• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Hak Al-quran Untuk Dibaca Dan Diamalkan

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

TANPA sebarang keraguan, al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang terkandung pelbagai khazanah ilmu bagi manfaat manusia.

Firman Allah yang bermaksud: "Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)." (Surah al-Ma'idah ayat 48) Kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, hanya boleh dicapai jika manusia berpegang kepada kandungan al-Quran.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya dan Rasul-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 285) Al-Quran kekal terpelihara daripada sebarang bentuk perubahan hingga hari kiamat.

Melihat kepada keistimewaan al-Quran, umat Islam perlu menjunjung ketinggian martabat kitab suci itu, semua haknya perlu ditunaikan. Antara hak al-Quran ialah untuk diimani, dibaca, dihafal, difahami, diamalkan dan hak untuk disebarkan isi kandungannya.


Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9).


Al-Quran perlu diimani kerana menolak al-Quran sehingga meragui isi kandungannya akan membuatkan umat Islam tercampak ke lembah kekufuran. Keimanan terhadap al-Quran turut berkait dengan keimanan kepada Rasulullah yang dipilih sebagai Rasul akhir zaman dan menyampaikan ajaran Islam seperti mana yang termaktub di dalam al-Quran.

Selain itu, hak al-Quran untuk dibaca. Adakah kita membaca al-Quran setiap hari? Pernahkah kita memperuntukkan masa untuk membaca dan memahami al-Quran? Berapa ramai generasi muda hari ini tidak tahu membaca al-Quran? Jauhnya umat Islam daripada al-Quran akan menutup pintu rahmat dan keberkatan Allah dalam kehidupan mereka. Malah, hakikatnya al-Quran bakal memberi syafaat buat umat Islam di akhirat kelak. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Bacalah al-Quran, kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada pembacanya." (Hadis riwayat Muslim) Kemudian hak al-Quran hak untuk dihafal. Terlalu banyak ganjaran bagi mereka yang mampu menempatkan ayat al-Quran dalam hati mereka. Jika al-Quran sudah terpahat dalam hati, maka diri akan sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Rasulullah pernah memberi perumpamaan yang buruk bagi mereka yang tidak mempunyai al-Quran dalam hatinya.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubah seperti sebuah rumah yang rosak." (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad, al-Hakim, dan al-Darimi) Hak al-Quran yang keempat ialah hak untuk difahami. Sesungguhnya inti pati al-Quran tidak akan dapat dibongkar jika umat Islam gagal memahami isi kandungan al-Quran. Pemahaman isi kandungan al-Quran boleh diperoleh menerusi kupasan tafsiran al-Quran di pelbagai media.

Penguasaan bahasa Arab juga perlu diusahakan bagi memahami isi kandungan al-Quran.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Pelajarilah al-Quran dan bacalah, serta tidurlah kalian. Sebab perumpamaan al-Quran dan orang yang mempelajarinya kemudian ia mahu membacanya, ibarat satu bejana yang penuh berisi minyak wangi yang baunya semerbak di merata tempat. Sedangkan perumpamaan orang yang mempelajari al-Quran, tetapi ia tidur sahaja, al-Quran hanya di dadanya sahaja (tidak dibaca); maka hal itu ibarat bejana yang berisi minyak wangi, tetapi tutupnya diikat rapat-rapat." (Hadis riwayat Ibnu Majah, al-Tirmidzi, al-Nasa'i, dan Ibnu Hibban) Al-Quran mempunyai hak untuk diamalkan. Berdosa jika mengetahui isi al-Quran, namun tidak mengamalkannya. Jika al-Quran tidak dipelihara atau diamalkan, ia bakal mengheret Muslim ke pintu neraka. Berbahagialah bagi mereka yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Orang Mukmin yang membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, ibarat buah yang manis, rasanya enak dan baunya harum." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, dan lain-lain) Hak al-Quran yang terakhir ialah untuk disebarkan isi kandungannya. Perkara itu menjadi perjuangan Rasulullah ketika hayatnya yang diteruskan salaf al-salih dan golongan ilmuan Islam. Hakikatnya, ia membuktikan Islam cintakan ilmu dan menggalakkan budaya ilmu disuburkan untuk faedah umat manusia.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling baik antara kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Darimi)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)