Kewujudan Allah Terlepas Keterbatasan

Dari sudut istilah, fahaman tajsim ialah suatu fahaman yang menjisimkan Allah dengan menetapkan 'at-tarkib' ataupun cantuman tertentu bagi zat Allah.

Pernyataan ini seterusnya mengunjurkan kelaziman sesuatu jisim seperti berbentuk, beranggota, bertubuh, bergerak-gerak, bertempat, berbatas dan lain-lain yang semuanya adalah kelaziman sesuatu jisim.

Seseorang boleh dikatakan berfahaman tajsim apabila dia percaya Allah itu suatu jisim atau dia menetapkan kelaziman jisim walaupun tidak menyebutnya sebagai jisim.

Dengan demikian, dia sudah menetapkan cantuman atau keanggotaan bagi zat Allah, yakni menetapkan bentuk, tubuh, ukuran, batasan, tempat dan pergerakan bagi zat-Nya, sedangkan Maha Suci Allah daripada semua unsur berkenaan.


Fahaman tajsim adalah sebahagian daripada 'tasybih' (menyerupakan Allah dengan makhluk) kerana ia menyamakan zat Allah dengan makhluk dari sudut kejisiman makhluk itu sendiri.


Walaupun sebahagian pelopor mujassimah mengaku menolak 'tasybih', mereka sekadar menolak 'tasybih taamm' iaitu menyamakan Allah secara menyeluruh.

Mereka tidak menolak konsep 'tasybih juzie' (juzuk) iaitu menyamakan satu sudut sifat Allah dengan sifat makhluk.

Mereka mendakwa tajsim bukanlah tasybih, sebaliknya mereka hanya menetapkan (isbat) apa yang ditetapkan oleh Allah.

Padahal tidak pernah wujud dalil sama sekali bahawa seseorang itu wajib menetapkan makna zahir bagi nas mutasyabihat sehingga membawa maksud kejisiman bagi Allah.

Sebaliknya terdapat dalil yang jelas melarang seseorang menetapkan makna zahir bagi nas mutasyabihat seperti yang terdapat dalam surah Ali-Imran ayat 7 yang bermaksud: "Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu ialah ayat-ayat 'muhkamat' (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); itulah ibu (atau pokok) isi al-Quran.

"Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat 'mutasyabihat' (yang samar-samar, tidak terang maksudnya).

"Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar daripada al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya).

"Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksud yang sebenar) melainkan Allah.

"Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran."

Menurut pendapat penulis, ayat ini menjelaskan wujudnya takwil (makna lain) bagi nas mutasyabihat.

Ia juga membuktikan bahawa kita tidak boleh memahami nas mutasyabihat dengan makna zahir atau dengan maknanya dari sudut bahasa (lughah).

Hal ini kerana ada makna lain yang dimaksudkan oleh Allah daripada nas mutasyabihat. Pengambilan makna zahir bagi nas mutasyabihat bererti menafikan kewujudan takwil (makna lain) yang ditetapkan oleh Allah bagi nas mutasyabihat.

Sementara jisim pula pada hakikatnya adalah sifat khusus bagi makhluk Allah. Ini kerana jirim atau jisim mempunyai ciri seperti beranggota (tercantum daripada beberapa bahagian), berbentuk, berukuran, mempunyai batasan, bertempat dan lain-lain.

Ia adalah ciri makhluk yang terbatas, sedangkan kewujudan Allah adalah terlepas daripada ciri keterbatasan makhluk.

Sesiapa yang mendakwa bahawa Allah itu berjisim atau menetapkan mana-mana kelaziman jisim bagi Allah bererti dia menganut fahaman tajsim dan menyimpang daripada akidah Islam yang murni.

- Bersambung

Penulis ialah Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila hantarkan pesanan anda di Hubungi Kami, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.