• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Hikmah Israk Mikraj Dorong Umat Tingkat Takwa

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

PENDERITAAN rakyat Palestin terhadap keganasan tentera Israel perlu dihapus dan umat Islam perlu membebaskan bumi al-Aqsa dari kekejaman tentera Zionis.

Peristiwa perjalanan Rasulullah gambaran kepentingan solat, pengajaran setiap musibah

KENANGAN penuh hikmah atas jalan dakwah yang ditinggalkan Rasulullah SAW kekal menjadi inspirasi bagi umatnya hingga ke akhir zaman. Setiap mukmin akan sentiasa gigih berusaha menggali peninggalan Rasulullah SAW kerana tuntutan hatinya yang sentiasa mekar mengasihi Nabi SAW.

Maka dibentangkan kertas kajian mengenai sirah, kitab hadis sahih dan ketinggian ilmu al-Quran untuk dijadikan pegangan kehidupan. Proses penambahan ilmu itu akhirnya membuahkan keintiman jiwa kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Tidaklah cukup seseorang mengutamakan membaca selawat saja dan tidak berminat dengan pencarian sumber maklumat, data dan fakta ilmu untuk mendapatkan gambaran terang mengenai keperibadian serta perjuangan Rasulullah SAW.

Cinta berputik kerana mengenali yang dicintai, memahami keperibadiannya dan menyelami pengorbanannya. Kita cuba menangis ketika membaca keperitan Rasulullah SAW memikul amanah dakwah, tetapi tidak mampu menitikkan air mata kerana tidak menyertai usaha dakwah Baginda.

Kita tidak memiliki cukup ilmu untuk memberi hujah kepada hati mengenai makna keperitan itu. Sesungguhnya seseorang memerlukan fakta, data, ilmu, penghayatan dan amal salih untuk menterjemahkan cintanya kepada Rasulullah SAW.

Salah satu fakta menggambarkan perjuangan dakwah Rasulullah SAW adalah peristiwa Israk dan Mikraj yang sentiasa diingati setiap Rejab. Walaupun ada beberapa pandangan berbeza menentukan tarikh sebenar peristiwa itu seperti dilaporkan kitab Al-Rahiq Al-Makhtum karangan al-Mubarakfuri.

Hal itu tidak menjejaskan hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj sebagai panduan bagi mereka yang berjalan di atas jalan dakwah.

l Menilai semula hubungan dengan Allah.

Pendakwah bertugas membekalkan iman kepada masyarakat yang menjadi sasaran dakwahnya mesti memiliki bekal yang cukup untuk dirinya sendiri. Seorang doktor bertugas mengubat penyakit masyarakat diharapkan memiliki jasad sihat dan mental positif sebelum terjun ke medan berat.

Melalui perjalanan Rasulullah SAW naik ke tempat tertinggi bagi menerima titah amanah Allah yang mewajibkan sembahyang lima waktu sebagai ikatan kukuh antara hamba dengan Penciptanya, sesungguhnya ia memberi gambaran kepentingan ibadah ini.

Umar bin al-Khattab pernah mengirimkan arahan kepada panglima perangnya, Saad bin Abi Waqqash dalam peperangan al-Qadisiyah, katanya: "Wahai Saad, takutlah kamu kepada Allah dengan urusan solat pasukanmu. Kerana sesungguhnya bukanlah kekalahan yang aku khuatirkan melainkan hanya apabila kalian meninggalkan solat, kekalahan akan terjadi apabila solat ditinggalkan. Jika kalian meninggalkan solat maka akan cenderunglah zina, riba, khamar, ingkar kepada Allah dan akhirnya terkeluar daripada agama."

Jika Umar, Saad dan sahabat yang berada di al-Qadisiyah begitu prihatin dengan ibadat solat mereka, mengapa pula kita yang daif, lemah lagi hina dibandingkan mereka tidak menunjukkan tanda-tanda risau dengan ibadah solat kita?

Ketika memperingati peristiwa naiknya Rasulullah SAW menghadap Allah, sememangnya ilmu dan penghayatan kita akan terus bertambah dalam menjalankan ibadat solat kerana kita sentiasa menambah baik maklumat sedia ada dengan maklumat baru dalam al-Quran dan hadis.

Dengan ilmu mengenai solat maka jalan mengenal Allah sudah kita fahami dan seterusnya hubungan ini akan sentiasa erat dan akrab. Akhirnya, ujian apapun yang menghadang di setiap simpang jalan dakwah tidak dirasai terlalu berat kerana hati sentiasa menikmati kemanisan berdekatan dengan Allah.

l Allah mengganti musibah dengan anugerah bagi sesiapa yang reda.

Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi SAW adalah musafir terbaik pernah dialami Baginda. Ia ibarat hadiah bernilai yang bermatlamatkan menghapus kesedihan demi kesedihan Rasulullah SAW selepas pemergian Abu Talib dan Khadijah.

Bukan hanya itu, tragedi keganasan dan penolakan dakwah dilakukan penduduk Taif kepada Rasulullah SAW dan Zaid bin Harithah menjadi ujian terhebat yang menumpahkan darah Nabi SAW sehingga kasut Baginda dibasahi darah.

Kemudian berlanjutan ujian dan musibah ke atas diri Rasulullah SAW seperti dilaporkan Imam Al-Bukhari dalam hadisnya: "Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, pernahkah engkau melalui suatu hari yang lebih dahsyat daripada peperangan Uhud? Rasulullah SAW bersabda: Aku pernah mengalami daripada kaummu apa yang pernah aku alami dan yang paling dahsyat ialah ketika di al-'Aqabah iaitu ketika aku menawarkan diriku kepada Ibn Abdu Yalail bin Abdu Kallal. Dia tidak menyahut ajakanku dan aku beredar dengan penuh kesedihan.

Sedar-sedar aku sudah berada di Qarn Al-Tha'alib. Kemudian aku mengangkat kepalaku, tiba-tiba aku melihat segumpal awan menaungiku. Aku perhatikan lagi, tiba-tiba aku melihat Jibril dan dia menyeruku: Sesungguhnya Allah mendengar kata-kata kaummu dan tindak balas mereka ke atasmu.

Allah mengarahkan malaikat bukit supaya engkau suruh dia apa yang engkau mahu lakukan terhadap mereka. Lalu malaikat bukit itu menyeruku dan memberi salam kepadaku seraya berkata: Wahai Muhammad, apa yang kamu mahu, kalau kamu mahu aku hempaskan ke atas mereka al-Akhsyabain (dua bukit di Makkah) nescaya aku lakukan. Nabi SAW bersabda: Sedangkan aku mengharap supaya Allah mengeluarkan dari sulbi mereka orang yang akan menyembah Allah semata-mata, tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu."

Daripada peristiwa ini dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa setiap ujian yang Allah bebankan kepada kita pasti akan diganti dengan penghormatan serta kemuliaan. Hanya saja kita tidak tahu bilakah kenikmatan itu akan diberi, apakah di syurga atau di dunia.

Allah berfirman bermaksud: "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (Surah Al-Baqarah, ayat 214)

l Bebaskan Palestin, bumi umat yang bertakwa.

Ketika Israk, Rasulullah SAW singgah ke al-Aqsa dan melakukan solat bersama nabi. Al-Aqsa adalah bumi Allah yang diwariskan untuk orang beriman. Hal ini jelas ditegaskan dalam surah Al-Israk.

Mengapa Allah hanya menyebut kisah perjalanan Rasulullah dalam satu ayat saja dan selebihnya kisah kejahatan bani Israil? Jelas mesej dibawa surah ini, bahawa hanya umat beriman kepada Allah, al-Quran dan Rasulullah SAW, berbuat kebaikan di muka bumi saja berhak memimpin manusia. Tidak kira suku, bangsa dan bahasanya, kerana kemuliaan manusia terletak pada takwanya.

INTI PATI

# Peristiwa Israk Mikraj perjalanan Rasulullah SAW naik ke tempat tertinggi bagi menerima titah amanah Allah yang mewajibkan sembahyang lima waktu serta kepentingannya kepada setiap umat.

# Perjalanan dalam Israk Mikraj menghapus kesedihan Rasulullah SAW selepas pemergian Abu Talib dan Khadijah serta tragedi keganasan dan penolakan dakwah dilakukan penduduk Taif.

# Dalam Israk Mikraj Rasulullah SAW singgah ke al-Aqsa dan melakukan solat bersama nabi. Al-Aqsa adalah bumi Allah yang diwariskan untuk orang beriman.

Penulis ialah Mufti Perlis

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)