• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ibu, bapa mualaf boleh mengislamkan anak

Oleh Hasliza Hassan

MENEPATI saranan pengerusi forum Anak Mualaf dalam Syarak, Datuk Dr Ismail Ibrahim, perbincangan mengenai isu status anak apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam berjaya dikupas ahli forum secara ilmiah bukan mengikut emosi.

Beliau yang juga Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim Institut Islam Hadhari (Hadhari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, isu yang sudah diputuskan Kabinet tetapi belum dijadikan undang-undang itu perlu dihadamkan sebaiknya ke arah mencari penyelesaian terbaik.

"Perbincangan ini bukan maklum balas secara langsung terhadap keputusan Kabinet tetapi lebih kepada memahami situasi ini bersandarkan kepada dalil, hujah serta pandangan mazhab untuk mendapatkan fakta jelas," katanya.
Penasihat Perundangan Syariah Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata, ada hujah jelas dalam al-Quran dan hadis yang boleh dirujuk mengenai kedudukan anak yang belum akil baligh apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam.

Ahli panel pertama untuk forum Anak Mualaf dalam Syarak anjuran Hadhari UKM itu mengemukakan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi."

Dalil al-Quran pula ialah firman Allah SWT dalam surah Tur, ayat 21 yang bermaksud: "Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakan."
Justeru katanya, adalah tidak wajar mengatakan tidak ada alasan atau hujah daripada al-Quran dan hadis berhubung isu berkenaan kerana nas tadi sudah memadai untuk berhujah mengenai status anak yang ibu bapanya atau salah seorang memeluk Islam.

Sheikh Ghazali turut memberitahu sidang forum, merujuk Enakmen Hukum Syarak Selangor 1952 ada peruntukan yang menyebut bahawa seorang yang memeluk Islam, anaknya secara automatik adalah Islam.

Bagaimanapun, selepas negara mencapai kemerdekaan, satu perlembagaan digubal yang memperuntukkan jika ibu atau bapa memeluk Islam, anak tidak automatik Islam tetapi ibu atau bapa boleh memohon di mahkamah.

"Dulu penjajah tidak kacau dalam perkara membabitkan hukum Islam dan menyerahkan segala-galanya kepada orang Islam. Sebab itu kita boleh buat peruntukan seperti dalam Enakmen Hukum Syarak Selangor 1952. Peruntukan itu mengikut Mazhab Syafie," katanya.
Menerangkan mengikut hukum syarak pula, beliau berkata, jumhur fuqaha berpendapat anak mengikut ibu bapa atau salah seorang yang memeluk Islam iaitu mana yang lebih baik bagi agamanya dan Islam adalah lebih baik.

Mengulas dari sudut perundangan, Setiausaha Agung Peguam Pembela Islam, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kes R Subashini lawan T Saravanan adalah rujukan jelas kerana Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi negara memutuskan bapa kanak-kanak mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Atau dalam erti kata lain, berdasarkan kepada penjelasan Zainul Rijal itu, bolehlah dibuat kesimpulan ibu atau bapa yang memeluk Islam boleh mengislamkan anak mereka walaupun salah seorang tidak bersetuju dengan pengislaman itu.

Jika begitu ketetapannya, kenapa masih timbul masalah mengenai kedudukan atau status agama anak apabila salah seorang pasangan suami isteri itu memeluk Islam sedangkan peruntukan undang-undang serta hujah sudah ada.

Jawapan yang seakan dipersetujui semua ahli forum yang berada di dalam Dewan Senat UKM itu ialah, isu berkenaan tidak dapat diselesaikan kerana bukan Islam tidak mengiktiraf kewujudan Mahkamah Syariah.

Malah, menurut Zainul Rijal, usaha memanggil pihak yang bertikai ke Mahkamah Syariah untuk mendapat keputusan yang adil juga gagal kerana bukan Islam beranggapan keputusan akan mengikat orang bukan Islam tertakluk di bawah undang-undang Islam.

Sedangkan, ada bukti menunjukkan tidak semua keputusan memihak kepada orang Islam seperti kes Nyonya Tahir di mana Mahkamah Tinggi Syariah Seremban membuat keputusan bahawa beliau bukan Islam pada saat kematiannya.

Keputusan itu dibuat selepas mendengar hujah yang dikemukakan waris Nyonya Tahir yang datang ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban untuk membantu pihak mahkamah membuat keputusan yang adil.

"Usaha perlu dibuat bagi menjelaskan kepada bukan Islam bahawa undang-undang Islam adalah untuk mencari keputusan adil kepada dua belah pihak, mungkin kita dapat mengubah pandangan bukan Islam terhadap Mahkamah Syariah.

"Kita tidak boleh hukum bukan Islam kerana kecetekan mereka mengenai undang-undang syariah ini kerana jika mereka tahu serta faham, tidak mustahil mereka akan lebih selesa dengan undang-undang Islam nanti," katanya.

Ada juga pandangan bahawa isu itu boleh diselesaikan jika seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, yang jika salah seorang pasangan itu memeluk Islam, pasangan yang tidak memeluk Islam boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan menurut seksyen berkenaan selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam.

Ini bermakna petisyen perceraian atas alasan pemelukan agama Islam hanya boleh difailkan pasangan yang tidak memeluk agama Islam saja. Selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian, perkahwinan sivil bersama pasangan yang memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta itu.

Jelaslah di sini ketidakadilan berlaku kepada pasangan yang memeluk Islam memandangkan beliau langsung tidak mempunyai hak untuk mengambil tindakan atau mencabar keputusan (locus standi) untuk memfailkan petisyen perceraian berdasarkan seksyen berkenaan.

Sebaliknya, jika seksyen berkenaan dipinda yang membenarkan pasangan memeluk Islam juga boleh memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil untuk membubarkan perkahwinan, ia dilihat sebagai satu cara menyelesaikan masalah itu.

Namun bagi Zainul Rijal, perkara itu boleh diselesaikan menurut Jadual Kesembilan Senarai 2 Butiran I Perlembagaan Persekutuan iaitu Mahkamah Syariah boleh membuat penentuan sesuatu perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.

Katanya, seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menepati semangat Perlembagaan Persekutuan dengan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah membuat penentuan mengikut hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan itu.

Beliau turut menimbulkan pertanyaan apakah jaminan pasangan yang sudah memeluk Islam itu boleh mengamalkan ajaran agama termasuk amalan undang-undang diri jika perkara berkenaan di bawa ke Mahkamah Sivil.

"Saya agak keberatan jika kes itu dibawa ke Mahkamah Sivil kerana akan ada hakisan hak kebebasan beragama di sana nanti. Kita selalu melihat dalam konteks bukan Islam dalam hal mengamalkan agama mereka," katanya.

Masalahnya kini, jika kedua-dua mahkamah menutup pintu, apakah alternatif yang ada untuk menyelesaikan isu status anak yang ibu atau bapanya memeluk Islam apabila pertikaian antara ibu bapa juga gagal diselesaikan.

Hakikatnya, membawa orang bukan Islam ke Mahkamah Syariah bukanlah suatu perkara mudah dan begitu juga keraguan orang Islam akan hak mereka apabila kes dibicarakan di Mahkamah Sivil. Sampai bila agaknya isu ini akan berlarutan.

Masih banyak undang-undang di negara ini yang bercanggah dengan undang-undang Islam yang memerlukan usaha diambil bagi meminda undang-undang itu supaya selaras atau tidak bertentangan dengan undang-undang Islam.

Mungkin dalam tempoh terdekat, Hadhari UKM yang menganjurkan forum Anak Mualaf dalam Syarak dapat melakukan sesuatu berbekalkan fakta diperoleh daripada perbincangan seperti kata Dr Ismail, Hadhari akan berbincang cara untuk menyampaikan perkara ini ke pihak kerajaan.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)