• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ilmu Dan Pendidikan Tidak Boleh Dipisahkan

Kita sudah tahu bahawa pelajaran dan pendidikan merupakan keperluan yang paling penting dan besar dalam kehidupan manusia. Ia adalah nyawa, roh dan nadi bagi sesuatu bangsa dan negara. Sekiranya rosak institusi tersebut, akan ranaplah bangsa dan negara itu.

Oleh kerana pelajaran dan pendidikan suatu yang teramat penting dalam Islam, sepatutnya ia dikaitkan juga dengan fardhu ain dan fardhu kifayah, sama ada ilmu yang berbentuk fardhu ain dan fardhu kifayah atau amalan yang berbentuk fardhu ain dan fardhu kifayah. Tetapi di dalam bab ini, kita tidak akan membicarakan tentang dua perkara tersebut, kerana ianya telah banyak diperkatakan dan umum sudah memahaminya.
Ilmu Dan Pendidikan Tidak Boleh Terpisah

Di dalam Islam, ilmu dan pendidikan adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan dan sangat saling perlu dan memerlukan. Pelajaran (ta’alim) dan pendidikan (tarbiah) sangat berhubung kait di antara satu sama lain. Sesungguhnya ta’alim dan tarbiah itu andai dipisahkan ia merupakan kesilapan besar dalam institusi ini. Tanpa pendidikan, ilmu tidak akan bermanfaat, ilmu tidak akan berguna. Ilmu menjadi sia-sia. Ilmu tidak mampu diamalkan. Ilmu akan jadi seperti pokok yang tidak berbuah. Hukama ada menjelaskan:
Maksudnya: “Ilmu yang tidak diamalkan seperti pokok yang tidak berbuah.”

Sepatutnya, ilmu yang ditimba dijadikan panduan untuk men­didik diri dan masyarakat. Ilmu yang bermanfaat mampu men­jadikan diri kita dan masyarakat dapat kenal Tuhan sehingga datang rasa cinta dan takut kepada Tuhan. Begitu juga ilmu yang bermanfaat mampu memperlihatkan syariat itu indah di kacamata masyarakat. Rasulullah SAW begitu takut dengan ilmu yang tidak bermanfaat hasil daripada tiada pendidikan sebagaimana doa baginda:
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat.”

Di dalam bab ini kita akan memperkatakan tentang ilmu terlebih dahulu. Ianya sangat penting dalam memastikan proses pendidikan berjalan dengan baik. Semoga dengan ilmu dapat kita jadikan panduan bagaimana hendak mendidik manusia.

Secara umumnya ilmu terbahagi kepada dua:
1. Ilmu material
2. Ilmu bina insaniah, berkaitan dengan manusia/insan.

Ilmu Material
Ia adalah ilmu yang mempunyai kaitan dengan kebendaan atau material. Ilmu ini jika dipelajari, difahami dan dihayati akan mampu membangunkan tamadun kebendaan. Dengan pembangunan material, manusia akan hidup selesa. Manusia akan berada dalam serba kemajuan, maju di sudut pembangunan, maju di sudut sistem jalan rayanya, begitu juga di sudut makan minumnya dan lain-lain pembangunan hasil dari pembangunan material ini. Kemajuan ini akan menjadikan manusia lebih bertamadun dan cantik kehidupan mereka. Ilmu material termasuklah ilmu pembangunan pertanian, pengurusan perniagaan, sains dan teknologi, ilmu matematik dan lain-lain. Apabila dibangunkan sungguh-sungguh akan majulah pertanian, majulah ekonomi dan begitu juga di bidang yang lain. Kemajuan ini semua telah dikecapi oleh masyarakat Barat. Mereka sudah membangun dan pembangunan material mereka sangat mengkagumkan, tetapi kita orang Melayu baru di peringkat percubaan.

Dalam istilah lain, ilmu ini disebut juga sebagai ilmu dunia, kerana ilmu ini tidak diwahyukan dan tidak dibawa oleh Rasul. Di dalam Islam ilmu material ini juga dikatakan ilmu kasbi yang bererti ilmu yang boleh diusahakan dipelajari dan boleh difikirkan. Ilmu ini tidak perlu diwahyukan dan tidak datang melalui Rasul. Ilmu ini banyak berkaitan dengan kehidupan manusia. Islam boleh menerima ilmu ini jika diselaraskan dengan kehendak Tuhan dan syariat. Ini akan menjadikan manusia itu maju di dalam kehidupannya sekaligus akan dikira ibadah setiap apa yang dibangunkannya. Ertinya setiap kemajuan yang diusahakan akan diberi pahala oleh Tuhan.

Begitulah indahnya agama Allah ini, boleh menerima apa sahaja dan sesiapa sahaja asalkan sesuai dengan kehendak Tuhan dan selaras dengan syariatnya. Itulah kemajuan dan itulah juga ibadah. Ertinya umat Islam akan dapat dua keuntungan, maju dalam kehidupan dan mendapat keredhaan Allah SWT.
Firman Allah SWT.
Maksudnya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan.” (Saba’: 15)

Ilmu kasbi ini terbahagi kepada dua bahagian
1. Ilmu falsafah/teori/akal
2. Ilmu praktikal

llmu Falsafah/Teori/Akal
Ilmu falsafah ini tidak ada hubungan dengan ilmu praktikal. Ilmu ini adalah hasil berfikir. Kalau ia betul dan tepat maka ia dianggap benar, tetapi kalau salah ia boleh mendatangkan dua akibat:

1. Ia dianggap satu khayalan.
Ia adalah sesuatu yang tidak berpijak di bumi nyata. Semuanya hanya agak-agak sahaja. Falsafah yang salah tidak boleh dikira ilmu, walaupun yang mempeloporinya seorang profesor atau filasuf. Orang kagum dengan pemikirannya tetapi teori dan jalan fikirannya tersasar jauh ke dalam gaung. Ibarat seorang filasuf yang mengkaji tentang kain, kemudian natijah kajiannya didapati kain itu adalah air. Ini kajian yang sia-sia. Sama seperti teori Darwin yang mengatakan manusia berasal dari monyet. Itu tidak benar dan dianggap sia-sia. Sedangkan pelajar peringkat menengah pun mampu mempersoalkan teorinya. Kalau benar manusia berasal daripada monyet, sudah tentulah hutan-hutan sekarang sudah sunyi daripada monyet kerana semuanya sudah jadi manusia. Walau bagaimanapun oleh kerana ia tidak ada hubungan dengan aqidah tidaklah sesat tetapi hanya sia-sia.
2. Sekiranya apa yang difalsafahkan itu ada hubungkait dengan aqidah dan tersalah atau tersimpang dari aqidah yang sebenar, maka akibatnya adalah kekufuran dan kesesatan.

llmu Praktikal
Ilmu praktikal ini adalah ilmu-ilmu seperti ilmu pertanian, perniagaan, kejuruteraan, kedoktoran dan lain-lain lagi. Ilmu-ilmu ini boleh membangunkan tamadun dan kemajuan material. Ia tidak seperti ilmu falsafah yang bersifat maknawi. Tetapi dunia mengagungkan ahli-ahli falsafah. Mereka dianggap hebat. Merekalah profesor atau filasuf agung. Malangnya tidak ada satu pun yang mereka bangunkan. Menurut Islam mereka yang menghasilkan ilmu falsafah yang tidak bermanfaat dianggap melakukan perkara yang sia-sia.

Ilmu praktikal ini boleh diamalkan boleh juga ditinggalkan, boleh dihayati, boleh tidak dihayati. Boleh maju dan boleh juga tidak maju. Orang yang mengecapi kemajuan material adalah orang yang dapat menguasai ilmu-ilmu ini dari jiwanya, perasaannya, kehendak dan kemahuannya, dari cita-citanya dan kesungguhannya. Apabila dia mendapat hasilnya, dia merasakan ini satu yang besar, maka dia mencuba dan terus mencuba. Akhirnya membangun dan majulah dia. Kemajuan yang dicetuskan adalah untuk manusia sejagat. Dengan itu lahirlah tamadun material. Hakikatnya inilah yang dipraktikkan oleh Barat walaupun mereka sesat. Umat Islam telah berjaya memiliki ilmu ini tapi malas mempraktikkannya.

Apa yang terjadi hari ini, umat Islam tidak boleh maju kerana telah hampir hilang kekuatan jiwanya dalam hendak membangunkan ilmu praktikal ini, tidak berminat untuk mencuba dan terus mencuba. Mereka belajar bukan untuk mempraktiskannya tetapi semata-mata kerana sekeping sijil, kemudian bertanya-tanya, “Syarikat mana atau kerajaan mana yang hendak menggajikan aku?” Sebab itulah orang Islam walaupun memiliki ilmu yang boleh memajukan mereka tetapi tetap tidak maju. Ini kerana mereka belajar bukan bertujuan untuk membangunkan ilmu itu tetapi hanya untuk makan gaji dan menjadi kuli.

Ilmu praktikal bagi mereka seolah-olah sudah menjadi ilmu falsafah atau ilmu teori. Ilmu praktikal sudah tidak jadi praktikal lagi. Contohnya orang yang belajar tentang ilmu pertanian, mereka tidak menggunakan ilmu mereka untuk membangunkan pertanian, malah ada di kalangan mereka yang tidak tahu bertani. Begitu juga berapa ramai pensyarah atau pakar ekonomi tidak mampu bangunkan walaupun satu kedai runcit. Inilah kelemahan orang Melayu Islam, ilmu yang praktikal sudah tidak dipraktikkan lagi.

Walaupun ilmu falsafah atau ilmu teori itu bersifat maknawi atau tidak bersifat praktikal, tetapi bagi orang Islam yang ada tauhid, yang hidupnya bertunjangkan Tuhan, bila dapat menguasai ilmu teori ini, dia akan mampu untuk berfikir secara global. Hakikatnya ilmu teori atau ilmu falsafah ini sangat memberi faedah. Tetapi sekali lagi umat Islam lemah kerana kebanyakan umatnya belajar ilmu bersifat praktikal. Mereka tidak minat dengan ilmu falsafah.

Walhasil mereka tidak boleh pergi jauh lebih dari bidangnya. Mereka hanya boleh bercakap dalam satu bidang sahaja. Misalnya seorang ahli ekonomi, dia hanya mampu bercakap tentang ekonomi sahaja dan tidak tahu hal ehwal masyarakat. Padahal untuk memperbaiki masyarakat, menilai masyarakat, faham budaya manusia, mengapa manusia menjadi kasar atau lembut, mengapa manusia itu maju atau mundur, ini sepatutnya datang dari ilmu falsafah.

Umat Islam sebenarnya tidak boleh menolak ilmu ini. Lebih-lebih lagi masyarakat kita yang sedang dilanda masalah yang kian kronik. Oleh itu kita sangat memerlukan pemikiran yang berbentuk falsafah yang dipimpin oleh tauhid dan aqidah, yang mampu menjawab semua persoalan masyarakat. Penguasaan kedua-dua ilmu ini iaitu ilmu falsafah dan ilmu prakti­kal sangat membantu di dalam perjuangan dan sangat memban­tu untuk menggiatkan dakwah, sangat membantu dalam mempro­mosikan Tuhan, dan sangat membantu untuk memperkenalkan syariat itu sendiri, supaya syariat itu nampak cantik dan indah sehingga ma­sya­rakat rasa syariat itu sangat diperlukan. Ini semua memer­lukan ilmu akal atau ilmu falsafah yang canggih.

Hari ini apa yang berlaku, kerana sistem pendidikan di institusi-institusi pengajian Islam sudah rosak, ilmu syariat pendukung-pendukungnya seguni tetapi ilmu falsafah dan ilmu akalnya hanya secawan. Ilmu akal secawan tidak mampu menghuraikan ilmu syariat. Ibarat kita naik kapal besar, hendak pergi ke lautan luas supaya boleh menjelajah dunia tapi enjinnya tidak ada horse power. Kalau akal itu ibarat bot tunda (tug boat), syariat itu kapal besar, maka tug boat itu mesti mampu untuk menarik kapal yang besar.

Inilah perkara yang mesti diambil perhatian oleh ahli-ahli agama dan para ulama. Kerana itulah bila sebut sahaja syariat, orang tidak nampak keindahan syariat itu sendiri. Sebab itu ilmu falsafah ini sangat penting dalam usaha untuk membangunkan syariat dan untuk memperkenalkan Tuhan kepada manusia seluruhnya.

Ilmu Bina Insaniah
Mendidik manusia bermaksud mendidik insaniahnya. Insaniah manusia pula terdiri daripada empat elemen iaitu akal, roh atau hati, nafsu dan fizikal atau jasmani. Keempat-empat elemen inilah yang perlu dididik dan dibangunkan. Hasil dari pendidikan insaniah, lahirlah tamadun insaniah ataupun apa yang kita namakan pembangunan insan. Apabila insan telah terbangun, lahirlah akhlak yang baik, manusia yang jujur, berkasih sayang, pemurah, takutkan Tuhan, bertaqwa, mengutamakan orang lain, yang boleh berbuat baik kepada orang yang ber­buat jahat padanya dan berbagai-bagai lagi sifat mulia. Sementara dari pendidikan material atau kebendaan maka terhasillah tamadun lahiriah dan kemajuan fizikal.
Siapa yang layak mendidik manusia

Di dalam membangunkan dunia atau tamadun kebendaan ini, Tuhan tidak mengutuskan para nabi dan rasul, tetapi Tuhan datangkan ahli-ahli fikir, filasuf-filasuf atau ahli-ahli falsafah. Namun di dunia ini bukan hanya ada material tetapi ada perkara lain yang menggerakkan material dan sudah tentulah ianya manusia. Iaitu manusia yang berperanan sebagai khalifah Tuhan dan manusia yang berfungsi sebagai hamba Tuhan. Manusia seperti ini sahaja yang mampu mentadbir pembangunan tamadun kebendaan ini dengan selamat.

Tamadun insaniah bila Tuhan hendak bangunkan, Tuhan utuskan rasul. Tuhan tidak utuskan ahli akal atau ahli fikir. Lebih-lebih lagi, bila manusia telah tersangat rosak, tamadun insaniah telah runtuh, akhlak telah menyembah bumi dan khalifah yang hendak menggerakkan tamadun itu sudah tidak berperanan lagi. Tuhan tidak mengutuskan ahli falsafah kerana ahli falsafah memang tidak mampu. Sebaliknya, Allah SWT utuskan para nabi dan rasul.
Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang agung.” (Al Qalam: 4)

Dan Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan kerana menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Malik)

Rasul-rasul sajalah yang boleh dan mampu membangunkan insaniah. Jika di zaman tidak ada rasul dan di waktu itu manusia telah terlalu rosak, Tuhan akan datangkan mujaddid. Mengapa perlu didatangkan mujaddid? Ini kerana ulama di waktu itu walau beratus ribu ramainya tetapi tidak mampu mendidik manusia. Bila ulama yang ramai itu tidak mampu lagi membangunkan insaniah, maka Tuhan utuskan mujaddid. Sepertilah di zaman adanya rasul, oleh kerana ulama dan ahli agamanya sudah tidak mampu mendidik, sudah tidak dapat menangani penyakit masyarakat, maka ketika itu, seolah-olah sudah wajib Tuhan datangkan rasul. Sama juga, bila ulama zaman ini sudah tidak mampu, ketika ini wajib Tuhan datangkan seorang mujaddid.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Allah mendatangkan pada umat ini di setiap awal seratus tahun mujaddid yang akan membaharui agama.”

Di sini barulah kita nampak, untuk membangunkan insaniah sangat susah, terpaksa Tuhan campur tangan. Tuhan melantik orangNya. Tidak seperti membangunkan tamadun material, sesiapa pun boleh membangunkan dunia kebendaan. Tetapi dalam hal hendak membina manusia, tiada seorang pun boleh campur tangan. Malaikat pun tidak mampu. Seolah-olah Tuhan berkata: “Aku sendiri akan menyelesaikannya, dengan cara Aku datangkan orang Aku, yang disokong (backing) oleh Aku.” Yang mana kalau di zaman adanya rasul, dia dinamakan rasul dan setelah tiadanya rasul, dia dinamakan mujaddid.

Tegasnya, membangunkan insaniah sangat susah. Sebagai bukti, katakanlah seseorang itu telah berumur 66 tahun. Kita tolak 6 tahun yang awal dalam hidupnya kerana dia tidak sedar lantaran belum mumaiyiz. Kalau orang itu memejamkan kedua-dua matanya, dia akan nampak dua perkara yang berbeza iaitu satu keadaan yang mundur dan satu keadaan yang telah membangun dan maju.

Di waktu sekolah rendah atau ketika berumur 7 tahun, orang itu sangat pemarah. Sejak 60 tahun dahulu hingga sekarang, marahnya masih tidak berubah. Sedangkan dalam tempoh 60 tahun itu, hutan belantara sudah menjadi kampung. Kampung sudah menjadi bandar. Dahulu tidak ada jalan, sekarang sudah ada jalan. Jalan raya sudah menjadi highway atau lebuh raya. Tetapi sifat pemarah orang itu masih ada hingga sekarang. Kalau 60 tahun dahulu dia ada perasaan tamak, hingga sekarang pun tamak masih ada. Di zaman dunia sudah berubah, hutan telah menjadi bandar, sepatutnya hutan mazmumah dalam hatinya telah menjadi bandar mahmudah.

Sepatutnya perubahan berlaku serentak dan seimbang. Yang material sudah cerah dan terang-benderang. Tetapi insaniah masih gelap gelita. Tamak dan pemarah masih ada lagi. Kalau dulu dia bersikap, “Orang lain hendak mati, matilah. Kalau orang lain hendak sakit, sakitlah. Biar aku hidup seorang.” Ertinya sangat mementingkan diri sendiri. Sekarang pun begitu jugalah perasaannya. Hutan sudah menjadi bandar tetapi insaniah masih seperti dulu.

Ini menunjukkan betapa susahnya membuat perubahan pada diri manusia. Patut sangatlah Allah melantik rasul. Kalau bukan rasul, pasti tidak mampu. Padahal dalam masa 60 tahun, banyak perubahan pembangunan telah berlaku. Contohnya, di sesetengah tempat yang kita pergi lihat, tiba-tiba kita berkata, “Eh... inilah tempat kita dulu. Dulu ini tempat kita melastik burung tetapi sekarang sudah menjadi jalan raya.” Orang pula dalam masa 60 tahun, sedikit pun tidak berubah.

Kesimpulannya, barulah kita faham bahawa untuk membangunkan material, sesiapa pun boleh. Maka kita tidak boleh bermegah. Tetapi untuk membangunkan insaniah dan mendidik manusia, lebih-lebih lagi manusia yang sedang ‘sakit’ adalah sangat susah. Hanya orang Tuhan dan orang yang ditunjukkan oleh Tuhan sahaja mampu melakukannya.

Sumber dan Dasar Mendidik Manusia
Untuk membangunkan insaniah dan mendidik manusia ini, asas-asas didikan dan dasar-dasarnya telah Tuhan nyatakan di dalam A1 Quran:
Maksudnya: “Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berbahaslah dengan mereka secara yang baik.” (An Nahl: 125)

Berdasarkan ayat di atas, Tuhan menerangkan bahawa hendak­lah kamu mengajak manusia kepada Tuhanmu. Ertinya, mengajak kepada syariat, aqidah dan juga tasawufnya atau akhlaknya. Seterusnya untuk menegakkan kebenaran, menegakkan jemaah, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya hendaklah melalui tiga dasar yang utama:
1. Bil Hikmah (dengan hikmah)
2. Bil Mauizatul Hasanah (dengan nasihat yang baik)
3. Wajadilhum billati hiya ahsan (berbahas dengan cara yang baik)

Berdasarkan kepada tafsiran ayat di atas, di sini asas dan dasar-dasar sistem pendidikan Islam yang disebutkan itu dikembangkan dan diperluaskan supaya teknikalnya dapat difahami dan ianya dapat digunakan sebagai panduan.

Bil Hikmah (Dengan Hikmah)
Maksud hikmah ialah ilmu di dalam ilmu. Iaitu hati yang sentiasa dipimpin oleh Tuhan. Ertinya orang yang hendak mendidik orang lain itu hatinya sentiasa dipimpin. Ilmunya sangat mendalam dan seni. Ilmunya bagai lautan dan berlapis-lapis. Ia faham mengenai ilmu akal, roh atau hati, nafsu dan jasad. Orang yang tidak ada hikmah, ia akan mendidik secara kasar sahaja. Manusia susah untuk melakukan perubahan. Didikannya tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Justeru itu, untuk mendidik manusia kepada Tuhan, mendidik manusia kepada syariat Tuhan dan mendidik insaniah kepada berakhlak, ilmu hikmah mestilah ada. Pendidik itu sendiri perlu benar-benar tahu dan memahami mengenai manusia, iaitu akal­nya, minatnya, kekuatan berfikirnya, kecenderungannya, bakatnya, nafsunya dan fizikalnya. Ia faham tentang psikologi manusia. Supaya teknik-teknik yang diaplikasikan dalam pembelajaran dan pendidikan mendatangkan kesan kepada pelajar. Pendidik yang berjaya ialah pendidik yang benar-benar memahami dasar yang pertama ini iaitu bil hikmah. Ia benar-benar faham empat elemen dalam diri manusia iaitu:
1. Memahami akal manusia
2. Memahami roh atau hati manusia
3. Memahami nafsu manusia
4. Memahami fizikal atau jasad manusia

A. Memahami Akal Manusia
Secara umum, cara mendidik dalam satu kelas adalah sama tetapi secara individu, ada perbezaan berdasarkan minat seseorang yang agak berbeza dan kecenderungannya yang berbeza. Jika di pe­ringkat sekolah tinggi, pengasingan perlu dibuat dengan meng­ambil kira bakatnya, minatnya, tahap IQ dan sebagainya.

Pendidik perlu memahami akal manusia. Semua peringkat akal, tidak kira sama ada cerdik atau lemah, wajib mempelajari ilmu fardhu ain, sementara ilmu-ilmu lain seperti fardhu kifayah, yang sunat-sunat dan yang harus, dipelajari mengikut kemampuan akal setiap pelajar. Semuanya mestilah diklasifikasikan. Mereka yang cerdik, diberi peluang belajar sepuas-puasnya kerana mereka adalah aset bangsa dan negara. Jika ibu bapanya tidak berkemampuan, negara harus menanggung dan memberi mereka biasiswa. Anak-anak ini adalah aset negara iaitu aset bersama. Kalau tidak disokong dan dibantu, negara akan rugi. Pendidik juga perlu memahami peringkat-peringkat IQ pelajar. Ada yang sederhana dan ada yang baik. Kadang-kadang ada yang tinggi IQnya tetapi kehidupannya susah. Golongan ini perlu dibantu.

Peringkat-peringkat IQ Manusia
Seperti yang telah dikatakan, IQ manusia berperingkat-peringkat. Peringkat-peringkat tersebut umumnya boleh dikategorikan seperti berikut:
1. IQ istimewa atau genius.
Dalam bahasa Arab disebut ‘abqari’. IQ taraf pertama iaitu otak genius, ia melampaui cerdik. Bagi otak genius, kemam­puannya boleh melahirkan teori baru dan ia tidak mengambil dari orang lain. Penemuan ilmu adalah dari dirinya sendiri, tidak kira sama ada dia Islam atau bukan Islam. Tegasnya, teori ini tidak ada pada orang lain. Penemuannya langsung tidak diambil dari orang lain. Ini dikatakan otak istimewa atau genius. IQ yang paling atas sekali. Di dalam istilah aga­ma, orang IQ peringkat pertama ini adalah pembuat matan, seperti Imam Syafie, Imam Malik, Imam Hambali dan lain-lain imam mazhab.

2. IQ cerdik iaitu IQ peringkat kedua.
Ia tidak mampu melahirkan teori dan membuat penemuan ilmu baru tetapi hasil penemuan atau teori orang genius tadi boleh difahami dan boleh dihuraikan dengan lebih luas lagi. Dia boleh memahami sesuatu perkara yang mungkin tidak boleh difahami oleh orang lain. IQ peringkat ini luar biasa sebab boleh menghurai matan. Di dalam dunia ini tidak ramai orang yang mempunyai IQ cerdik seperti ini. Dalam bahasa Arab IQ cerdik ini disebut ‘zaka’. Orang yang cerdik ini dipanggil ‘zaki’. Contoh peringkat IQ yang kedua ini seperti Imam Sayuti, Imam Fakhrurrazi dan sebagainya.

3. IQ cerdik biasa atau cerdik sederhana iaitu IQ peringkat ketiga.
Orang yang mempunyai IQ cerdik biasa ini boleh memahami apa yang dihuraikan oleh orang IQ peringkat kedua tadi. Tetapi oleh kerana tidak mampu memahami kesemuanya maka dikeluarkanlah sahaja apa yang benar-benar difahami­nya. Di dalam mentafsirkan sesuatu ia menjadi berkurangan. Jika dia menulis, buku dan huraiannya lebih panjang. Dia dipanggil tukang syarah. Lazimnya mereka ini adalah penulis ‘hasyiah’.

4. IQ normal atau sederhana.
Peringkat IQ ini adalah IQ kebanyakan orang. Ini IQ peringkat awam.

5. IQ lemah
Yakni di bawah IQ orang awam. Peringkat ini disebut bodoh.

6. IQ paling bawah
Ia disebut dungu.

Jika pemimpin, pendidik dan ibu bapa faham tentang kategori IQ ini, maka setelah selesai fardhu ainnya, dalam berhadapan dengan ilmu fardhu kifayah, mereka sudah tahu di dalam kumpulan mana hendak diletakkan pelajar-pelajar atau anak-anaknya, sepadan dengan tahap-tahap IQ mereka. Adalah malang bagi satu bangsa kalau ada kanak-kanak yang tinggal di hujung kampung, miskin pula, keluarganya bukan orang kenamaan atau bukan kroni orang kenamaan, hanya mendapat pendidikan se­takat darjah 6 tetapi IQnya genius. Bila dewasa, dia hanya jadi petani sahaja. Itu adalah satu kerugian besar sedangkan dia adalah aset bangsa.

Begitu juga cerdik, iaitu IQ peringkat kedua dan ketiga. Kalau tidak disuruh mengaji dan diberi peluang belajar serta tidak mendapat pendidikan yang secukupnya, alangkah ruginya bangsa. Sebab itu, mana-mana negara yang tidak ada keadilan, hanya anak-anak kroni yang mendapat peluang. Yang bukan kroni tidak didorong dan tidak diberi peluang. Hanya belajar setakat darjah enam. Ini merupakan suatu kerugian besar buat bangsa tersebut.

Inilah yang terjadi dalam negara yang tidak stabil politiknya. Anak-anak yang ibu bapanya berlainan aliran politiknya menjadi mangsa. Sebab itu, kadang-kadang kita lihat di universiti-universiti, tidak ditemui ramai ahli fikir. Sebabnya, orang-orang yang IQnya baik tetapi miskin, orang tidak peduli dan tidak masuk universiti. Kesannya, ramai yang berada di menara gading bukan dari golongan ahli fikir. Mereka itu dapat degri atau ijazah hanya kerana bernasib baik mendapat peluang belajar. Kalau orang yang otaknya genius diberi peluang belajar di universiti, berapa banyak negara untung. Sebab itulah bangsa kita tidak ada ahli fikir. Tidak lahir pujangga dan pendeta-pendeta.

B. Memahami Nafsu Manusia
Nafsu kalau tidak dididik ke arah kejahatan pun, dia tetap akan buat kejahatan.
Allah telah nyatakan di dalam Al Quran:
Maksudnya: “Sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan.” (Yusuf: 53)

Betapalah kalau dididik ke arah kejahatan dan melalui sistem yang jahat. Malang bagi suatu bangsa yang nafsunya memang jahat, dididik, diasuh dan dibaja pula ke arah kejahatan. Akan lahirlah orang pandai yang jahat, orang bodoh yang jahat, pemimpin yang jahat dan pendidik yang jahat. Ini lebih bahaya dari persoalan tidak kenal IQ tadi. Sebab itu nafsu perlu dike­nali tahap-tahapnya dan tingkatannya. Nafsu wataknya memang jahat, kalau dibiarkan ia tetap jahat, betapalah kalau dididik ke arah kejahatan oleh sistem pendidikan yang jahat dan yang mengajar pun adalah orang jahat. Betapa jahatnya kejahatan yang akan berlaku. Jadi nafsu ini perlu dididik. Sebab itu Tuhan ingatkan kita tentang ini di dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan orang-orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)

Sesiapa yang bermujahadah terhadap nafsu, ditingkatkannya daripada jahat kepada baik, maka Tuhan akan memberi petunjuk kepada jalan yang baik. Itu janji Tuhan. Sebab itu nafsu kena dididik. Nafsu adalah musuh utama manusia. Kedua baru syaitan. Nafsu musuh dalaman. Syaitan hanya musuh luaran. Tetapi pelik, manusia tidak pandang seperti itu. Berbeza pandangan manusia dengan pandangan Tuhan. Lihat sejarah ketika Rasulullah SAW balik dari peperangan Badar, Rasulullah bersabda:
Maksudnya: “Kita baru balik dari peperangan yang kecil kepada peperangan yang maha besar.”
Para Sahabat bertanya: “Apakah peperangan yang maha besar itu ya Rasulul­lah?”
Jawab baginda: “Perang melawan nafsu.” (Riwayat Al Bai­haqi)

Sebab itu orang yang besarkan Tuhan akan memandang nafsu itu besar dan wajib diperangi. Nafsu itulah yang sangat menyusahkan. Sebab itu dalam ajaran Islam kita mesti bermujahadah dalam melawan nafsu.

Di dalam ajaran Islam, nafsu ada tujuh peringkat:
1. Nafsu Ammarah
Nafsu yang paling jahat dan paling zalim. Jika berbuat kejahatan, dia berbangga dengan kejahatannya. Kalau terpaksa susah kerana kejahatannya, dia sanggup. Jika ada orang mengingatkannya tentang kejahatannya, dia akan menjawab, “Saya anak jantan.” Bayangkanlah, kalau orang macam ini jadi pemimpin dan berkuasa.

2. Nafsu Lawwamah
Nafsu yang mencerca dirinya sendiri. Sentiasa kesal dengan diri sendiri. Tidak hendak berbuat jahat tetapi tidak mampu melawan nafsu. Bila melakukan kejahatan, sedih tapi buat lagi. Ada kalanya buat jahat sehingga dikenakan hukuman dalam penjara. Janji tidak buat lagi tapi buat juga. Rasa sedih lagi dan buat jahat bukan kerana seronok tapi lemah mela­wan nafsu. Walaupun sudah niat tidak mahu buat lagi dan sudah serik, namun terbuat juga lagi. Contohnya, ketika lalu di kebun orang, ternampak limau, rambutan dan sebagainya, walaupun sudah berazam tidak akan mencuri, tetapi ambil dan mencuri lagi. Orang nafsu di peringkat ini sudah mula sedar tetapi tidak larat hendak melawan hawa nafsunya.

3. Nafsu Mulhamah
Erti pada lafaz ialah nafsu yang telah diberi ilham, sudah mula dipimpin, diberi hidayah. Tuhan ambil perhatian sebab dia sudah mula mendidik nafsunya. Apabila seseorang itu bersungguh-sungguh melawan nafsunya, atas belas kasihan Allah maka Tuhan akan pimpin. Oleh kerana baru dididik, ibarat orang berjalan hendak menyeberang dan melintas jalan yang di tengah-tengah ada benteng, dia sudah berada di atas benteng. Ertinya dia sudah di atas sempadan (border). Kalau tidak ada ribut atau ujian, jika mati insya-Allah selamat. Sebab sudah di atas border tapi belum sampai ke seberang. Namun masih dalam bahaya kerana apabila datang ribut, dia mungkin berbalik semula. Atau bila ujian datang, walaupun tidak jatuh tetapi sudah mula goyang. Orang di atas border ini tidak dikatakan tenang, masih dalam keadaan baha­ya. Baru diberi ilham. Bila sudah sampai ke seberang barulah, masuk kawasan selamat dan barulah dikatakan tenang.

4. Nafsu Mutmainnah
Istilah mutmainnah bermaksud tenang, tidak digugat oleh kesenangan dan kesusahan, tidak digugat oleh sihat atau sakit, orang hina atau orang puji. Semuanya sama sahaja. Pujian orang tidak menyebabkan hati terasa sedap dan tidak berbunga. Orang keji, tidak terasa sakit. Tidak ada perasaan hendak marah atau berdendam. Sebab hatinya sudah tenang, perkara positif atau negatif tidak menggugatnya. Orang ini sudah menjadi wali kecil, sudah naik di atas border orang soleh. Nafsu peringkat ini sudah sampai ke kawasan selamat, tidak tergugat lagi. Maka Tuhan mengalu-alukan ketiba­annya, dengan ayat:
Maksudnya: “Wahai nafsu (jiwa) yang tenang (suci). Kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dengan (hati) redha dan diredhai (Tuhan). Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga-Ku.” (Al Fajr: 27-30)

Dari ayat ini, seolah-olah Tuhan tidak sabar hendak menyambut tetamu-Nya: “Mari-mari, cepat-cepat Aku tidak sabar, Aku hendak jumpa engkau ini.”
Kemudian, dalam ayat tadi, Tuhan berfirman:
Maksudnya: “Kembalilah dalam keadaan redha kepada Aku, dan Aku redha dengan engkau.” (Al Fajr: 28)

Tuhan mengalu-alukan dan kalau mati pada waktu itu, dia selamat. Oleh kerana dia sudah selamat, sebab itulah Tuhan menyeru. Manakala bagi orang yang nafsunya belum selamat, dia akan mati dalam keadaan jikalau Tuhan hendak azab pun boleh, hendak diampunkan pun boleh.

Semuanya atas sebab keadilan Tuhan. Kalau kita hendak mengharapkan kekuatan diri sendiri, bimbang tidak selamat. Sebab itu kita mesti mencari kekuatan lain. Di antaranya perbanyakkan selawat, berbuat baik, bertawasul dengan guru-guru dan lain-lain, mudah-mudahan itu menyelamat­kan. Allah berfirman:
Maksudnya: “Bergaullah dengan hamba-hamba-Ku (iaitu para rasul, para nabi dan wali-wali, dan masuklah ke Syurga-Ku.” (Al Fajr: 29-30)

Ertinya, cari-carilah sebab untuk mendapatkan rahmat dari Allah SWT. Bila mencapai peringkat nafsu mutmainnah, barulah selamat. Nafsu-nafsu di bawah daripada peringkat itu tidak selamat.

5. Nafsu Radhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu radhiah ini, dia meredhai apa sahaja yang Allah takdirkan kepadanya. Ia terhibur dengan ujian. Ia merasakan ujian adalah hadiah dari Tuhan. Bila orang menghinanya, dia berterima kasih kepada Tuhan dan dia rasa bahagia. Sebab itu mereka yang berada di ma­qam ini, bila kena pukul, mereka rasa puas. Bila ditampar, se­olah-olah minta ditampar lagi. Nafsunya sudah jadi malaikat.

6. Nafsu Mardhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Tuhan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: “Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran Tuhan, ber­kata-kata dengan kata-kata Tuhan.”
Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka meman­dang besar apa saja yang Tuhan lakukan.

7. Nafsu Kamilah
Nafsu peringkat ke-5, ke-6 dan ke-7 adalah darjat atau peningkatan kepada nafsu mutmainnah tadi. Bagi nafsu kamilah, manusia biasa tidak boleh sampai ke maqam ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya setakat peringkat keenam sahaja iaitu mardhiah. Ini sudah taraf wali besar.

Itulah 7 peringkat nafsu manusia. Jadi orang yang hendak mendidik manusia mesti faham peringkat-peringkat nafsu ini. Kemudian perlu faham macam mana pula hendak mendidik setiap peringkat-peringkat nafsu tersebut supaya manusia menjadi manusia.

Hari ini nafsu sudah tidak diperangi dan tidak dianggap musuh yang wajib diperangi. Sebab itu, tanyalah ulama mana sekalipun, tidak ada seorang pun yang memasukkan pendidikan nafsu dalam sukatan pelajaran. Ayat Al Quran dan Hadis yang dibaca dan dipelajari di sekolah pun tidak ada ayat-ayat yang berkaitan dengan nafsu dan kejahatannya. Usaha memerangi nafsu tidak diaplikasikan dalam tindakan. Bila sebut musuh, yang mula-mula nampak ialah Yahudi dan Amerika sahaja. Sedangkan Yahudi dan Amerika itu budak mainan nafsu. Orang jahat itu hanyalah budak mainan nafsu.

Bertambah pelik lagi, manusia hendak membaiki buah yang pahit, dia potong buahnya. Sedangkan buah datang dari pokok. Buah pahit itu ibarat perangai jahat. Pokok itu nafsu. Jalan paling mujarab hendak menyelesaikan buah yang pahit ialah dengan memotong atau menebang pokoknya. Ulama pun sudah tidak faham bagaimana hendak menebang pokok nafsu. Ulama yang hafaz Al Quran dan Hadis pun tidak mampu memahaminya.

Contoh lain, polis yang menjaga keamanan apabila hendak menyelesaikan masalah perompak dan pencuri, cara yang lazim dilakukan ialah menangkap dan mengurungkan mereka dalam penjara. Tetapi sebenarnya, yang paling berkesan untuk jangka­masa panjang ialah dengan menukar sistem pendidikan. Itulah cara terbaik memerangi dan membendung kejahatan merompak dan mencuri.

Nafsu itu dididik. Bila ini berlaku, nafsu menjadi jinak. Nafsu yang jahat menjadi baik. Nafsu kalau dididik akan jadi pemurah, akan membesarkan Tuhan, tawaduk, tawakal, redha, berkasih sayang dan boleh berlapang dada. Maka lahirlah buah-buah yang manis walaupun di atas pokok yang pahit. Allah berfirman:
Maksudnya: “Adapun orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya Syurgalah tempat tinggalnya.” (An Naziat: 40-41)

C. Memahami Hati atau Roh Manusia
Untuk mendidik manusia tidak boleh secara luaran sahaja. Pen­didik perlu mendidik lahir dan batin secara bersepadu dan yang terpenting sekali ialah yang dalam (hati).
Allah SWT menyatakan dalam Al Quran:
Maksudnya: “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah apa yang ada di dalam dirinya.” (Ar Raad: 11)

Yang dimaksudkan ‘apa yang ada dalam diri’ adalah hati atau roh atau nafsunya. Apabila manusia telah terdidik akan lahirlah kemanusiaan. Tetapi jikalau pendidik tidak faham bagaimana hendak mendidik manusia, bukan kemanusiaannya yang akan lahir tapi kehaiwanannya yang akan terserlah. Apabila manusia telah bersifat haiwan sedangkan mereka adalah khalifah, apa yang akan terjadi? Bagi mereka, pentadbiran, peraturan dan disiplin itu menyeksa dan menyusahkan mereka. Kenali luar dan dalam diri manusia sebelum mendidik. Sebab itulah untuk melakukan kerja mendidik, bukan sebarang orang melainkan orang yang bertaqwa sahaja yang boleh melakukannya.

Pendidik yang mempunyai ilmu hikmah sahaja mampu mema­hami roh manusia. Kalau kita tidak dapat memahami roh manusia, ulama besar macam mana sekalipun tidak boleh mendidik orang. Roh itu dikatakan hati, ataupun raja dalam kerajaan diri. Raja kepada peribadi. Raja itulah yang menentukan sikap. Bahkan raja itulah yang menentukan cara berfikir seseorang. Jadi bagaimana hendak memahaminya?

Apa itu hati? Hati itu ibarat cermin. Cermin kalau dihadapkan kepada sesuatu benda, akan nampak arca atau imej benda itu. Itu pun kalau cermin itu cerah. Tetapi kalau hati yang diibaratkan cermin itu tidak dijaga dari kecil, sejak dari sekolah tadika lagi tidak dijaga, ia akan jadi hitam bila dewasa. Hitam dengan bintik-bintik dosa. Cubalah bayangkan cermin yang sudah hitam dihalakan ke arah matahari, lantunan cahayanya pun tidak dapat dilihat. Kalau dihalakan ke bulan pula, tidak boleh nampak bulan di dalam cermin itu. Bila dihalakan ke rumah yang cantik pun tidak akan nampak rumah yang cantik itu di dalam cermin. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati atau roh.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)

Begitulah hati, sejak dari kecil penuh dengan mazmumah ke­rana tidak dijaga dan dididik oleh emak ayahnya. Jika sudah hitam pekat kerana dosa-dosa, ia tidak nampak kebenaran. Tidak cinta rasul, tidak ada rasa kasih sayang dan tidak ada perikemanusiaan. Sebab itu orang yang hatinya dijaga dari kecil, tidak pernah lekat walau satu habuk pun dosa, apabila menjadi dewasa, dia akan mendapat benda-benda pelik seperti mimpi benar, kasyaf, nampak benda-benda ghaib dan mendapat ilmu ilham. Sebab hati itu wadah tempat Tuhan hendak beri hidayah. Kerana itulah, tidak hairan orang-orang dahulu selalu mendapat berbagai-bagai ilham, kasyaf dan mimpi benar.

Kita perlu memahami tentang hati dan perlu tahu sama ada hati itu kotor atau bersih. Kalau sudah kotor, perlu pula tahu bagaimana hendak membersihkannya. Allah berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah sangat suka kepada orang yang bertaubat dan suka kepada orang yang menyu­cikan hatinya.” (Al Baqarah: 222)

Firman Allah lagi:
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikannya (hati).” (Asy Syam: 9)

D. Memahami Jasmani atau Fizikal Manusia
Jasad manusia tidak berperanan untuk berfikir, berkehendak atau merasa. Ia hanya alat untuk melaksanakan arahan ketiga-tiga unsur tersebut. Jasad lahir manusia ibarat robot. Fizikal hanya perlu dijaga agar nampak cantik dan sihat. Ia tidak memerlukan perhatian sangat dalam membentuk manusia.

Bil Mauizatul Hasanah (Dengan Nasihat yang Baik)
Setelah seorang pendidik mempunyai hikmah, iaitu memahami ilmu mengenai manusia tentulah dia hendak memulakan pen­didikan. Di sini timbul persoalan cara pendekatan dan teknik mana yang hendak digunakan? Apabila merujuk kepada Al Quran, kaedah (method), pendekatan atau uslub perlaksanaan pen­di­dikan inilah yang dikatakan ‘Mauizatul Hasanah’ yang bererti nasihat-nasihat yang baik. Oleh itu, dalam mendidik perlu meng­gunakan nasihat-nasihat yang baik yang boleh kita pelajari dari Al Quran seperti berikut:

Role Model
Seorang pendidik yang bercita-cita hendak mendidik manusia mestilah menjadi role model kepada murid-muridnya di dalam semua sudut kehidupan. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik kepada umat.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada contoh yang baik untuk kamu bagi sesiapa yang meng­ha­rapkan Allah dan hari Akhirat.” (Al Ahzab: 21)

Sejarah Rasulullah SAW juga boleh menjadi panduan bagai­mana role model itu berlaku. Suatu hari seorang ibu datang menemui Rasulullah SAW bersama anaknya. Dia mengadu kepada baginda perihal anaknya yang terlalu suka makan manisan. Peliknya, Rasulullah SAW tidak memberi apa-apa nasihat tetapi me­minta ibu itu menemuinya kembali di minggu hadapan.

Seminggu kemudian ibu tersebut menemui Rasulullah SAW bersama anaknya, lalu baginda berkata, “Wahai anak, kurangkan makan manisan.” Ibu itu terus berkata, “Wahai Rasulullah, kalau itu sahaja yang ingin tuan ucapkan, mengapa tidak disebut sahaja minggu lepas.” Rasulullah SAW menjawab, “Sebenarnya saya juga sukakan manisan tetapi oleh kerana ingin menasihati anak ini, sudah seminggu saya tidak makan manisan.” Begitulah Rasulullah, dalam soal sekecil itu pun, baginda sendiri melaksanakan dahulu apa yang ingin baginda ucapkan.

Oleh itu, seorang pendidik mesti menjadi role model kepada orang yang hendak dia didik:
1. Kalau hendak kenalkan orang dengan Tuhan, pendidik perlu mengenal Tuhan dahulu.
2. Jika hendak suruh orang cintakan Tuhan, pendidiklah perlu mencintai-Nya dahulu.
3. Kalau hendak menyuruh orang takutkan Tuhan, pendidiklah yang perlu takut Tuhan dahulu.
4. Jika hendak membaikkan orang, pendidik perlu baik dahulu.
5. Kalau hendak suruh orang berakhlak, pendidik perlu ber­akhlak dahulu.

Allah mencela orang yang mengajak manusia ke arah kebaikan tetapi dia sendiri tidak mengamalkannya sepertimana firman-Nya:
Maksudnya: “Adakah kamu menyuruh manusia berbakti dan kamu lupakan dirimu sendiri sedangkan kamu membaca kitab. Mengapa kamu tidak berfikir?” (Al Baqarah: 44)

Bahkan Allah amat murka kepada orang yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak pandai mengkota. Firman Allah:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak berbuat, amat besar kebencian di sisi Allah bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.” (As Saff: 2-3)

Di dalam kitab Matan Zubad disebutkan:
Maksudnya: “Orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya akan diazab lebih dahulu daripada penyembah berhala.”

Berita-berita Gembira (Tabsyir)
Di antara cara mendidik manusia adalah dengan membawa khabar-khabar atau berita-berita gembira agar mendorong manusia untuk membuat kebaikan dan caranya berbeza mengikut pering­kat umur. Bagi orang dewasa, khabar gembira yang hendak dibawa hendaklah bersifat lebih umum sama ada khabar gembira tentang kemenangan yang akan dia perolehi di dunia seperti firman Allah Taala:
Maksudnya: “Sesungguhnya bumi ini diwariskan kepada hamba-hamba-Ku yang soleh.” (Al Anbiya: 105)

Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Islam akan bangkit semula di akhir zaman dari sebelah Timur.”

Atau khabar gembira tentang nikmat-nikmat yang akan me­reka perolehi di hari Akhirat kelak.
Firman Allah SWT dalam Al Quran:
Maksudnya: “Ada pun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka Syurga Makwa sebagai anugerah atas apa yang mereka kerjakan.” (As Sajadah: 19)

Untuk mendidik anak-anak kecil, mereka boleh digembirakan dengan menghadiahkan wang atau makanan, dibawa berjalan-jalan, diberi pujian dan sebagainya.

Khabar yang Menakutkan (Tanzir)
Di antara teknik mendidik yang diajar oleh Allah adalah dengan menyebut-nyebut khabar yang menakutkan. Sama ada perkara yang menakutkan itu di dunia ataupun di Akhirat. Pendidik boleh mengajak orang yang mereka didik memikirkan perkara yang menakutkan di dunia ini yang Allah lakukan setiap hari kepada mereka yang ingkar dengan-Nya, dengan didatangkan bencana alam berupa gempa bumi, banjir, ribut, tsunami atau ancaman penyakit dan kemalangan. Begitu juga ancaman Allah kepada orang yang menderhakai-Nya dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Adapun orang-orang yang fasik maka tempat kembali mereka adalah Neraka. Setiap kali mereka mahu keluar darinya, mereka dikembalikan ke dalamnya, lalu dikatakan kepada mereka: Rasakanlah azab Neraka yang dahulu kamu dustakan di dunia.” (As Sajadah: 20)

Oleh itu dalam mendidik, pelajar-pelajar tidak boleh dibelai-belai dan dimanjakan sahaja. Ada kalanya mereka perlu dimarah, sekali-sekala perlu dirotan mengikut kesalahan yang mereka lakukan. Generasi dahulu, jika menyerahkan anak mereka kepada pendidik, mereka serahkan dengan sebatang rotan sebagai simbolik agar dididik dengan apa cara sekalipun supaya anak itu menjadi manusia yang berguna.

Anak-anak didik ini perlu ditakut-takutkan dengan balasan di Akhirat ataupun kesusahan di dunia. Oleh itu mendidik mesti membawa unsur-unsur tanzir kerana dengannya akan menjadikan orang takut membuat kesalahan dan dosa.

Sejarah Orang Soleh
Para pendidik juga perlu memahami sejarah dengan baik kerana salah satu uslub didikan ialah menceritakan sejarah kehidupan orang-orang soleh. Ertinya ketika mendidik, para pendidik perlu menyulam-nyulam dengan cerita-cerita orang-orang yang baik. Perlu diketahui, cerita boleh mempengaruhi orang ramai untuk membuat kebaikan. Dengan menceritakan kisah orang-orang soleh ini, hati orang yang mendengar teringin hendak meniru perbuatan orang yang terdahulu. Begitulah fitrah semula jadi manusia. Oleh itu kisah teladan orang-orang soleh hendaklah dibawa selalu ketika mendidik seperti yang Allah ceritakan dalam Al Quran.

Sejarah Orang Derhaka
Salah satu unsur dalam didikan ialah dengan membawa cerita nasib orang-orang yang jahat supaya menjadi ingatan dan sempadan kepada murid-murid agar menjauhi kejahatan dan dosa seperti cerita-cerita Firaun, Namrud dan kejahatan orang Yahudi, sama ada balasan kejahatan mereka itu berlaku di dunia mahupun di Akhirat. Ini adalah kerana cerita-cerita nasib orang-orang yang jahat akan sangat memberi kesan kepada para pendengar. Sudah tentu mereka yang mendengar tidak mahu menerima nasib seperti orang yang terdahulu. Oleh itu sejarah orang-orang yang jahat juga perlu diketahui.

Berfikir Tentang Kebesaran Allah
Di dalam mendidik, para pendidik hendaklah mencungkil-cungkil dan memperlihat-lihatkan kepada anak murid mengenai kebesaran Allah. Cuma cara merperlihatkannya disesuaikan mengikut tahap umur. Pendidik perlu mengajak anak didiknya berfikir tentang kebesaran Allah.

Segala fenomena yang Allah lakukan seperti hujan, ribut, gelombang di laut dan segala ciptaan Allah seperti gunung ganang, langit, bumi dan hutan rimba dijadikan didikan kepada anak-anak murid untuk mengenal kebesaran Tuhan. Apabila ma­nusia diperlihatkan dengan kebesaran Tuhan, mereka semakin takut dengan Tuhan. Dengan menampakkan nikmat-nikmat Tuhan, manusia akan bertambah sayang dengan Tuhan sebab manusia dapat melihat nikmat Allah itu. Jika disebut-sebut dan dicungkil-cungkil maka datanglah rasa sayang dan cinta kepada Tuhan.

Oleh itu dalam mendidik manusia, agar mereka tidak jemu jika dilakukan di dalam kelas sahaja, para pelajar tersebut perlu dibawa keluar, berekspedisi umpamanya. Ketika berekspedisi, setiap apa yang dilihat, hendaklah dicungkil hikmahnya dan disyarahkan kepada mereka supaya orang yang kita didik itu terbangun akal dan rohnya.

Latihan Khidmat Masyarakat
Di antara kaedah (method) pendidikan yang perlu dilakukan juga, agar anak didik tersebut mampu melaksanakan ilmu mereka adalah dengan melatih mereka melaksanakan kebaikan. Sekali-sekala setelah mengajar di kelas agar murid-murid berbuat baik, pendidik hendaklah membawa keluar pelajar-pelajarnya agar melaksanakan kebaikan. Contoh latihan yang boleh dibuat ialah membawa murid-murid keluar untuk bergotong-royong member­sihkan masjid, tanah perkuburan atau pergi ke ladang dan membantu petani bertani. Tujuannya adalah untuk:
a. Melatih murid-murid bersusah payah, supaya mereka tahu betapa susahnya seorang petani. Susah untuk mendapatkan rezeki.

b. Supaya terbangunnya perasaan perikemanusiaan di hati mereka. Bukanlah pendidikan itu membaca kitab sahaja. Pendidikan yang sebenarnya ialah para pendidik dan pelajar-pelajar perlu turun ke gelanggang untuk melihat sendiri kehidupan orang miskin. Hasilnya akan terbangunlah fitrah kasih sayang. Fitrah kemanusiaannya akan hidup. Supaya rasa sayang pada manusia itu subur di dalam diri mereka.

Wajadilhum Billati Hiya Ahsan (Berbahas dengan Cara yang Baik)
Kita perlu tahu, di dalam pendidikan, kita juga akan berhadapan dengan golongan dewasa yang cerdik dan berpelajaran. Mereka pula terikat dengan bermacam-macam ideologi dan anutan agama. Contohnya profesor atau ahli falsafah yang berfahaman sosialis, kapitalis atau sebagainya. Bukan suatu yang mudah bagi pejuang dan pendidik untuk membawa mereka kepada Tuhan. Untuk membuatkan mereka faham, cinta dan takut Tuhan sehingga mereka terasa bangga dengan syariat Tuhan. Dengan itu pe­juang dan pendidik mesti menguasai ilmu akal yang bersifat falsafah.

Oleh kerana di dalam pendidikan ini, kita akan berhadapan dengan berbagai golongan penganut agama dan ideologi, sudah semestinya kita kena faham segala macam ilmu. Seorang murabbi mesti faham ilmu politik, ilmu masyarakat, ilmu manusia, ilmu psikologi, ilmu kebudayaan, isu-isu semasa, hal-hal dunia dan lain-lain. Sebab bila timbul perbincangan terhadap sesuatu isu, mereka ada pandangan dan kita boleh menangkis hujah mereka. Contohnya, bila timbul perbincangan tentang Tuhan, kalau mereka menolak Tuhan, kita ada hujah. Begitu juga bila mereka menolak syariat, kita boleh menangkis hujah mereka dengan hujah kita.

Sekiranya begitu gambaran seorang murabbi yang hendak mendidik seseorang atau sesuatu kelompok atau bangsa kepada Tuhan, supaya manusia cinta dan takut kepada Tuhan, supaya manusia berakhlak dan membangun mengikut kehendak Tuhan, ertinya seorang pendidik yang ingin berjaya mesti terlebih dahulu memiliki ilmu hikmah, ilmu kaedah mendidik dan mampu menguasai ilmu yang lain secara meluas.

Hari ini para pendakwah, ulama-ulama, para pendidik, ustaz-ustaz, ilmunya sangat singkat, dangkal dan terbatas. Sedangkan ramai di kalangan mereka yang hafaz Al Quran dan tidak kurang juga yang hafaz Hadis. Tapi malangnya apa yang mereka keluarkan hanyalah terjemahan semata-mata. Mereka tidak mengikut kaedah mauizatul hasanah (nasihat-nasihat yang baik) dan juga kaedah wajadilhum billati hiya ahsan (berbahas dengan cara yang baik). Mereka tidak mengikut perkembangan dan isu semasa. Walhasil, setelah 30 tahun menjadi pendidik dan menjadi pendakwah, tidak ada seorang pun yang masuk Islam di tangan mereka.

Bagi jemaah Islam pula, dari mula jemaah itu dibangunkan, setelah 30 tahun berjuang, mampu pula menarik 100 ribu orang ahli tetapi sebuah model kedai runcit pun masih belum terbangun. Apa yang tidak kena dengan mereka? Mereka seronok berjuang tetapi ilmu hikmah mereka lupakan dan ilmu kaedah perbin­cangan mereka ketepikan. Natijahnya, berpuluh tahun berjuang, tidak ada sebarang perubahan walaupun zaman terus berubah. Di sinilah kegagalan pejuang-pejuang Islam, walaupun sudah lama berjuang, musuh-musuh Islam sudah berkembang maju, mereka tetap di takuk yang lama. Akhirnya, timbul rasa sakit hati bila melihat pembangunan yang dibuat oleh musuh, sedangkan mereka berjuang bagi pihak Tuhan tetapi tidak mem­bangun, maka marah dan mengamuklah mereka. Akhirnya mereka menjadi militan.

Apabila menjadi militan, hakikatnya mereka mengundang risiko yang lebih besar. Mereka akan ditekan oleh Amerika, Barat dan negara-negara musuh yang lain. Hasilnya umat Islam yang tidak bersalah pun dipersalahkan. Musuh tidak akan melepaskan peluang yang ada maka seluruh umat Islam dituduh militan. Agama Islam dan pejuangnya sering dikaitkan dengan pengganas manakala umat Islam terus-menerus menerima tekanan.

Sebagai kesimpulan, untuk membangunkan insaniah manusia hingga benar-benar menjadi hamba dan khalifah Allah yang mampu memakmurkan dunia ini dengan pembangunan dan kemajuan yang bersih tanpa kekotoran bukanlah suatu kerja yang mudah. Hanya utusan Tuhan yang terdiri dari kalangan rasul dan mujaddid sahaja yang mampu memikul tugas ini. Sekiranya ulama-ulama yang lain faham hal ini, mereka tidak akan membuka gelanggang dan wadah sendiri. Mereka akan ikut mujaddid.

Demikianlah gambaran secara ringkas bagaimana mendidik insaniah manusia. Baru kita faham, untuk mendidik manusia bukan kerja yang mudah. Ia tidak semudah membangunkan material. Kerana itulah membangunkan material boleh dibuat oleh sesiapa pun. Tetapi kerja membangunkan insaniah tidak boleh dilaksanakan oleh sebarang orang. Bagi orang yang faham kenyataan ini, dia mesti bersama orang Tuhan dan bersama mujaddid, barulah perjuangan mengenalkan Tuhan dan syariatNya akan berjaya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)