• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Hikmah Tawaran Raja Fadh

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

APABILA Nabi Musa a.s hendak bertemu dengan Allah di Bukit Tursina, seluruh gunung-ganang di situ bergoncang hebat umpama gempa bumi yang sangat kuat. Malah ia dikatakan hancur sehingga tidak berbekas akibat tidak dapat menahan cahaya apabila Allah akhirnya menampakkan sedikit daripada zat-NYA.

Nabi Musa sendiri sangat terkejut, seluruh badannya gementar dengan kuat dan akhirnya pengsan.

"Samalah juga sepatutnya apabila bertemu dengan Nabi Isa yang dikatakan anak tuhan, pasti manusia akan jatuh pengsan juga."

Begitulah yang difikirkan secara logik akal oleh Jerry Duane Gray, 50, mengenai soal ketuhanan pada zaman remajanya dahulu.

"Tetapi saya percaya tuhan itu wujud dan saya ingin sekali masuk ke syurga untuk bertemu dengan-NYA tetapi bagaimana? Lalu ketika itu, saya selalu berdoa agar saya diberi petunjuk yang benar mengenai tuhan, siapakah tuhan yang sebenarnya dan bagaimana saya dapat menjadi hamba-Nya yang baik" kata Gray.

Dilahirkan di Wiesbaden Jerman namun berpindah ke Amerika Syarikat ketika berusia tiga tahun.

Pada zaman muda, Gray mengikuti pengajian kejuruteraan penerbangan di Universiti Hawaii, Amerika Syarikat.

Sebaik menamatkan pengajian, Gray terus mendapat tawaran pekerjaan yang sangat lumayan iaitu menjadi sebahagian daripada pasukan penyelenggaraan pesawat peribadi milik Raja Fadh yang berpengkalan di Jeddah, Arab Saudi.

Namun tahukah anda, Gray menolak tawaran itu mentah-mentah.

"Saya tolak tawaran itu kerana saya bimbang akan dibunuh oleh orang Islam. Malah saya sanggup untuk menganggur daripada menerima tawaran tersebut," katanya.

Gray benar-benar memilih untuk hidup sebagai penganggur. Sama ada 'terhormat' mahupun tidak, dia hanya tinggal dalam sebuah kereta di hujung sebuah dermaga di tepi laut di Hawaii.

Untuk memenuhi tuntutan perut yang lapar, Gray hanya memancing ikan. Jika beroleh ikan, maka dapatlah dia mengisi perut. Jika tidak, beliau sanggup kelaparan dengan hanya meneguk air paip yang ada di situ.

Begitulah kehidupan melarat Gray selama enam bulan sebagai penganggur.

"Saya hanya mampu menangis dan memohon agar tuhan memberikan jalan keluar daripada kehidupan yang dirasakan sangat perit ini," katanya.

Tuhan seolah-olah mendengar permintaan Gray, apabila sekali lagi beliau dihulurkan dengan tawaran yang sama, iaitu bekerja untuk Raja Fahd.

"Tetapi saya menganggap tawaran itu sebenarnya sebagai tanda tuhan murka kepada saya sehinggakan saya tidak mendapat tawaran pekerjaan di tempat lain, malah disuruh juga saya supaya ke Arab Saudi," katanya.

Gray menerima nasihat temannya itu dan akhirnya dengan hati yang berat Gray pun berangkat ke Jeddah.

Namun belum lama Gray di sana, beliau telah dihidangkan dengan pelbagai kejadian yang disifatkan sebagai luar biasa.

"Iaitu satu pemandangan yang cukup berbeza daripada apa yang saya bayangkan selama ini apabila bercakap mengenai Arab dan Islam.

"Ternyata umat Islam di sana begitu taat terhadap tuhan mereka dan lebih mengharukan saya, kalangan orang Arab itu sendiri sebenarnya begitu baik terhadap saya, seolah-olah saya seperti saudara mereka. Belum sempat saya membuka mulut, mereka sudah tahu apa bentuk bantuan yang saya perlukan," katanya.

Pemandangan yang paling menarik bagi Gray apabila umat Islam akan segera meninggalkan apa sahaja yang sedang mereka lakukan apabila azan mula berkumandang untuk segera bersolat.

"Pada suatu hari saya berada berhampiran dengan sebuah kedai emas dan secara tiba-tiba kedengaran suara azan. Apa yang berlaku amat mengejutkan saya apabila kedai emas itu dibiarkan sahaja terbuka sedangkan tiada sesiapa di dalamnya, baik pelanggan mahupun penjualnya.

Begitu juga yang berlaku di jalan raya yang sebelum ini bersimpang siur dengan kenderaan dan mereka yang berjalan kaki bertukar menjadi sepi dan lengang.

Hanya sesekali Gray melihat beberapa anggota polis yang akan menegur mereka yang lewat untuk pergi bersolat.

Tidak lama kemudian, tuan punya kedai emas kembali semula ke kedainya dan apabila melihat Gray terpaku di hadapan kedainya, lalu dia pun bertanya; "Mengapa kamu berdiri sahaja di sini, masuklah ke dalam kedai?"

"Saya tidak mahu masuk kerana bimbang saya disangka pencuri dan lebih teruk saya akan ditahan dan akibatnya tangan saya ini akan dipotong!" jawab Gray.

"Masuk sahajalah ke dalam kedai saya ini, kerana semua ini adalah milik Allah, bukan saya yang punya.

"Malah kamu boleh mengambil apa sahaja di sini kerana mungkin kamu lebih memerlukan berbanding saya kerana seperti yang saya katakan tadi bahawa semua itu adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah jua," kata pemilik kedai itu sambil tersenyum.

Gray bagaikan hendak menangis mendengarkan kata-kata tuan punya kedai emas itu, kerana ucapan yang begitu tulus itu membuatkan hatinya begitu terusik dan terharu.

"Saya percaya dia mempunyai iman yang sangat kuat dan saya ingin sekali mempunyai iman yang seperti itu.

Peristiwa ini membuatkan Gray semakin tertarik untuk mengenali Islam dan beliau sangat suka berbincang mengenai agama itu bersama rakan-rakan beragama Islam yang lain. Iaitu terutamanya bersama Ahmad, rakannya yang merupakan salah seorang anggota Angkatan Tentera Udara Diraja Arab Saudi.

Tidak sekadar mereka sering berbincang bersama, malah Ahmad juga memberikan senaskhah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris kepada Gray.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)