• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Hijrah Diri Untuk Berjaya

TAHUN baru Islam menghampiri kita lagi. Masa begitu pantas berlalu meninggalkan kita dengan pelbagai kejayaan dan kekecewaan.

Namun jangan lekas berputus asa kerana setiap perkara yang berlaku perlu dihadapi dengan penuh kesabaran.

Terus kekalkan matlamat serta iltizam untuk memperbaiki kelemahan diri.

Sambutan tahun baru ini perlu menjadi titik tolak untuk kita merangka perancangan masa hadapan yang sememangnya tidak tahu apa kesudahannya.

Pokok pangkalnya, jika kita berusaha untuk ke arah kebaikan maka kesudahannya pasti menjurus kepada kejayaan begitulah sebaliknya jika kita tiada perancangan rapi dan terus membiarkan diri terus leka dan alpa pasti kita menemui kegagalan.

Saidina Umar mengungkapkan kata yang bermaksud: "Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esoknya lebih buruk daripada hari ini".

Awal Muharam adalah bulan pertama yang menjadi titik tolak bagi melakukan penghijrahan hati, minda dan mengubah tabiat buruk kepada acuan hidup yang diredai.

Kenapa tidak dipilih hari kebesaran Islam lain sebagai tahun permulaan hijrah?

Ini kerana peristiwa itu lambang kesungguhan dan pengorbanan umat Islam di Makkah ketika itu yang sanggup berkorban nyawa, harta benda demi mencari keredaan Allah.

Peristiwa hijrah juga menarik bukan kerana sejarahnya, tetapi bagaimana 'pelancaran' strategi dijalankan secara bijak dan terancang.

Peristiwa berkenaan juga membuktikan Nabi Muhammad s.a.w turut sama-sama berkorban mengharungi segala kepayahan berkenaan.

Jika diikutkan 'statusnya' sebagai kekasih Allah, Baginda boleh saja membuat pelbagai permintaan untuk menyelesaikan segala tugas sukar yang dihadapi itu dengan mudah.

Walaupun sudah lebih seribu tahun lamanya peristiwa itu berlalu, ia akan tetap dikenang sebagai lambang kejayaan.

Kita jangan hanya berbangga dilahirkan Islam, menggunakan nama Islam, tetapi tiada menjiwai watak seorang Muslim sejati.

Oleh itu, tahun baru Islam perlu disambut dengan penuh keazaman serta komitmen untuk menjalani kehidupan sebagai umat Islam yang berkualiti dan mampu menjadi contoh kepada yang lain.

Dalam konteks negara kita yang hidup dalam suasana masyarakat berbilang kaum ini, contohnya, amat penting menekankan agenda perpaduan antara kaum.

Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah bermula dengan membina masyarakat yang berakhlak mulia. Hanya dengan sifat dan akhlak mulia saja mampu menjamin kepada perpaduan.

Hadis yang diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia".

Itulah penting sekali setiap daripada kita menyemai rasa dan sifat yang menonjolkan peribadi mulia supaya dapat membentuk masyarakat yang hebat tamadunnya.

Sementara itu, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik".

Rasulullah melancarkan seruan dakwah dengan dua keadaan iaitu secara rahsia dan terbuka.

Sejak dari itu bermulalah penentangan hebat yang menyaksikan pelbagai penindasan serta perpecahan antara penduduk Makkah.

Kebangkitan umat Islam di Makkah semakin memuncak sehingga penentangan mereka terhadap golongan kafir Quraisy menjadi-jadi.

Pembesar Quraisy tidak senang duduk melihat kebangkitan itu lalu menanam benih keraguan di hati masyarakat Makkah. Mereka mengaburi mata masyarakat dengan pelbagai ganjaran seperti wanita cantik, harta dan pangkat.

Malah, perkara itu turut ditawarkan kepada Nabi Muhammad sebagai syarat menghentikan gerakan dakwah. Apabila umat Islam memiliki kesungguhan mengubah diri mereka, Allah pasti membantu hamba-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu". (Surah Muhammad ayat 7)

Akhirnya, penghijrahan Rasulullah membuahkan hasil apabila berjaya mengubah perilaku buruk seperti permusuhan kepada persaudaraan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan, orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya". (Surah al-Hasyr ayat 9)

Di Madinah, tugas pertama Nabi Muhammad lakukan adalah menyatukan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Baginda mengasaskan masjid pertama sebagai tempat ibadat, penyebaran ilmu serta tempat penyatuan hati umat Islam.

Yathrib ditukar kepada nama kepada Madinah al-Munawwarah (bandar bercahaya) serta memeterai piagam Madinah.

Nabi Muhammad juga menjalinkan hubungan antara kabilah serta penduduk tempatan selain merangka kaedah membasmi kemiskinan dan memperkuatkan keselamatan negara.

Penghijrahan utama yang perlu dilakukan adalah menukarkan sifat mazmumah kepada nilai mahmudah.

Jika sebelum ini hati kita penuh bersarang dengan sifat buruk marilah mengambil peluang sempena kedatangan Maal Hijrah ini untuk membersih dan menyucikan hati.

Perunding Motivasi, Human Touch Consultant, Mohd Zawawi Yusoh berkata jika seseorang berazam untuk melakukan perubahan diri ia sudah pun dikira perbuatan baik.

"Namun, keazaman perlu disertakan dengan tindakannya sekali. Setiap perancangan pula hendaklah mempunyai mekanisma yang teliti dan bersedia sepenuh hati untuk berubah.

"Jika hanya berazam dan menyimpan cita-cita untuk berubah namun tidak memulakan langkah, azam itu hanya tinggal angan-angan kosong dan tidak bermakna," katanya.

Beliau berkata seseorang perlu bersedia melawan kepayahan yang bakal mereka tempuhi dengan tekun dalam usaha memperbaiki kelemahan diri.

"Perubahan yang dilakukan tidak perlu kepada perkara yang besar-besar. Cukup sekadar memperbaiki kelemahan kecil yang sering kita lakukan setiap hari.

"Ramai daripada kita bukannya berazam sebaliknya lebih banyak berangan-angan dengan perkara yang sukar dilaksanakan. Ia tidak lebih sekadar memenuhi 'soalan rutin' setiap kali tiba musim tahun baru," katanya.

Mohd Zawawi berkata penghijrahan diri untuk menjadi lebih baik perlu disemat setiap hari bagi memungkinkan ia mampu dilaksanakan secara beransur-ansur.

"Setiap tahun baru itu bermula daripada hari. Maka setiap hari kita perlu biasakan diri melakukan kebaikan yang lama kelamaan akan menjadi perkara biasa dalam diri kita.

"Apabila satu perkara kebaikan itu dilakukan secara berulang kali ia akan terus kekal dalam diri kita. Solat adalah tanda aras paling sesuai menggambarkan perubahan sifat seseorang.

"Jika sebelum ini sering solat di akhir waktu maka lakukan perubahan menyempurnakannya di awal waktu, dulu sembahyang berseorangan jadi lakukannya secara berjemaah secara berterusan," katanya.

Berbicara sejarah hijrah Nabi Muhammad dan sahabat lebih 1400 tahun dulu, Mohd Zawawi berkata ketika itu mereka menjalani proses menanam cinta kepada Allah terlebih dahulu.

"Jika diterjemahkan dalam realiti kehidupan, seseorang itu perlu tanam serta suburkan jiwa mereka dengan iman iaitu dengan berzikir, memahami al-Quran selain berjihad.

"Jihad pula kerja keras yang dilakukan dengan penuh amanah, bersungguh-sungguh dan penuh pengharapan agar ia diterima sebagai amalan soleh supaya beroleh keredaan dan keberkatan daripada Allah," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)