• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ikut Tertib Sambut Aidilfitri

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

SYUKUR, selepas sebulan menunaikan ibadat puasa, kita meraikan Aidilfitri Selasa lalu dalam suasana penuh kenikmati dan menjadi manusia baru yang lebih bertakwa.

Aidilfitri adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang mencapai kemenangan selepas berjaya menghindarkan diri daripada godaan nafsu.

Meskipun hak penilaian dan pemberian ganjaran itu milik Allah, kita pasti dapat merasakan kesannya jika amalan itu diterima.

Latihan yang dijalankan selama tempoh sebulan itu diharap diteruskan dengan harapan ia diterima Allah s.w.t sebagai amalan soleh.


Aidilfitri perlu diraikan dengan penuh kesyukuran dan meriah namun tidaklah keterlaluan. Amalan kunjung mengunjung memang menjadi tradisi masyarakat di negara ini bagi merapatkan kembali hubungan sesama insan.

Dari Abi Hurairah r.a berkata: Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah ia menyakiti jirannya, dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam." (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Dalam suasana hari raya ini, amalan kunjung mengunjung amat digalakkan dalam Islam sebagai merapatkan hubungan ukhwah dan persaudaraan sesama umah.

Namun, amat menyedihkan kerana amalan kunjung mengunjung kurang diamalkan generasi muda yang lebih selesa memerap di rumah sama ada bermain “video game” berceloteh dalam “facebook” atau menonton televisyen.

Lebih malang, ada kurang berminat pulang ke kampung halaman kerana sudah bergelar warga kota padahal di kampung, kedatangan Syawal amat dinanti-nantikan.

Apa yang tidak kena dengan generasi muda Islam di negara ini?

Kebiasaannya, di pagi Syawal, pagi-pagi lagi anak sudah dikejutkan dari tidur. Perasaan tidak terucap tatkala mendengar seruan takbir dari masjid yang memecah hening pagi.

Di sesetengah kampung mereka lebih selesa berjalan kaki beramai-ramai dari rumah masing-masing menuju ke masjid. Apabila selesai solat sunat hari raya, sebuah demi sebuah rumah jiran tetangga dikunjungi.

Itu antara rentetan dan kenangan lama suasana berhari raya di kampung yang sentiasa membangkitkan suasana ceria dan penuh kemesraan bagi menyuburkan jalinan ukhuwah sesama masyarakat kampung.

Itulah kelebihan dan hikmah berziarah di mana Islam kerana ia memberi peluang kepada sesiapa saja sama ada keluarga, sahabat handai mahu pun jiran tetangga bertemu dan bertanya khabar.

Bagi mengembalikan semula amalan ziarah menziarahi, ibu bapa perlu menekankan pentingnya amalan kunjung mengunjung kepada anak-anak supaya mereka tidak bersikap mementingkan diri sendiri.

Pohonlah kemaafan kepada mereka yang pernah kita dilukai malah sifat memaafkan kesalahan orang lain juga adalah amalan yang sangat mulia di sisi Allah s.w.t
Menjadi lumrah manusia, sudah pasti ada salah silapnya namun segeralah memohon kemaafan dan jangan biarkan perasaan sombong membaluti diri.

Daripada Abdullah bin Mas’ud daripada Nabi bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang terdapat di hatinya seberat zarah daripada sifat sombong."

Justeru, kemurnian dan kesucian Aidilfitri perlu disemarakkan dengan sebaik mungkin supaya tidak timbul soal perpecahan, persengketaan dan sikap individualistik di kalangan masyarakat kita.

Pegawai Agama Masjid Putra Nilai, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanafi, berkata bagi menambah baik amalan ziarah pada musim perayaan umat Islam perlu meneladani serta mencontohi amalan ziarah Nabi Muhammad s.a.w.

Kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadan perlu dipamerkan secara berterusan pada bulan-bulan berikutnya.

"Pada zaman kanak-kanak dulu kita sentiasa menantikan baju dan duit raya. Kini tiba pula giliran kita meraikan golongan kanak-kanak dengan cara memberi duit raya, menghadiahkan baju raya kepada ibu bapa tercinta kerana itulah bukti kita sebagai hamba Allah yang taat," katanya.

Beliau berkata, beberapa faktor negatif ketika menyambut hari raya perlu dielakkan seperti pembaziran makan minum, berhias berlebihan serta menghabiskan masa menonton televisyen.

Apabila pergi berziarah pastikan kita menjaga adab berziarah iaitu hanya bercakap hal berfaedah, tidak menyakiti hati tuan rumah serta menjaga batasan aurat.

"Perkara yang sering kita lepas pandang adalah pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Selain itu, ada juga anak muda mengambil kesempatan memperkenalkan buah hati masing-masing kepada ibu bapa mereka," katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata perkara seumpama itu tidak berakhir di situ saja kerana selepas itu mereka mengambil peluang keluar berduaan ke pusat hiburan.

"Mereka sangkakan itulah di katakan hari raya. Kalau inilah anggapan masyarakat, berwaspadalah kerana itu seolah-olah meniru gaya masyarakat barat," katanya.

Beliau berkata amat tidak wajar sekali jika ada kalangan generasi muda pada hari ini menunjukkan rasa kurang minat pulang berhari raya ke kampung.

Jika pulang sekalipun, mereka lebih gemar menonton televisyen di rumah sepanjang hari tanpa mempedulikan saudara mara yang datang berkunjung.

"Maka ibu bapa perlu memandang serius perkembangan tidak sihat berkenaan kerana ia akan menyebabkan anak mereka nanti mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri serta kurang mesra dengan orang ramai," katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata ibu bapa perlu memaklumkan kepada anak mereka tujuan berziarah itu adalah untuk mengenali saudara mara, jiran tetangga atau sesiapa saja dengan lebih rapat lagi.

Fahami tujuan dan kepentingan ziarah sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu apabila kita menerima tetamu mereka perlu diberi layanan mesra dan sempurna supaya dapat kita beroleh seribu rahmat dan menjauhkan dari seribu kecelakaan,” katanya.

Beliau berkata kawasan perumahan di bandar perlu menghidupkan semula amalan ziarah seperti masyarakat di kampung.

Aktiviti seperti marhaban atau baraan boleh dijalankan bersama-sama jiran tetangga bagi melaksanakan tuntutan agama yang menuntut umatnya saling bermuafakat, mendoakan antara sesama mereka dan bermaaf-maafan.

"Nabi Muhammad s.a.w bersabda, iman seseorang Islam itu bergantung kepada kasih sayang saudaranya yang lain. Inilah hikmah jika dapat menyemarakkan amalan kunjung mengunjung," katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata mereka yang menghulurkan kemaafan dan perdamaian lebih bertakwa dan Allah pasti mengangkat darjat mereka.

Kita tidak boleh memaksa orang lain menghulurkan kemaafan terlebih dahulu. Lantas doakan mereka memperoleh hidayah supaya pertelingkahan dan persengketaan itu dapat segera diselesaikan.

"Ingat pesan nabi s.a.w, mereka yang memutuskan silaturahim lebih dari tiga hari tidak akan menghidu bau syurga," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)