenarkan. Contoh keadaan darurat ialah bagi menyelamatkan nyawa ibu. Imam al-Syarbini al-Khatib, ulama bermazhab Syafie menjelaskan, “Jika seorang wanita mengandung terpaksa makan ubat sehingga menyebabkan kandungannya gugur, maka al-Zarkasyi berkata, ‘Wanita itu tidak bersalah’." (al-Khatib, Muhammad al-Syarbini, Mughni al-muhtaj, Lubnan: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi, t.th., jil. 4, hlm. 103.)

Mahmud Syaltut, mantan Syeikh al-Azhar menjelaskan, “Jika disahkan melalui kaedah yang berautoriti, keberadaan janin yang sudah bernyawa di dalam rahim boleh membahayakan nyawa ibu, maka syariat Islam menurut kaedah umumnya menyuruh kita mengambil kemudaratan yang lebih ringan bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar, maka dibenarkan janin itu digugurkan." (Zaidan, ‘Abd al-Karim, al-Mufassal fi ahkam al-mar’ah wa al-bayt al-Muslim fi al-Syari’ah al-Islamiyah, cet. ke-2, Beirut,hlm. 126-127)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)