• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Haram gugur bayi tanpa sebab

SOALAN 1:
Apakah hukumnya seorang isteri menggugurkan janin sebelum usianya empat bulan kerana mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya?

JAWAPAN:

Tidak semua wanita di dunia ini diberi kurnia untuk mengandung. Ada sebahagiannya yang boleh mengandung ada pula sebahagiannya yang tidak boleh mengandung dengan sebab-sebab tertentu.

Mafhumnya, janin dan jasad manusia terbentuk di dalam rahim wanita. Kelebihan ini tidak ada tolok bandingnya. Dalam keadaan puan saya percaya, bahawa puan bukan suka-suka nak gugurkan janin, tetapi ada alasan.

Namun alasan puan tidak cukup kuat untuk menggugurkan janin tadi walaupun belum cukup empat bulan. Puan memberi alasan kerana hendak menumpukan kerjaya. Maksudnya kelahiran anak itu akan mengganggu kerjaya puan?

Allah beri puan peluang untuk mengandung jangan pula puan jadikannya sebagai bebanan. Lebih-lebih lagi jika mengandung anak yang sulung. Adalah sama sekali tidak wajar kerana inilah peluang puan untuk menimang cahaya mata yang akan membawa sirna baru dalam kehidupan puan.

Letakkan tangan puan pada perut dan tanya perasaan puan dengan setulus hati adakah dia (janin) itu tidak berhak membesar di dalam perut puan dan mahu di keluarkan agar dia tidak melihat bumi?

Cuba puan lihat kepada generasi yang terdahulu dalam lingkungan awal 1970 atau lebih awal dari itu. Suasana kehidupan mereka lagi susah berbanding dengan kita namun mereka berjaya membesarkan anak-anak mereka.

Untuk menjadikan puan lebih faham saya muatkan di sini beberapa ayat-ayat suci al-Quran untuk renungan dan penghayatan puan. Allah SWT janji rezeki mereka yang bakal lahir sudah ditentukan dan kelahirannya juga tidak akan mengganggu kehidupan seharian puan malahan kehadiran anak-anak akan menjadikan kehidupan ibu dan ayah lebih bermakna.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ...dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah Yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan...(al-An’am: 151).

Dalam surah yang lain Allah menjelaskan bahawa dialah yang berikan seseorang zuriat lelaki dan perempuan. Firman-Nya yang bermaksud: Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya; ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. (asy-Syura’: 49)

Allah menegaskan bahawa jangan sesekali kalian membunuh anak kerana takutkan kepapaan. Firmannya yang bermaksud: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. (al-Israk: 31)

Sebagai tambahan dan lebih faedah untuk pembaca disertakan hukum menggugurkan janin dalam keadaannya yang berbeza:

- Janin menghidap penyakit yang ringan (tidak mengakibatkan kematian) yang boleh diubati.

Hukumnya: Haram sebelum berumur empat bulan dan selepasnya.

-Janin menghidap kecacatan ringan yang tidak boleh diubati tetapi ia boleh hidup. Seperti buta, cacat sebelah tangan atau kedua-duanya, cacat kaki, kurang jari dan sebagainya.

Hukumnya: Haram jika umur janin melebihi empat bulan dan harus kiranya umur bayi kurang empat bulan.

-Janin menghidap kecacatan yang serius yang membawa kematian seperti tiada kepala, tiada paru-paru dan sebagainya.

Hukumnya: Biasanya janin akan gugur dengan sendirinya. Tiada hukum.

-Janin mengalami kecacatan anggota yang membawa akan membawa kematian sejurus selepas dilahirkan. Hukumnya: Terdapat perbezaan pandangan ulama.

-Harus sebelum berumur empat bulan, haram selepas empat bulan.

-Harus walaupun selepas empat bulan dengan syarat keyakinan tinggi hasil analisis doktor-doktor pakar.

-Janin menghidapi penyakit AIDS. Hukumnya: Harus sebelum empat bulan, haram selepas empat bulan.

-Janin yang terhasil akibat dirogol. Hukumnya: Harus digugurkan hanya sebelum empat bulan.

- Janin yang sihat @ sakit @ cacat tetapi nyawa ibu terancam kiranya janin dilahirkan.

Hukumnya: Harus gugur janin sama ada sebelum atau selepas empat bulan, kerana nyawa ibu diutamakan dalam hal ini.

SOALAN 2:

Mengapa umur janin sebelum dan selepas empat bulan membawa perbezaan hukum?

JAWAPAN: Berdasarkan hadis riwayat Muslim, titik hidup manusia bermula sebagai manusia dengan mempunyai hak-hak kemanusiaan yang diiktiraf dalam Islam adalah dari umur empat bulan dalam kandungan.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud manusia ditiupkan rohnya ketika sekitar berumur 120 hari. Demikian pandangan mazhab yang empat dan majoriti fuqaha.

Maka apabila telah ditiup roh, janin tersebut dianggap sebagai seorang manusia yang mempunyai hak seperti manusia sempurna. Justeru, penggugurannya adalah dikira membunuh manusia atau nyawa.

Ia diharamkan oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan janganlah kamu membunuh nyawa manusia yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang benar (di sisi syarak). (al-An’am: 151)

Walaupun majoriti fuqaha memfatwakan boleh menggugurkan janin sebelum empat bulan dengan sebab-sebab yang konkrit, terdapat sekumpulan kecil ulama yang mengharamkannya dalam semua peringkat umur janin, ia adalah pandangan Imam Abu Hamid Al-Ghazali (wafat 505 H), serta sebahagian fuqaha Mazhab Maliki.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)