• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ilmuan Munafik Menyesatkan Akidah

Oleh Yussamir Yusof
Umat Islam digalak sentiasa menimba ilmu untuk dunia, akhirat

BUKAN mudah untuk menjadi orang berilmu, namun tidak sukar juga untuk mendalami ilmu pengetahuan sehingga menjadi ilmuwan. Ia bergantung kepada diri sendiri, dalam masa yang sama di atas takdir Allah.

Firman Allah: "Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah al-Mujadilah: 11)

Menjadi seorang berilmu adalah sebuah penghormatan dan kemuliaan. Banyak hadis dan firman Allah yang menggambarkan betapa tingginya darjat orang yang berilmu.

Firman Allah: "Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat dan tidak (pula) sama gelap gelita dengan cahaya, dan tidak (pula) sama yang teduh dengan yang panas." (Surah al-Fathir: 19-21)

Ayat di atas Allah menggambarkan orang yang berilmu seperti seorang yang celik matanya, manakala orang yang jahil seperti seorang yang buta matanya. Sungguh tinggi perumpamaan yang digambarkan Allah terhadap orang yang berilmu.

Hakikat kemuliaan dan tingginya darjat orang yang berilmu dikukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW. Sabda Baginda: "Barang siapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan permudahkannya untuk masuk syurga. Malaikat akan mengepakkan sayapnya ke atas pencari ilmu, kerana mereka suka dengan apa yang dilakukannya."

Orang yang berilmu diminta ampun oleh semua yang ada di langit dan di bumi, bahkan ikan di air juga turut serta memohon ampun untuknya. Keutamaan orang yang alim atas ahli ibadat seperti keutamaan bulan di atas bintang.

Ulama adalah pewaris nabi, dan nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Sehingga orang yang mengambilnya benar-benar mengambil bahagian yang sempurna (Hadis Imam Bukhari).

Al-Imam Ghazali ketika membaca hadis itu menjelaskan: "Sudah maklum, tidak ada darjat di atas darjat kenabian dan tidak ada kemuliaan di atas kemuliaan mewarisi darjat itu."

Ibnu Mubarak pula hairan apabila tidak ramai yang menuntut ilmu, kerana katanya hanya dengan ilmu barulah kemuliaan akan hadir pada diri seseorang.

Namun masalah ujub (bongkak) dan tidak mengamalkan ilmu yang ada semakin lama semakin membarah di kalangan penuntut ilmu. Sungguh ramai penuntut ilmu mula mencari ilmu untuk kemegahan dan keuntungan dunia. Ada juga sebahagian daripada mereka mencari ilmu semata-mata untuk berdebat dan menguji ulama yang ada.

Kegusaran Nabi Muhammad terhadap hal ini sememangnya diduga ketika Baginda masih hidup lagi. Oleh sebab itu Rasulullah pernah memberi amaran kepada penuntut ilmu mengenai hal ini. Sabda Rasulullah SAW: "Jangan mempelajari ilmu untuk menyombong diri pada ulama, berbangga dengan orang yang jahil, serta memilih majlis. Sesungguhnya barang siapa yang melakukan hal itu dia akan masuk ke dalam neraka." (Hadis Ibn Hibban dengan perawi yang dipercayai lagi sahih, demikian terang Syu'aib al-Arna'uth dalam semakan ke atas Sahih Ibn Hibban).

Begitu juga dengan sesiapa yang menuntut ilmu dengan niat ingin mendapat keuntungan dunia. Rasulullah memberi amaran keras terhadap golongan ini. Sabda Rasulullah SAW: "Seharusnya seseorang yang mempelajari sesuatu ilmu adalah untuk mendapat keredaan Allah, namun jika dia mempelajarinya adalah kerana untuk memperoleh kesenangan dunia, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada Hari Kiamat." (Hadis Ibn Hibban).

Oleh sebab niat yang tidak jujur dan ikhlas menuntut ilmu kerana Allah, membuatkan ilmu yang ada hanya setakat lidah tanpa ada pengamalan. Sedangkan ilmu itu haruslah disusuli dengan amalan, kerana ilmu adalah imam dan amal adalah makmum.

Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya, Tafsir Fiqh as-Suluq fi Dhau al-Quran wa as-Sunnah menulis: "Sesungguhnya musibah terburuk yang menimpa kehidupan dan menerpa umat manusia adalah orang alim yang perkataannya bertentangan dengan perbuatannya, dan perbuatannya mendustakan perkataannya. Orang alim seperti ini adalah bencana untuk hamba Allah. Dan tindakannya itu adalah tindakan yang diperingatkan al-Quran kepada orang beriman. Firman Allah, "Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (Surah al-Shaff :3)

Maka tidak aneh apabila Rasulullah meminta perlindungan Allah daripada ilmu tidak bermanfaat. Zaid bin Arqam meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, jiwa yang tidak puas serta doa yang tidak dikabulkan." (Hadis Ibn Majah)

Sungguh hina dan azab kepada orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Ketika Rasulullah menceritakan kepada sahabat bagaimana seksaan yang diterima oleh golongan berilmu tetapi tidak memanfaatkannya. Zaid bin Arqam meriwayatkannya dengan berkata, "Saya mendengar Rasulullah bersabda: Pada Hari Kiamat seseorang didatangkan dan dilemparkan ke dalam neraka. Kemudian ususnya terburai dan dia akan dipusing-pusingkan seperti keldai yang memusingkan alat giling.

Penghuni neraka berkumpul dan bertanya kepada orang terbabit: "Fulan, apa yang terjadi denganmu? Bukankah dulu kau mengajak kepada yang makruf dan melarang perkara yang mungkar? Dia pun menjawab, "Dulu aku memang mengajak kepada perkara yang makruf namun aku sendiri tidak mengamalkannya. Dan aku melarang yang mungkar, tetapi aku sendiri melakukannya." (Hadis Imam Bukhari).

Golongan berilmu ini boleh juga dikira sebagai seorang munafik. Kerana orang munafik lahiriahnya bagus tetapi dalamannya rosak. Lidahnya manis menuturkan kata-kata hikmah namun amalannya pahit. Mereka memperdayakan manusia dengan ilmu yang ada, padahal hatinya kosong dari keyakinan iman dan Islam. Golongan ilmuwan sebegini adalah munafik yang alim lisannya.

Bahaya munafik yang alim lisannya ini diberi ingatan oleh Rasulullah seperti yang diriwayatkan Umran bin Hushain. Sabda Baginda: "Sesungguhnya sesuatu yang paling aku risaukan sepeninggalanku terhadapmu ialah setiap orang munafik yang alim lidahnya." (Hadis dicatatkan Imam Tabrani).

Berhati-hatilah dengan golongan ilmuwan sebegini. Sentiasalah berdoa agar di kalangan kita tidak akan wujud golongan seperti ini. Moga peringatan Saidina Umar al-Khatab ini menjadi nasihat dan peringatan sekali gus kepada kita semua. Kata beliau: "Berhati-hatilah, kerana Rasulullah SAW menyuruh kita berhati-hati terhadap setiap orang munafik yang alim lisannya."

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)