• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Haji Dan Falsafahnya

Oleh MOHD. RAZALI ZAKARIA


Setiap tahun jutaan umat Islam seluruh dunia menunaikan haji di Mekah.

HAJI adalah satu perjalanan kerohanian seseorang hamba menuju Tuhan-Nya yang Maha Pencipta. Perjalanan ini amatlah berlainan berbanding seseorang itu mengembara ke destinasi yang lain. Perjalanan ini menuntut kesabaran yang amat tinggi dan penyerahan diri secara total kepada Allah SWT.

Perjalanan mengerjakan haji ini juga adalah rentetan perjalanan Rasulullah SAW sendiri semasa hajjatul wada'. Kisah hajjatul wada' ini amatlah masyhur sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a.

Definisi Haji

Haji ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Makkah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan serulah kepada manusia dengan (kewajipan) mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang sama ada dengan berjalan kaki atau berkenderaan dari segenap ceruk rantau yang jauh lagi dalam. (al-Haj: 87)

Menurut Sheikh Daud Al-fatani di dalam kitabnya menerangkan tentang huraian ayat di atas. Menurut kaedah lughah, ayat di atas meletakkan mubtadak muakhkhar dan khabar muqaddam. Manakala khitab ditujukan secara am iaitu al-Nas iaitu "wahai sekelian manusia" tanpa pengkhususan.

Mubtadak Muakhkhar iaitu kewajipan mengerjakan haji diletakkan di belakang menunjukkan kewajipan itu tidak semestinya disegerakan kecuali apabila sudah sampai syarat istito'ahnya (berkemampuan).

Ia memberi isyarat supaya manusia menyempurnakan urusan yang bersesuaian dengan fitrah mereka.

Amalan ini bertepatan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW apabila baginda mengerjakan haji di akhir hayatnya dan haji ini masyhur dengan panggilan hajjatul wada'.

Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah kefarduan haji adalah sesuatu kewajipan yang mesti ditunaikan tetapi kewajipan ini tidak semestinya ditunaikan dengan segera kecuali setelah cukup syarat istito'ahnya ataupun kemampuannya.

Hikmah dan falsafah haji

Terdapat banyak hikmah dan faedah disyariatkan haji.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah SWT, pada hari-hari tersebut kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban) dan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (al-Haj: 28)

Ibn abbas r.a menyatakan maksud faedah dalam ayat berkenaan ialah faedah di dunia dan faedah di akhirat.

1. Rehlah Rohaniah

Di antara hikmat dan falsafah haji yang utama ialah haji merupakan rehlah rohaniah atau perjalanan suci berbanding perjalanan yang lain.

Ia juga bukan perjalanan seperti melancong ke tempat-tempat yang menarik tetapi perjalanan ini mempunyai pelbagai hikmah, iktibar dan faedah yang boleh diambil.

Walau bagaimanapun, kebanyakan jemaah haji mengalami kejutan budaya di sana lantas tidak dapat menyesuaikan diri. Oleh itu, bakal-bakal haji perlulah menyiapkan diri sama ada dari segi persiapan rohani, jasmani dan mental.

2. Dhuyuf Ar-Rahman (Tetamu Allah)

Mereka yang menjejakkan kaki ke Tanah Suci merupakan tetamu Allah. Allah memberi jaminan bagi mereka yang bermusafir untuk menunaikan haji bahawa apa sahaja doa mereka akan diperkenankan Allah. Ibarat seorang tamu yang datang, amatlah dimuliakan oleh tuan rumah.

Sehubungan itu, marilah kita memohon ke hadrat Allah swt dengan sebanyak-banyaknya agar peluang keemasan ini tidak terlepas begitu sahaja.

3. Mendapat Kemuliaan

Jemaah haji yang pulang dari Mekah kebiasaannya dimuliakan oleh penduduk qariah masing-masing sebagai kemuliaan dari Allah SWT melalui mata manusia.

Sesetengah mereka menjadi rujukan bahkan ada yang diangkat menjadi siak, bilal dan imam di surau-surau.

Begitulah kemuliaan yang diberikan Allah kepada mereka yang mengerjakan haji dengan sempurna dan apabila balik ke kampung masing-masing memanfaatkan amalan-amalan yang telah dilakukan di Mekah Al-Mukarramah.

4. Dijamin tidak akan mendapat kepapaan

Terdapat beberapa hadis yang menerangkan tentang jaminan Allah terhadap mereka yang mengerjakan haji kerana Allah.

Salah satu jaminan Allah ialah mereka yang menunaikan haji dengan sempurna dijamin tidak mendapat kepapaan hidup di dunia. Berbahagialah mereka yang mendapat rahmat dan jaminan Allah swt.

5. Suci Bersih Ibarat Bayi Yang Baru Dilahirkan

Daripada Abu Hurairah r.a mengatakan beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang mengerjakan haji kerana Allah tiada ia melakukan perkara keji dan fasiq seolah-olah kembali ia seperti hari dilahirkan ibunya.

Sehubungan itu, sayugialah diingatkan kepada bakal-bakal haji agar membetulkan niat mengerjakan haji semata-mata kerana Allah mudah-mudahan diampunkan dosa yang telah lalu.

Kesimpulan

Akhirnya, haji merupakan satu ibadat. Ia juga merupakan Rukun Islam kelima yang perlu dilaksanakan oleh mereka yang mampu sampai kepadanya.

Bagi mereka yang sudah berkemampuan eloklah segera berbuat demikian moga-moga apabila lengkap rukun Islam kelima, lengkaplah Islam mereka.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)