• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Halal Penentu Sempurna Ibadat

Dr. Amini Amir Abdullah

--------------------------------------------------------------------------------

MEGA: Makanan halal adalah salah satu aspek kesempurnaan ilmu. Apa kesan bagi mereka yang 'membujur lalu melintang patah' dalam bab makan minum ini?

DR. AMINI: Makanan halal mencakupi semua perkara yang kita ambil seharian untuk membolehkan kita beribadat kepada Allah SWT dan menjalankan fungsi kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Rezeki kita mestilah datang daripada sumber yang halal jika kita ingin sentiasa mendapat keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT.

Mereka yang mengambil berat dalam soal makanan amatlah teliti sumber pengambilan makanannya. Ini kerana setiap makanan atau minuman yang kita ambil menjadi darah dan daging serta menjadi keberkatan hidup. Makanan yang kita ambil menentukan kecemerlangan ilmu.

Orang yang selalu memakan 'bangkai' (makanan yang tidak halal), tidak akan dapat mencapai kesempurnaan ilmu dan mencapai keberkatan Allah.

Kita perlu mengambil hanya rezeki yang baik lagi halal. Perhatikan firman Allah SWT yang bermaksud: Hai sekelian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. (al-Baqarah: 168)

Manusia perlu meningkatkan kecemerlangan diri, akhlak, sahsiah dan ekonomi. Justeru Allah SWT mewajibkan manusia mengambil sumber rezeki yang halal dan menghindari jalan pemerolehan rezeki yang tidak halal.

Di samping mengambil rezeki yang halal, manusia Muslim mesti memastikan mengambil sumber rezeki yang baik juga. Ada makanan yang halal tetapi tidak baik seperti monosodium glutamate dan minuman bergas atau berkarbonat.

Begitu juga dalam menggunakan sumber perolehan rezeki, manusia Muslim perlu menggelakkan diri daripada pembaziran dan perkara yang sia-sia.

Islam juga mengharuskan manusia mengambil faedah dan menggunakan keperluan-keperluan dunia untuk menuju ke akhirat. Tiada larangan untuk manusia mencari kebahagiaan di dunia asalkan ia dilakukan secara tidak melampau.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikurniakannya untuk hamba-hambanya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakannya. Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga tidak beriman) dalam kehidupan dunia. (Nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat. Demikianlah kami jelaskan ayat-ayat keterangan kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui". (al-A'raaf: 32)

Ada yang beranggapan halal itu hanya jenis dan bentuk makanan itu sahaja. Benarkah begitu?

DR. AMINI: Halal bukan pada zahirnya sahaja seperti makanan halal. Yang lebih penting punca dan sumbernya untuk mendapatkan makanan tersebut mestilah daripada cara yang halal seperti tidak menipu, rasuah dan lain-lain.

Kaedah dan prinsip mencari rezeki juga mestilah dengan jalan yang halal. Jika melibatkan kaedah atau cara yang haram, maka sumber rezeki itu juga haram. Tuntutan agama untuk mencari sumber rezeki yang halal mestilah dipatuhi.

Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah. (riwayat Al- Bukhari)

Kenapa pahalanya begitu besar diberi kepada orang yang mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarganya?

Besar juga pahala orang yang kerjanya melibatkan berbagai-bagai cabaran dan godaan dan dia berjaya melepasinya seperti kerja-kerja yang terdedah kepada risiko rasuah, suapan, komisen dan seumpamanya.

Orang yang pasrah kepada rasuah dan perlanggaran integriti adalah mereka yang gagal dan tidak prihatin terhadap masa depan keluarganya dan pembalasan di akhirat kelak.

Makanan yang halal membentuk jiwa, peribadi dan mental yang baik. Pemilihan makanan yang baik lagi halal dan seimbang boleh membentuk kesihatan yang baik seterusnya menghasilkan fikiran yang baik.

Makanan-makanan ringan umpamanya, walaupun halal tetapi tidak berapa baik untuk kesihatan. Justeru, pemilihan makanan yang berkhasiat, baik dan seimbang diperlukan untuk membentuk akal yang baik.

Akal yang baik dan tubuh badan yang sihat membolehkan akal berfungsi dengan sepenuh keupayaannya.

Zaman Nabi SAW, umat Islam diuji dengan peperangan pada bulan Ramadan. Hari ini, sebahagian besar 'tewas' tanpa berperang sehingga ada yang tidak solat akibat kekenyangan selepas berbuka. Kenapa jadi begitu?

DR. AMINI: Ini adalah satu masalah besar. Kita cuba melakukan satu tanggung jawab agama yang besar tetapi kita tidak prihatin atau mengabaikan satu lagi tanggung jawab agama yang besar. Orang seperti ini tidak faham agama.

Apa gunanya berpuasa kalau tidak bersolat! Begitu juga, apa gunanya bersolat kalau tidak berpuasa! Walau bagaimanapun ada kes yang lebih teruk, tidak bersolat sama sekali dan juga tidak berpuasa serta tidak menutup aurat. Ini kes yang sangat 'teruk bin teruk'.

Sebab itu, orang yang tidak solat kerana kekenyangan berbuka adalah mereka yang tidak faham tentang kewajipan bersolat dan adab berbuka.

Puasa sepatutnya mengubati penyakit rohani seperti bakhil, kedekut, tidak kasihan dan prihatin kepada orang lain, mementingkan diri sendiri dan puasa juga sepatutnya mengubati penyakit agama iaitu tidak bersolat dan tidak menutup aurat.

Ramai yang berpuasa tetapi masih meninggalkan ajaran agama. Ini menunjukkan puasa mereka bermasalah dan tidak mendatangkan kesan kepada penghayatan beragama dan komitmen beragama.

Kita sepatutnya membudayakan menjemput rakan berbuka di rumah. Ini sepatutnya menjadi budaya hidup kita untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Rasulullah SAW menyarankan bahawa orang yang menjemput seseorang yang berpuasa ke rumahnya untuk berbuka puasa mendapat pahala sama seperti pahala puasa orang yang dijemputnya itu.

Adakah makanan yang haram menjadi punca amalan dan doa kita tidak dimakbulkan?

DR. AMINI: Memang betul, amalan dan doa tidak dimakbulkan jika kita mengambil makanan yang haram. Elakkanlah mengambil makanan yang haram sebabnya implikasinya membawa banyak musibah seperti amalan dan doa ditolak oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: "Demi (Allah) yang diri Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, tiada diterima Allah amal darinya 40 hari". (riwayat Tabrani)

Makanan yang haram tidak semestinya babi dan haiwan yang tidak disembelih sahaja. Ia termasuklah juga sumber-sumbernya. Orang yang mendapat gaji kerana bekerja tetapi selalu curi tulang atau ponteng adalah contoh mereka yang memperolehi sumber rezeki yang haram.

Kadang-kadang kita lihat, orangnya kaya raya tetapi anak-pinaknya hidup dalam keadaan kucar kacir dan tungganglanggang atau tidak 'menjadi'.

Kalau kita buat analisis secara tuntas, kita akan dapati orang ini walaupun kaya-raya, sumbernya datang daripada jalan salah.

Maka kesannya bukan sahaja ke atas yang empunya diri, bahkan melibatkan anak-pinaknya juga.

Telah dinukilkan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin, bab Adab Makan, satu hadis bermaksud: "Hendaklah kamu makan daripada makanan orang yang bertakwa". Apakah huraian hadis ini?

DR. AMINI: Pertama, makanan orang yang bertakwa ialah makanan yang halal lagi baik dan daripada sumber yang halal.

Kedua, makanan yang menepati sunah Nabi Muhammad SAW dan apa yang dianjurkan oleh Allah SWT.

Ketiga, makanan yang berkualiti dan berkhasiat yang dapat meningkatkan kualiti ibadah kita.

Keempat, makanan yang diambil oleh para nabi, wali dan orang-orang soleh.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)