• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Hak Zakat Golongan Mualaf

GOLONGAN mualaf adalah antara mereka yang layak menerima zakat. Ia sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah yang maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang mualaf...(at-Taubah: 60)

Persoalannya, masih terdapat golongan ini yang terpaksa turun-naik pusat zakat atau Baitulmal memohon bantuan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Pengarah, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam merangkap Pengarah Institut Kajian Zakat Malaysia (IKAZ) UiTM, Prof. Madya Dr. Muhamad Rahimi Osman yang memperkatakan tentang agihan zakat kepada asnaf mualaf.




Dr. Muhamad Rahimi Osman

--------------------------------------------------------------------------------



MEGA: Golongan mualaf adalah salah satu asnaf yang layak menerima zakat. Boleh Dr. jelaskan siapakah yang dimaksudkan dengan mualaf?

DR. RAHIMI: Golongan mualaf ialah mereka yang dijinakkan hatinya atau keyakinan hatinya dapat bertambah terhadap Islam. Mereka adalah salah satu dari lapan golongan yang layak menerima zakat.

Golongan mualaf ini seperti yang disebut oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Zakat boleh dibahagikan secara umumnya kepada kategori berikut:

1) Golongan yang diharapkan keislamannya atau keislaman keluarga serta kaumnya. Ini seperti yang berlaku kepada Safwan bin Umayyah yang pada masa pembukaan Kota Mekah diberikan keamanan oleh Rasulullah SAW dan diberi masa untuk memikirkan tentang dirinya (sama ada mahu memeluk atau sebaliknya).

Kemudian beliau kembali bertemu Nabi dan turut berperang bersama kaum Muslimin dalam peperangan Hunain, yang ketika itu beliau masih belum lagi memeluk Islam.

Kemudian Rasulullah SAW memberinya sejumlah unta yang banyak dari sebuah lembah (wadi), sambil menyatakan ini adalah pemberian orang yang tidak takut akan kefakiran. Dengan pemberian itu Safwan bin Umayyah memeluk Islam.

2) Golongan orang yang ditakuti akan kejahatan mereka. Mereka ini dimasukkan ke dalam kelompok penerima zakat, dengan harapan dapat mencegah kejahatannya.

Dalam riwayat Ibnu Abbas dikatakan, bahawa ada suatu kaum datang kepada Nabi SAW yang apabila mereka diberi bahagian dari zakat, mereka memuji Islam dengan menyatakan: “Inilah agama yang baik!” Akan tetapi apabila mereka tidak diberi, mereka mencelanya.

3) Golongan orang yang baru memeluk Islam. Mereka perlu diberi perhatian agar bertambah mantap keyakinannya terhadap Islam.

Ini kerana setiap orang yang baru memeluk Islam sesungguhnya telah meninggalkan agamanya yang lama, mengorbankan apa yang menjadi miliknya dari kedua orang tua dan keluarganya.

Dimusuhi keluarga dan diputuskan rezekinya. Tidak dapat diragukan lagi, bahawa orang yang merelakan dirinya dan meninggalkan dunianya semata-mata kerana Allah sangat perlu diberi perlindungan dan pertolongan.

Saidina Umar Al-Khattab telah membatalkan pemberian zakat kepada asnaf mualaf. Apakah bahagian golongan mualaf ini telah dimansuhkan selepas kewafatan Rasulullah SAW?

DR. RAHIMI: Apa yang dilakukan oleh Saidina Umar sebenarnya bukan memansuhkan asnaf mualaf dari ketetapan yang telah dibuat oleh al-Quran.

Sebenarnya apa yang dibuat oleh Umar pada masa pemerintahannya ialah beliau tidak lagi memberi zakat kepada golongan ini kerana menurut pendapatnya bahawa Islam sudah kuat dan tidak perlu lagi untuk dipujuk hati golongan bukan Islam seperti yang berlaku di zaman Nabi SAW.

Begitu juga menurut beliau mualaf itu bukan sesuatu yang bersifat tetap, dan tidak bermakna seorang yang mualaf pada suatu masa, tetap mualaf pula pada masa lain.

Namun begitu terdapat pandangan ulama yang menyatakan bahawa keperluan untuk menjinakkan hati golongan bukan Islam tidak terhenti. Sebabnya, ini termasuk dalam tugas dakwah Islam yang akan mengeluarkan golongan bukan Islam dari lembah kekufuran kepada cahaya Islam.

MEGA: Siapakah bertanggungjawab memujuk hati dan menyerahkan zakat kepada golongan mualaf?

DR. RAHIMI: Dengan menjadikan golongan ini sebagai sasaran zakat, jelas kepada kita bahawa zakat dalam pandangan Islam bukan sekadar perbuatan baik yang bersifat kemanusiaan dan bukan pula sekadar ibadah yang dilakukan secara peribadi. Ia adalah salah satu tugas pemerintah.

Ini kerana kebolehan menarik hati dan penentuan keperluan golongan mualaf hanya boleh ditentukan oleh pihak pemerintah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW dan Khulafaur-Rasyidin.

Pemerintah juga bertanggungjawab melindungi saudara baru Islam ini, yang kadang-kadang akan melibatkan isu-isu perundangan dan politik.

MEGA: Bagaimana pemerhatian Dr. terhadap kebajikan asnaf mualaf di negara kita?

DR. RAHIMI: Kedudukan perkara ini sebenarnya memerlukan kajian yang menyeluruh di seluruh negara bagi kita melihat tahap kebajikan asnaf.

Kajian sebegini perlu agar membantu pihak berkaitan mengefisienkan bantuan dan paling kurang, agar tidak berlaku ‘terlepas pandang’ dalam menjaga dan memelihara kebajikan asnaf ini.

Tinjauan secara umum di negeri Selangor, kebajikan asnaf ini diberi tumpuan istimewa.

Pelbagai bantuan disalurkan dengan mengambil kira tahap ekonomi dan bentuk bantuan yang diperlukan asnaf berkaitan. Bantuan yang diberi meliputi sumbangan awal ketika memeluk Islam dan bantuan berterusan mengikut keperluan asnaf bagi tempoh lima tahun.

MEGA: Kebelakangan ini, kita sering melihat beberapa saudara mualaf meminta bantuan daripada masjid ke masjid atau daripada rumah ke rumah seolah-olah ‘meminta sedekah’. Kenapa berlaku hal sebegini?

DR. RAHIMI: Kita memang tersua senario seperti ini. Di kariah saya pun ketika bulan Ramadan ini, surau kami kerap didatangi asnaf mualaf.

Seperti yang dinyatakan tadi, hal ini juga perlu dibuat kajian dan siasatan. Beberapa perkara mungkin menyumbang kepada fenomena ini.

Pertama, asnaf berkaitan mungkin tidak tahu haknya yang memang tersedia di pejabat agama. Ini berlaku jika asnaf berkaitan memeluk Islam melalui saluran umum yang belum melalui proses jabatan agama.

Keduanya, kita tidak mengetahui status mualafnya itu sudah berapa lama. Kemungkinan sudah melebihi lima atau 10 tahun.

Jika bantuan kepadanya mungkin sudah terhenti kerana sudah terlalu lama status mualafnya, bantuan masih tetap perlu diberi jika insan berkenaan tergolong dalam kelompok asnaf fakir, miskin dan gharimin (orang yang berhutang).

Ketiganya, kemungkinan berlaku di sana masalah sikap mualaf itu sendiri yang sudah selesa dengan menerima bantuan orang lain.

Ini melibatkan masalah tarbiyah yang perlu diusahakan agar mereka memahami perkara pokok berhubung dengan kedudukan meminta-minta dalam agama Islam.

Apa pun keadaannya, permasalahan ini tidak boleh dipandang ringan kerana senario berleluasa peminta sedekah mualaf memberi implikasi yang tidak elok pada pandangan umum.

Seolah-olah masuknya mereka kepada agama Islam berakhir dengan menjadi peminta sedekah.

Senario ini juga memberi gambaran begitu lemahnya sistem takaful Ijtimaii masyarakat Islam hingga tidak dapat membantu saudara mereka yang baru memeluk Islam.

MEGA: Apakah pendekatan terbaik dalam menyalur bantuan kepada asnaf mualaf ini?

DR. RAHIMI: Perkembangan Islam di negara kita ternyata menarik minat non-Muslim mendekati Islam. Mereka ini terdiri daripada lelaki dan wanita dengan peringkat umur serta latar belakang sosio-ekonomi yang berbeza.

Kedudukan ini tentunya menggambarkan bantuan yang diperlukan mereka tidak sekata. Bagi golongan remaja, perhatian perlu diberi kepada memastikan mereka mendapat bantuan secukupnya untuk menimba ilmu dan mempunyai kemahiran tertentu untuk berdikari dalam kehidupan.

Bagi golongan yang tua dan uzur, perhatian yang perlu diutamakan ialah memastikan mereka mendapat bantuan secukupnya dalam meneruskan kehidupan.

Adalah suatu kezaliman di pihak ummah membiarkan mereka meminta sedekah untuk memenuhi keperluan mereka ini. Untuk perlu rasa satu keaiban jika keadaan ini berlaku. Lebih-lebih jika keperluan mereka itu tidak terbela dan disiarkan pula secara umum dalam program ‘Bersamamu TV3’.

Hari ini, kemungkinan pengurusan sebegini agak besar memandangkan pejabat agama terhad kakitangannya berbanding dengan hal-hal yang perlu diuruskan di setiap negeri.

Keadaan ini menuntut keprihatinan orang ramai untuk hubungkan asnaf-asnaf yang memerlukan kepada pengetahuan pihak berwajib agar tidak berlaku ‘terlepas pandang’ dalam memelihara kebajikan asnaf dan hak mereka yang sepatutnya.

Untuk tujuan ini, para amil boleh berperanan sepanjang tahun menyalur maklumat kepada pejabat agama agar tidak hanya aktif ketika bulan Ramadan.

Usaha ini juga boleh meminimumkan hal-hal birokrasi yang mungkin timbul jika asnaf berurusan secara terus dengan pejabat agama.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)