• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ilmu Bersumberkan Wahyu Bina Manusia Rabbani

Bersama YaPEIM: Ilmu bersumberkan wahyu bina manusia rabbani
Oleh Penulis Khas
Kemelut dialami umat Islam masa kini pada asasnya berpunca daripada krisis keilmuwan

DALAM Islam, ilmu merujuk kebenaran atau al-Haqq bukan cuma dugaan atau spekulasi. Dalam tradisi keilmuwan Islam, orang yang berilmu disebut sebagai ahl al-Haqq yang dicatat sebagai satu nama Allah. Ini membawa implikasi bahawa Dialah sebenarnya sumber ilmu atau kebenaran itu.

Kebenaran hanya satu, tidak berbilang-bilang kerana ia terpancar daripada sumber yang satu, iaitu Allah (al-Haqq) Yang Maha Esa. Apabila memperkatakan sesuatu, orang Islam selalu mengakhirinya dengan ungkapan yang bermaksud, Allah Yang Lebih Mengetahui.

Ungkapan itu merujuk kepada Allah sebagai satu-satunya sumber ilmu dan kebenaran. Allah yang Maha Tahu apa yang benar lalu mengungkapkan kebenaran itu seperti adanya menerusi wahyu-Nya.



Muslim pencari kebenaran dianjurkan berdoa: "Ya Tuhan, perlihatkanlah kepada kami yang benar itu benar (seperti adanya) dan berikan kami kekuatan menghayatinya." "Dan perlihatkanlah kepada kami kepalsuan itu (tampak nyata) sebagai kepalsuan dan berikan kami kemampuan menghindarinya."

Manuskrip Melayu tertua (abad 16 Masihi), terjemahan al-'Aqa'id al-Nasafiyyah memulakan perbincangan dengan menegaskan bahawa hakikat segala sesuatu itu dapat diketahui, namun ini berbeza daripada pendirian kaum Sufastaiyyah yang menafikannya.

Selepas itu disebutkan pula tiga saluran mendapatkan ilmu:


•Pertama – pancaindera yang lima.


•Kedua – khabar sadiq atau berita yang benar. Al-Nasafiy membahagikannya kepada dua jenis, khabar mutawatir, berita daripada orang ramai (yang mustahil mereka sepakat berdusta) dan apa yang dibawa Rasulullah SAW.


•Ketiga, akal. Al-Nasafiy membahagikannya kepada dua bahagian iaitu ilmu daruriy yang tidak memerlukan dalil seperti hakikat bahawa keseluruhan adalah lebih besar daripada sebahagian dan ilmu iktisabiy iaitu sesuatu yang memerlukan bukti seperti adanya yang dibuktikan dengan adanya asap.

Dari segi klasifikasi ilmu dibahagikan kepada jenis naqli (yang berasaskan wahyu) dan 'aqli (yang berasaskan pemikiran), atau berasaskan hukum iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah.

Pelbagai kemelut yang dialami umat Islam masa kini termasuk kemelut kemanusiaan pada asasnya berpunca daripada krisis keilmuwan atau yang disebut Prof Naquib al-Attas sebagai 'kekeliruan dalam konsep ilmu pengetahuan'.

Dalam bukunya Islam and Secularism (1978) beliau menyebut bahawa kekeliruan dalam konsep ilmu mengakibatkan timbulnya gejala kehilangan adab, seterusnya membawa kepada penampilan 'pemimpin palsu' dalam pelbagai bidang kehidupan sosial dan kerohanian. Kenyataan itu sekali gus menunjukkan betapa eratnya hubungan antara ilmu dengan perwatakan manusia.

Ilmu memainkan peranan bagi perubahan dalam erti mengubah watak manusia. Dalam kaitan ini, ilmu yang bersumberkan kebenaran wahyu dapat membina watak manusia rabbani seperti diisyaratkan dalam firman Allah yang bermaksud: "Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya". – (Ali-Imran: 79)

Demikianlah proses pengajaran dan pembelajaran al-Quran yang menghasilkan manusia rabbaniyyin iaitu orang yang sempurna ilmu dan takwanya kepada Allah, manusia ilmuwan yang menisbahkan dirinya kepada Tuhan. Semua cabang ilmu tamadun Islam berpangkal daripada wahyu Ilahi.

Segala terpadu dalam anyaman tauhid yang harmonis dan saling memperkukuh. Ilmu yang bersepadu itulah yang membentuk watak bersepadu dalam erti keselarasan seluruh dimensi, fikiran, perasaan dan perilaku terbentuk dalam acuan ajaran Allah Yang Maha Esa.

Ciri kesepaduan itu tidak ada dalam tradisi keilmuan Barat yang jelas mengalami bencana pemecahan ilmu yang cukup parah. Dalam sistem keilmuan seperti itu segala disiplin ilmu berdiri sendiri, terpisah tanpa sebarang kaitan dengan ilmu lain, malah sering kali saling bercanggah.

Kekacauan sedemikian itulah yang kemudiannya melahirkan ilmuwan pengidap keperibadian yang pecah, hipokrit atau cakap tak serupa bikin. Ilmuwan dalam konteks tradisi keislaman adalah manusia yang sedar tauhid dengan segala implikasinya.

Al-Quran meletakkan golongan ilmuwan selepas Allah dan Malaikat dalam deretan penyaksian hakikat tauhid bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah seperti firman-Nya yang bermaksud, "Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan. Malaikat dan orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu), Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Ali-Imran: 18).

Al-Quran juga menyebut golongan ilmuwan yang memiliki ketajaman akal budi dan kepekaan nurani itu sebagai ulu al-albab. Merekalah yang disifatkan sebagai manusia yang dapat memadukan zikir dengan fakir.


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)