• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Hikmah Di Sebalik Wuduk

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

2010/04/30

SOLAT adalah tiang agama dan menjadi 'penangkis segala maksiat'. Solat wajib dilaksanakan sebagai usaha membentuk kebahagiaan jasmani dan rohani.
Sebelum melaksanakan tuntutan solat, umat Islam perlu berwuduk sebagai lambang penyucian zahir dan batin. Ia bukan sekadar pembersihan dan penyucian tertentu anggota daripada segala kekotoran tetapi ia mengandungi hikmah lain yang memberi makna mendalam.


Berwuduk menepati kehendak ilmu kesihatan moden yang memperakui ia adalah kaedah perubatan berkesan. Ibnu Qaiyyim al-Jauzi pernah berkata: "Mandi dan wuduk itu mendatangkan kesegaran badan dan kesedapan jiwa serta menghilangkan sebarang kekotoran yang diperoleh, antaranya yang disebabkan jimak." Justeru, wuduk adalah sebahagian rawatan kesihatan kepada umat manusia. Memetik kata pakar kesihatan dari Akademi Perubatan Daghestan, Dr Magomed Magomedov, wuduk dapat merangsang pusingan biologi manusia dengan merangsang kawasan tertentu yang dikenali sebagai 'Kawasan Aktif Biologi'.


Beliau berkata, bangsa Cina banyak mengkaji kaedah ilmu sains refleksologi dan mereka yakin kawasan aktif biologi akan merangsang sistem saraf dalam tubuh manusia. Ia mampu memberi kesan positif terhadap tahap kesihatan seseorang. Dr Magomed melaporkan, apabila seseorang menyentuh muka ketika berwuduk, ia akan merangsang saraf untuk menyalurkan kekuatan baru kepada organ lain seperti usus, perut, pundi kencing dan sistem peranakan. Apabila kita membasuh kaki kanan sambil menggosok, ia akan merangsang sistem saraf bagi memulihkan sistem tulang, usus, pankreas, hempedu serta kawasan pinggang.


Apabila membasuh kaki kiri, sains perubatan mengakui ia menyihatkan kelenjar dan kawasan otak yang mengawal sistem endoktrin. Maha Suci Allah! Ibadah yang selalu kita laksanakan selama ini sebenarnya terangkum 1001 macam manfaat. Justeru, kepentingan wuduk sebagai satu ibadah dan alternatif rawatan kesihatan sepatutnya menjadi amalan kepada kita.


Tidak semestinya kita mengambil wuduk ketika hendak menunaikan solat atau ketika hendak membaca al-Quran saja. Wuduk boleh dilakukan sebagai amalan untuk membina jiwa yang suci.


Kita dinasihatkan berwuduk apabila marah. Perasaan marah seseorang pasti menurun apabila berwuduk. Cuba kita bayangkan ketika kita menuju ke tempat berwuduk, badan kita dalam keadaan panas dan kurang bertenaga. Bagaimanapun, apabila selesai berwuduk dengan serta-merta anggota tubuh tenteram. Pada suatu hari, Junaid al-Baghdady menghidap penyakit mata. Lalu, dia berubat dengan seorang tabib Nasrani. Tabib itu menilik keadaan mata Junaid, kemudian menasihatkan supaya matanya jangan terkena air. Pada mulanya, dia tidak keberatan mengamalkan petua tabib itu. Namun, di rumahnya, Junaid teringat bahawa setiap kali bersolat, seseorang itu mestilah berwuduk sedangkan berwuduk mesti membasahi muka.


Junaid yakin Allah menjadikan setiap penyakit dan setiap penyakit itu pasti ada ubatnya. Nabi Muhammad s.a.w bersabda bermaksud: "Allah tidak akan menurunkan penyakit kecuali menurunkan ubatnya, maka berubatlah." (Hadis riwayat Ibnu Majah). Tanpa ragu-ragu Junaid pun berwuduk dan membasuhi mukanya. Kemudian selesai melakukan solat, dia tidur. Kejadian aneh terjadi padanya, matanya sembuh.


Tabib yang memberi petua penyembuhan pada Junaid menjadi sangat hairan apabila melihat mata Junaid kembali sembuh. Yang dia hairankan ialah mengapakah begitu cepatnya mata Junaid sembuh. Kata tabib itu, "Mengapakah tiba-tiba sahaja matamu menjadi baik? Jawab Junaid: "Aku hanya berwuduk, aku membasuh muka dan mataku.' Kesan peristiwa itu tabib yang beragama Nasrani itu akhirnya memeluk Islam. Dia mengucap dua kalimah syahadah lalu berkata: "Itu adalah ubat dari Tuhan yang menciptakan penyakit itu. Dia yang memberikan penyakit dan Dia jugalah yang menciptakan ubatnya. Aku juga sebenarnya menderita penyakit, iaitu penyakit hati (rohani), dan Junaidlah yang menjadi tabibnya." Dengan berkat berwuduk, ia mengandungi banyak manfaat terutama menyembuhkan pelbagai penyakit. Itulah yang diperintahkan Allah pasti mempunyai hikmah dan kebaikannya kepada manusia." "Sesungguhnya umatku datang pada hari kiamat dalam keadaan bersinar-sinar daripada kesan wuduk. Sesiapa yang berupaya untuk melebihkan basuhan wuduknya, maka lakukanlah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)