• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Haji Mabrur Simbol Kesempurnaan Ibadah

Oleh Ibrahim Abdullah

SETIAP tahun, jumlah umat Islam menunaikan ibadat haji meningkat, biarpun belanja mengerjakan ibadat haji kian meningkat. Namun semangat untuk mengejar spiritual itu tidak berkurangan bahkan makin bertambah. Semangat melaksanakan rukun Islam kelima itu dapat dirasakan sebagai sudah menjadi keperluan individu.

Semua orang sentiasa berharap dan berkeinginan untuk mencapai darjat haji yang mabrur dengan berpedoman pada sabda Nabi SAW bermaksud: “Haji mabrur tiada ganjarannya melainkan syurga.” (Riwayat Abu Hurairah). Demikian mengenai hikmah dan kelebihan ibadat haji.

Harapan itu tentulah menjadi semangat bagi tetamu Allah untuk sentiasa menjadi contoh dan teladan dalam kehidupan harian. Namun tidak sedikit orang yang menjadikan ibadat haji sebagai ‘status’ untuk mendapat gelaran bagi lingkungan sosialnya. Alhasil hajinya tidak membuahkan apa-apa bagi perubahan di sekelilingnya.




Tetamu Allah tentunya mempersiapkan dirinya awal-awal lagi yang berupa ketakwaan sejak permulaan Ramadan dan Syawal hingga memasuki hari berangkat ke Tanah Suci. Semangat ketakwaan yang dibekal menyedarkan untuk sentiasa mengawal perubahan dengan menjadikan agama sebagai penyelesai dan pedoman kehidupan serta tidak menjadikannya sebagai hiasan semata-mata.

Inilah yang menjadikan syarat haji dengan berbagai makna dan simbol yang diterjemahkan. Misalnya pakaian ihram menafsirkan akan penyingkiran segala pengaruh keduniaan dalam pengabdian diri kepada Allah. Ertinya, orang yang melaksanakan ibadat haji mesti bertekad untuk mengharamkan segala apa yang diharamkan Allah untuknya. Wukuf di Arafah manifestasi diri untuk sentiasa merasa dalam perhatian Allah SWT. Ketika wukuf kita berupaya untuk mengenal jati diri kita masing-masing. Di hadapan Allah kita akui dosa kita yang sengaja ataupun tidak disengajakan.

Di Jabal Arafah juga adalah sejarah pertemuan Adam dan Hawa selepas sekian lama berpisah sejak diturunkan Allah ke bumi lantaran memakan buah khuldi yang dilarang Allah di syurga, yang kemudiannya menjadi rukun dan wajib haji kepada jemaah haji. Ada yang menyatakan bahawa Arafah adalah diibaratkan sebagai padang Mahsyar di akhirat kelak, dan menjadi saksi kepada sesiapa yang wukuf di sana.

Tawaf melambangkan hanya Allah tempat menyembah, memohon pertolongan. Tawaf adalah simbolik perjalanan hidup manusia dalam mendekatkan diri kepada Allah. Melontar jumrah sebagai perwujudan bahawa musuh manusia yang nyata adalah syaitan dan iblis serta kroninya sentiasa menyesatkan dan menyusahkan manusia.

Sehingga itu tetamu Allah berniat untuk melempar dan membuang sejauh dari sudut hati sifat ujub, syirik, riak, hasad, dengki, takbur dan sebagainya yang bersumber dari bisikan syaitan. Sering kali kita mengakui bermusuhan dengan syaitan, namun sebaliknya sedar atau tidak, jalan syaitan yang selalu kita tempuh dan ikutkan.

Sedangkan simbol solat adalah melambangkan bahawa tetamu Allah untuk sentiasa mengikuti jejak pola fikir, sikap dan gerak-geri Rasulullah SAW serta berupaya menghidupkan sunnahnya dalam kehidupan nyata.

Mina yang bermakna medan kehidupan dan pelabuhan. Ada yang memberi erti ia sebagai siratal mustaqim (titian) di akhirat kelak untuk menentukan ke syurga atau ke neraka. Kerana itu sering kali jemaah haji tersesat jalan menuju ke Mina sebagai ujiannya. Begitu juga para anbiya banyak menziarahi tempat ini. Sejarah korban juga bermula di sini antara Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail AS.

Safa dan Marwah, Nabi Adam dan isterinya Hawa, Siti Hajar dan Nabi Muhammad SAW melakukan sai' di tempat ini, kemudian diikuti umat yang kemudian sebagai sunnah dan simbol ibadat haji. Nabi Adam pernah duduk di atas bukit Sofa, manakala isterinya pernah duduk di atas bukit Marwah, demikian menurut al-Buruswi.

Duduknya kedua hamba Allah di atas kedua bukit itu membayangkan renungan yang cukup mendalam mengenai anak cucu mereka di kemudian hari. Demikian juga halnya ketika Siti Hajar yang berlari-lari di antara kedua bukit itu untuk mendapatkan air bagi anaknya Ismail. Dapat dibayangkan bagaimana besarnya kasih sayang Siti Hajar kepada anaknya sehingga usaha yang dilakukannya membuahkan hasil yang cukup indah dan manis iaitu terpancutnya air zamzam untuk generasi mendatang.

Nabi Adam, Siti Hawa, Siti Hajar dan Nabi Muhammad SAW memiliki semangat yang tinggi dan tidak pernah berputus asa untuk membangun kehidupan yang bermanfaat dan berkualiti bagi generasi yang kemudian. Adalah perlu kita renungkan mengapa perbuatan mereka itu menjadi monumental dalam kehidupan umat. Jawabnya hanya satu kerana mereka adalah orang yang sangat ikhlas dan dengannya dapat membangun kehidupan penuh positif.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)