• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Harga Diri Wanita Islam Cukup Tinggi

Oleh Mohd Fadly Samsudin

PERKEMBANGAN Islam mutakhir ini menyaksikan ramai wanita Muslim memakai tudung. Ini amat menggembirakan kerana mereka sedar bahawa bertudung itu suatu fardu.

Namun, dalam keghairahan bertudung, ramai wanita masih alpa mengenai aurat sehingga menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan umat Islam.

Islam tidak pernah melarang umatnya bergaya dan mengikuti aliran fesyen terkini tetapi pastikan jika mahu bertudung, mereka menutup aurat keseluruhannya, bukan sekadar melepas batuk di tangga.

Seseorang itu masih tidak diiktiraf menutup aurat apabila mereka mengenakan tudung bersama baju lengan pendek, seluar ketat, skirt singkat, kain terbelah dan tidak menutup bahagian leher dan dada.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya." (Riwayat Muslim).

Berpakaian, tetapi dilihat 'bertelanjang' dinisbahkan sebagai wanita yang memakai pakaian ketat dan nipis hingga menampakkan bentuk badannya.

Pakaian adalah rezeki Allah kepada manusia dan jika mereka sentiasa mengikut syariat setiap masa memakainya dikira sebagai ibadah. Setiap perkara yang diperintahkan itu pasti mempunyai hikmah atau rahsia yang tersendiri.

Antara hikmah menutup aurat ialah dapat menjaga maruah dan menutup peluang orang lain terbabit dengan dosa akibat melihat aurat yang sengaja didedahkan.

Wanita juga diperintahkan menutup aurat dengan sempurna untuk membezakan antara wanita Islam dengan kafir. Tudung menjadi identiti wanita Islam sebagai benteng melindungi kehormatan diri.

Harga diri setiap wanita cukup tinggi nilainya sebab itu apabila seorang wanita sudah baligh mereka wajib menutup seluruh badannya kecuali pada bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan.

Menutup aurat bukan hanya sekadar bertudung. Masih ramai wanita mengatakan jika kepala sudah kemas diliputi tudung sudah dikira menutup aurat.

Kini, pelbagai gaya fesyen tudung dipakai namun pemakaiannya masih tidak sempurna jika masih menampakkan bahagian leher atau dada. Jika ada sekelumit perasaan bangga diri dengan apa yang dipakai saban itu turut mengundang dosa.

Pensyarah Pusat Pengajian Islam & Peradaban Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Nurul Bahiyah Awang, berkata wanita Islam perlu memahami betul-betul konsep bertudung.

Tidak salah seorang wanita bertudung mengenakan fesyen tertentu tetapi dengan syarat ia menutup aurat. Ramai wanita bertudung tetapi tidak ada penghayatan serta kefahaman mengapa mereka bertudung.

"Kita tidak menolak perkembangan fesyen semasa tetapi panduan syarak perlu diutamakan dalam semua keadaan. Justeru, kawal diri supaya tidak melanggar batasan yang digariskan Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian," katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka,
atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah Al-Nur, ayat 31).

Beliau berkata Islam adalah agama yang meraikan kemajuan dalam apa bidang sekalipun.

Dalam isu pemakaian tudung, ia bukan sekadar budaya untuk dijadikan ikutan semata-mata tetapi demi menjaga maruah mereka sebagai wanita Islam.

"Setiap wanita bertudung perlu segera membetulkan prinsip dan niat mereka bertudung hanya kerana Allah serta menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya," katanya.

Menurutnya, jika seorang wanita itu berpakaian dengan sempurna pasti dapat mengelak diri daripada melakukan perbuatan mungkar.

"Yang pasti ia bukan bertujuan untuk tampil cantik di depan orang ramai. Setiap wanita perlu mengambil serius perkara ini supaya mereka terlepas daripada fitnah pandangan lelaki bukan mahram selain menjaga maruah wanita mukmin lain," katanya.

Katanya, wanita juga perlu mengelak daripada berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan (tabarruj) sehingga menarik perhatian orang ramai.

"Jika berhias menutupi aurat sekalipun tetapi masih menarik perhatian lelaki tetap dikira sebagai tabarruj. Bagi kaum isteri cukup bagi mereka berhias itu hanya untuk suami mereka saja," katanya.

Beliau turut menyentuh perkembangan wanita yang tampil dengan gaya berhijab mengikut fesyen Barat yang menggelar diri mereka Hijabista.

Hijabista ini adalah hasil rekaan tudung yang mengalami proses transformasi dan permodenan yang mahu Islam setanding dengan barat. Ia menjadi fenomena kepada ramai wanita yang menggayakan tudung pelbagai warna bersama denim, pakaian serta kasut berjenama.

Mereka menganggap itu sebahagian usaha menampilkan 'imej' Islam yang mengetengahkan fesyen tudung Muslimah gaya moden.

"Namun, apa yang ditonjolkan golongan ini masih tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan syariat Islam," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)