• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ilmuwan Islam : Al-haitham Saintis Pertama Merungkai Rahsia Imej Penglihatan

SEORANG lagi ilmuwan Islam silam yang mempunyai sumbangan luar biasa dalam kemajuan tamadun manusia pada hari ini ialah Abu Ali, Hassan ibn Hassan Ibn al-Haitham atau di Barat dikenali dengan nama Alhazen, Avennathan, dan Avenetan.

Beliau dilahirkan pada 354 Hijrah (965 Masihi) di Basrah dan meninggal dunia pada 430 Hijrah (1039 Masihi) di Kaherah pada usia 74 tahun. Beliau dikenali sebagai saintis pertama.

Jika satu daripada kajian dan penyelidikannya tidak dibukukan dalam kitabnya al-Manazir (Book of Optics) pada 1021 Masihi, tamadun dunia harus mencari orang lain agar mereka boleh menemukan mikroskop dan teleskop daripada ahli sains Barat termasuk Johannes Kepler (w 1630M) yang datang 600 tahun sesudah Ibn al-Haitham. Dalam kitab Abjad al-Ulum karangan al-Qannuji jilid 2 muka surat 519 ditulis: (Ilm al-Manazir, Ilmu Optik) adalah satu ilmu yang dengannya diketahui sebab terbalik dalam penglihatan mata dengan cara mengetahui kejadiannya yang diasaskan kepada pengetahuan penglihatan menerusi garis sinar bahagian atas yang dilakukan orang yang melihatnya, manakala bahagian bawahnya terlihat kemudian berlaku sesuatu yang terbalik sehingga nampak besar benda yang dekat dan nampak kecil benda yang jauh. Dalam perkataan lain, dengan menggunakan kaedah matematik dan moden fizik yang baik Ibn al-Haitham dapat membuat eksperimen teliti, beliau meletakkan optik pada batu asas yang kukuh. Beliau menggabungkan teori dan eksperimen dalam penyelidikannya. Dalam penyelidikan, beliau mengkaji gerakan cahaya, ciri bayang dan imej dan banyak lagi fenomena optik yang penting.

Beliau menolak teori Ptolemy dan Euclid yang mengatakan manusia melihat benda melalui pancaran cahaya yang keluar dari matanya. Menurut Ibnu Haitham, bukan mata memberikan cahaya tetapi benda yang dilihat memantulkan cahaya ke mata manusia.

Oleh kerana kehebatan Ibn al-Haitham menghuraikan optik, RL Verma dalam bukunya Al-Hazen: Father of Modern Optics, menjoloki Ibnu al-Haitham sebagai bapa optik moden. Rosanna Gorini dalam tulisannya Al-Haytham the Man of Experience, menyebut beliau pelopor metod ilmiah moden.

Kemudian dijelaskan lagi prinsip ilmu optik ini dan akhirnya al-Qannuji mengatakan: Ramai ilmuwan Greek yang menulis dalam ilmu ini dan ilmuwan Islam yang paling masyhur dalam ilmu ini ialah Ibn al-Haitham dan antara buku ringkas mengenainya ditulis Achedes, sedangkan buku yang sederhana ditulis Ali ibn Isa al-Wazir manakala yang panjang lebar ditulis Ibn al-Haitham. Beliau menulis buku ini selepas melakukan satu lakonan yang hanya beliau sendiri yang tahu sebab musababnya. Dikisahkan beliau dijemput pemerintah Dinasti Fatimiyyah, al-Hakim Amirillah ke Mesir untuk menyelesaikan masalah banjir Sungai Nil. Beliau dijemput kerana kemasyhurannya sebagai saintis ulung pada masa itu di Baghdad. Malangnya, beliau tidak boleh menyelesaikan tugas itu kerana kurang peralatan. Untuk menyelamatkan diri daripada kemurkaan al-Hakim beliau berpura-pura hilang ingatan sampai al-Hakim mangkat pada 1021 Masihi. Pada tahun itu juga buku al-Manazir selesai ditulisnya.

Ibn al-Haitham memiliki banyak karya. Beliau menulis tidak kurang 200 judul buku. Karya itu berhubung dengan ilmu fizik dan matematik, antara ilmu yang sangat dikuasainya dan hampir keseluruhan diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah.

Beiau dibesarkan di Basrah dan Baghdad, dua kota yang menjadi pusat ilmu pengetahuan Abbasiyah pada masa itu. Di sinilah beliau memulakan pendidikan awalnya sebelum dilantik menjadi pegawai pemerintah di bandar kelahirannya. Selepas beberapa lama berkhidmat, beliau merantau ke Ahwaz dan Baghdad. Beliau melanjutkan pengajian dan menumpukan perhatian pada penulisan.

Keintelektualan Ibnu Haitham terbukti ketika menjadi pelajar dengan kecenderungan terhadap pelbagai ilmu. Beliau tidak jemu menimba ilmu sama ada agama atau ilmu matematik, fizik, astronomi, perubatan, falsafah dan mantik.

Ibn al-Haitham pernah ke Andalusia (Sepanyol), kiblat ilmu pengetahuan Eropah pada masa itu. Di sana beliau mempelajari bidang optik sehingga terkenal. Selama menetap di Mesir, Ibnu Haitham memperkukuh Universiti al-Azhar dan terus menyambung usaha ilmiahnnya dalam bidang yang cukup saintifik. Beliau turut menterjemahkan buku matematik dan falak ke bahasa Arab terutama daripada bahasa Latin.

Demikianlah Ibn al-Haitham sebagai saintis pertama dan jika Barat bersikap jujur, beliau sudah pasti disenaraikan dalam The Great Scientists.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)