• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ibadah Umrah Sia-sia Jika Bekalan Bekalan Ilmu Tidak Mencukupi

Oleh Razali Zakaria

2012/02/02
MUSIM umrah kembali. Mengikut maklumat yang diterima, Kerajaan Arab Saudi mula mengeluarkan visa umrah sejak dua minggu lalu. Seperti biasa, ribuan umat Islam di Malaysia mula mendaftar dengan agensi pelancongan yang mengendalikan pelbagai pakej umrah yang berlumba-lumba menawarkan pakej serendah RM4,500.

Umrah pada syarak ialah menziarahi Baitullah pada bila-bila masa sepanjang tahun, kecuali bagi orang yang dalam ihram haji), bertujuan mengerjakan tawaf dan sa’i dengan mematuhi syarat serta menunaikan segala rukun dan wajib umrah. Segala-galanya mesti sempurna. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”. Perlu diingat bahawa syarat utama setiap pekerjaan itu hanya akan menjadi ibadah dan mendapat pahala daripada Allah SWT, jika diniatkan semata-mata kerana mematuhi perintah-Nya serta mengikut sunnah Rasul-Nya. Demikian juga umrah. Namun, bagi menjamin kita memperoleh ganjaran yang lebih besar, maka ibadah wajib seperti solat, puasa dan berzakat mesti dilaksanakan ketika di tanah air lagi. Bagi jemaah yang akan berangkat menunaikan ibadah itu pastinya sudah mengikuti kursus yang dianjurkan oleh agensi berkaitan rukun dan wajib umrah yang perlu dipatuhi kerana ibadat umrah adalah antara syariat Allah SWT yang mempunyai rahsia serta hikmahnya tersendiri.

Antara hikmah yang perlu dihayati ialah ibadat umrah mampu melatih umat bersatu meningkat syiar Islam, kemesraan silaturahim antara pelbagai warna kulit dan bangsa biar pun berlainan tutur bahasa, budaya dan latar belakang. Demikian hikmah Allah menetapkan umat manusia berbeza antara satu sama lain supaya mereka saling kenal mengenali. Namun, semuanya akan bertemu, malah bersentuhan bahu ketika di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Contohnya ketika melakukan tawaf. Dengan jelas dapat kita lihat semangat perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan umat Islam amat erat tanpa mengira darjat. Raja, rakyat miskin atau kaya, sama saja taraf mereka ketika mengerjakan ibadat itu dengan semuanya berpakaian ihram berwarna putih untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Mereka ialah utusan Allah. Dari Ibnu Umar ra dari Nabi SAW, Baginda bersabda yang bermaksud: “Seorang yang berperang di jalan Allah, dan seorang yang menunaikan haji dan umrah adalah utusan Allah. Allah memanggil mereka dan mereka mendatanginya, dan mereka meminta kepada Allah, lalu Allah memberikan kepada mereka.” (Riwayat Ibnu Majah dan dihasankan oleh Sheikh al-Albani.)

Bagi amalan sa’i pula kita dapat merenung kembali bagaimana peristiwa isteri Nabi Ibrahim as, Siti Hajar berlari berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah di tengah padang pasir yang panas dan kering kontang ketika Nabi Ismail masih kecil, bagi mencari air. Sehinggalah dengan kuasa Allah SWT air zam-zam terpancar ke bumi di tempat letak kaki Nabi Ismail, dan tidak kering hinggalah sekarang.
Banyak lagi peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku sama ada di Madinah atau Makkah dan semua peristiwa itu mesti menjadi teladan kepada umat Islam untuk menanam semangat perjuangan supaya terus berusaha dan tidak mudah putus asa berdepan rintangan hidup di dunia semata-mata untuk menikmati hidup kekal kelak.

Berbalik kepada tujuan melakukan umrah, jemaah yang mendapat ‘jemputan’ daripada-Nya untuk menjejakkan kaki ke dua negeri yang penuh berkat iaitu Ummul Qura Makkah al-Mukarramah dan kota Rasulullah SAW Madinatul Munawarah, mesti menanam niat beribadat semata-mata kerana Allah. Hikmat kedua-dua kota di Tanah Suci itu amat luar biasa kerana setiap amalan ibadat digandakan.

Sebagaimana satu hadis yang menyebut: “Dari Jabir bin Abdillah ra, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Solat di masjidku ini lebih utama 1,000 solat daripada solat di masjid selainnya, kecuali Masjidil Haram, dan solat di Masjidil Haram lebih utama 100,000 dari solat di masjid selainnya.” Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah, dan disahihkan al-Albani (Kitab Irwauul Ghalil cetakan al-Maktab al-Islami hal 341 hadis no 1129 juz ke 4).

Maknanya, pahala solat di Masjid Nabawi lebih banyak iaitu 1,000 kali daripada pahala solat di masjid selainnya. (Syarh Sahih Muslim oleh Imam Nawawi cetakan Darul Fikr hal 166 -167,juz ke-9 jilid ke 5).

Madinah ialah Dar Sunnah, Dar Hijrah dan Dar Nusrah, hinggakan kisah orang Ansar di Madinah dirakamkan dalam al-Quran. "Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya" (Surah al-Hasyr ayat 9).

Sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh jemaah ialah setiap ibadah termasuk umrah yang dikerjakan tanpa ilmu adalah sia-sia kerana beribadat tidak boleh dibuat secara ikut-ikutan saja. Selok-belok pelaksanaan ibadat itu perlu dipelajari dan difahami supaya dapat dikerjakan dengan sempurna ketika di Tanah Suci, tanpa bergantung kepada orang lain.

Seperkara lagi yang harus diingat ialah dua Tanah Suci itu ialah tanah berkat. Selain disebutkan dalam al-Quran, terdapat banyak hadis Rasulullah SAW berkaitan Madinah dan Makkah yang patut diberi perhatian ketika berada di sana.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra: “Rasulullah SAW bersabda: Di setiap jalan Madinah itu terdapat malaikat (yang menjaga) agar tidak dimasuki wabak penyakit dan Dajjal.” (Kitab Sahih Muslim).

- Penulis ialah Penolong Ketua Penyunting Berita Harian

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)