• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Hasad Dengki Tak Lemahkan Peranan Ulama

Dr Juanda Jaya

“SEMUA permusuhan boleh diharapkan perdamaian kecuali permusuhan akibat hasad dan dengki.” (Diwan Al-Imam Al-Syafie: 49)

Ungkapan, al-Imam al-Syafie jelas menggambarkan sifat semua manusia. Ia akan menjadi amat hodoh apabila menimpa mereka yang mendakwa diri alim dalam beragama. Ungkapan ini muncul daripada pengalaman Imam al-Syafie yang pernah menjadi mangsa permainan kejahilan pentadbir dan politikus yang jahat dan suka menyalahgunakan kuasa.

Akibatnya beliau disisih, dihalang daripada mengajar dan berceramah, hatta dalam rumahnya sendiri. Lebih sedih untuk tujuan mengaibkan kemuliaan imam yang digelar nasirus sunnah (pembela sunnah Nabi SAW) ini, beliau digari, dirantai dan diseret dari Yaman menuju ke Baghdad akibat dituduh perkara yang tidak pernah dilakukannya.



Semuanya hasil kelemahan dan kebodohan pemerintah yang hanya mendengar nasihat orang bodoh dan jahil tetapi berlagak serta berlakon umpama orang alim dalam disiplin agama. Tidak kira Muslim yang jahil atau alim, dari kalangan orang biasa atau ulama, sesungguhnya sifat hasad merosakkan akal dan jiwa, agama dan urusan dunia mereka. Disebabkan hasad, seseorang tidak boleh mengawal dirinya membenci, memusuhi dan mencuba menjatuhkan saudaranya sehingga lupa bahawa pernah turun ayat al-Quran yang mengingatkan supaya menghapuskan sifat dengki dari hati mereka.

Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa; Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara kami yang sudah beriman lebih dulu daripada kami dan janganlah Engkau membiarkan rasa dengki dalam hati kami terhadap orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hasyr: 10).

Hasad dengki di kalangan ulama memang wujud, bahkan penyakit hati inilah yang paling besar bahayanya, mengotori kesucian ilmu dan agama, menebarkan kebusukan dan kejahatan yang ditunggangi oleh nafsu iblis. Setiap manusia ada syaitannya, tak kira nabi dan rasul, inikan lagi manusia biasa yang digelar ulama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan ia diiringi temannya daripada jin (syaitan) dan temannya daripada malaikat. Sahabat bertanya: Dan padamu juga, wahai Rasulullah? Sabda Baginda: Padaku juga, tetapi Allah Azza Wa Jalla membantuku terhadapnya sehingga dia tiada menyuruhku kecuali kebenaran saja.” (Hadis Muslim)

Persaingan antara ulama untuk mendapat perhatian, kedudukan tinggi, kemuliaan dan kehormatan yang dijulang pengikut yang ramai menunjukkan ulama tetap manusia biasa. Siapa yang tak teringin dunia, kuasa dan nikmat yang berkekalan, bukankah ini tabiat semula jadi penciptaan manusia? Mengapa golongan kononnya berilmu ini terbabit juga dengan penyakit hati yang Rasulullah SAW sifatkan seperti pisau pencukur?

Puncanya kerana ilmu yang dituntut belum sempurna dan hakikatnya ia tidak akan sempurna sampai bila-bila kecuali ilmu itu diwarnai dengan iman dan akhlak hasil pengalaman terhadap sedikit titisan ilmu anugerah Allah SWT. Ilmu Allah SWT begitu luas dan tiada siapa mampu mencapai kesempurnaannya.

Jadi, sesiapa ulama yang menyangka dirinya lebih berilmu daripada saudaranya, sesungguhnya ia tertipu oleh ilmu sendiri. Bukankah guru kita sering mengingatkan dengan ajaran imam yang kita agungkan, al-Imam al-Syafie bahawa: “Kataku mungkin salah dan kata penentangku mungkin benar.” Juga panduan dalam menilai yang benar, al-Syafie mengajarkan: “Jika (dalil penentang itu adalah) hadis yang sahih, maka itulah mazhab aku.”

Perbezaan pandangan seharusnya tidak memicu permusuhan dan dendam pada mereka yang bergelar pewaris Nabi. Sifat tawaduk jelas terakam dalam keperibadian empat imam mazhab yang masih kekal hingga kini. Maka jangan sesiapa cuba mengeksploitasikan hal ini. Imam Abu Hanifah berkata: “Inilah pendapat Abu Hanifah dan inilah sebaik-baik pendapat yang kami capai dan orang yang mendatangkan yang lebih baik daripadanya, itulah yang lebih benar.”

Imam Malik berkata: “Saya ialah manusia biasa, boleh benar boleh juga salah, maka perhatikanlah pendapat saya ini. Apa yang bersesuaian dengan al-Quran dan sunnah ambillah dan yang tidak sesuai tinggalkanlah.”

Imam Ahmad Hanbal berkata kepada Abu Daud: “Janganlah engkau bertaklid kepadaku, jangan bertaklid kepada Malik, jangan bertaklid kepada al-Thauri dan al-Auza’i, ambillah pendapat dari tempat mereka mengambil (iaitu al-Quran dan al-Sunnah).” (Ilmu Perbandingan mazhab, Prof Dr Hasbi Ash-Shiddiqie)

Imam Al-Syafi’ie pula mengatakan: “Jika kamu dapati apa yang ada dalam kitabku menyanggah sunnah Rasulullah SAW, maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Syiar Alam Al-Nubala’ al-Zahabi Jilid 10, halaman 34).

Malang sekali, pengikut yang mengaku pembela mazhab mereka saling bertikam, bersaing dan berdendam layaknya seorang jahil. Di kalangan orang awam lagi teruk keadaannya akibat momokan Wahabi. Padahal fahaman ini tidaklah sebagaimana tuduhan jahat yang dilemparkan orang jahil yang mengaku membela fahaman tertentu.

Fitnah yang ditujukan kepada ulama yang tidak sehaluan, amat mengecewakan kerana ia dicetuskan oleh sesama orang alim yang dikawal oleh emosi dan nafsu untuk mempertahankan habuan dunia.

Mengapa wajib mengamalkan mazhab tertentu, padahal zaman Rasulullah SAW tiada sebarang mazhab melainkan al-Quran dan Sunnah yang menjadi pegangan?

Lagi pula disebabkan kerana bergaduh pasal fiqh yang amat remeh, maka hadis yang sahih daripada al-Bukhari dan Muslim ditolak akibat ia tidak mengikuti selera arus perdana. Akhirnya bab akidah yang menjadi teras keimanan diremehkan, muncul ajaran sesat yang semakin hangat kebelakangan ini sehingga penguat kuasa agama kecut perut untuk ambil tindakan dan ia tak mampu ditangani dengan baik.

Penjahat sebenar dibiarkan bebas, tetapi ulama yang amanah dengan ilmunya dicemburui, disekat, difitnah bahkan kalau boleh dipenjarakan, sedangkan pintu dialog dan berbahas secara akademik dan profesional boleh dilakukan. Bukankah sejarah pernah mencatatkan dialog antara Tok Kenali dengan penentangnya pernah berlaku di pekarangan Istana Kelantan suatu ketika dulu, bahkan perkarangan Istana Selangor di tapak Kolej Islam Klang sekarang turut pernah memperlihatkan golongan ulil amri dan sultan berbahas secara akademik dan jujur dilakukan antara ulama yang berbeza pendapat diadakan bagi menjaga kesucian agama ini.

Belum lagi masalah umat yang semakin kompleks dengan isu maksiat remaja, keganasan rumah tangga, kes kekeluargaan syariah yang lambat, amalan rasuah hingga sikap dan akhlak umat Islam di jalan raya pun sampai kini belum dapat diatasi dengan berkesan, walaupun pelbagai usaha dilakukan. Malangnya jika orang yang berkhidmat untuk agama terheret dengan sifat saling mendengki bagaimanakah masa depan umat ini?

Jelas, kita perlukan pimpinan yang jiwanya besar dan jujur dalam menjalankan amanah untuk dirinya. Api hasad dengki itu merebak dengan pantas. Ia membawa kerugian amat besar kepada umat Islam. Kemajuan umat yang bergantung dengan toleransi akan terbantut dengan sikap hasad dan prejudis yang semakin menjadi-jadi. Betapa pentingnya memiliki sifat ketakutan kepada Allah SWT. Sifat khasyah (takut) kepada Allah SWT sudah dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang amat sangat takutnya kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya adalah ulama.”

Ini adalah pengiktirafan daripada Allah kepada ulama sebenar. Setiap pandangan, perbuatan dan pemikiran mereka dikawal dengan ketakutan dan ketundukannya hanya kepada Allah SWT, bukan takutkan kerusi dan gaji bulanannya. Maka dia tiada niat sedikitpun untuk menjatuhkan sesiapa demi meninggikan diri dan pandangan dirinya semata-mata. Inilah yang al-Imam al-Syafie fahamkan daripada al-Quran dan al-sunnah.



Penulis ialah Mufti Perlis


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)