Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my
DIDIK ANAK KECIL...pembabitan mereka dalam perarakan menyambut Maulidur Rasul dapat dijadikan dorongan untuk menjadi umat yang sayangkan agamanya.
NABI Muhammad s.a.w mempunyai akhlak terpuji yang tidak ada tolok bandingnya. Malah musuh baginda daripada kalangan orang Arab Quraisy juga tidak pernah mempertikaikan budi pekertinya yang mulia itu.
Ketika hayatnya, Nabi Muhammad sentiasa membimbing sahabat dengan penuh kasih sayang dan bijaksana. Dalam pergaulannya seharian, kepemimpinan baginda membawa kesan yang amat mendalam terutama kepada empat sahabat utama iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abu Talib.
KESAN POSITIF...sambutan seperti mengadakan perarakan dengan berselawat ke atas nabi dapat menyemarakkan lagi kecintaan dan ingatan kepada Rasulullah.
MINTA...berdoalah supaya Allah tetapkan iman kita serta sentiasa mengucapkan selawat ke atas nabi agar Allah memudahkan jalan kita ke syurga melalui syafaatnya.
Anak keluarga miskin daripada keturunan bani Mutalib, Rasulullah s.a.w kehilangan ayah sebelum dilahirkan dan ibu ketika zaman kanak-kanak.
Kanak-kanak yang membesar dalam dunia yang serba kekurangan, dipilih Allah untuk memimpin ummah bagi membawa kebenaran dan membuang segala bentuk maksiat dan penipuan.
Baginda adalah rasul akhir zaman yang diutus bagi melengkapkan semua ajaran rasul terdahulu. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Perumpamaanku dengan rasul-rasul yang lain ibarat sebuah istana yang elok pembinaannya kecuali pada satu sudut yang masih kekurangan seketul bata...Akulah seketul bata itu dan akulah penutup segala nabi-nabi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Detik pagi Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masihi menjadi saksi apabila lahir seorang bayi yang membawa rahmat ke seluruh alam.
Ibunya, Siti Aminah tidak pernah berasa penat atau sakit ketika mengandungkannya. Walaupun kita tidak pernah menatap wajah Nabi Muhammad, tarikh ulang tahun kelahirannya itu perlu menjadi tarikh penting bagi umat Islam mengingati sejarah perjuangan baginda.
Nabi Muhammad seorang yang sentiasa mengosongkan hatinya daripada segala sesuatu selain Allah di dunia ini. Sifat zuhudnya itu dapat dilihat daripada sikapnya yang tidak terpesona dengan limpahan harta dunia, kemasyhuran serta darjat.
Sentiasa banyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad kerana ia adalah tuntutan yang perlu kita laksanakan pada setiap masa. Sebelum berdoa, bacalah selawat kerana ia adalah kunci yang membuka kemurahan Allah kepada kita.
Maksud berselawat di sini ialah Allah akan memberi rahmat, hidayah dan keredaan-Nya kepada baginda. Bagi yang sentiasa mengucapkan selawat ke atas nabi, kehidupan seseorang itu pasti dipermudahkan, hatinya berasa tenteram, lapang rezekinya serta Allah akan memudahkan jalan ke syurga melalui syafaatnya.
Nasai Ibnu Hibban meriwayatkan, Nabi Muhammad s.a.w berpesan: “Sesungguhnya orang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”
Sambutan yang diraikan perlu dijadikan iktibar terhadap kesusahan baginda berjuang menegakkan kalimah Allah. Islam memandang cara terbaik menyambut Maulidur Rasul dengan menjadikan kisah sejarah baginda sebagai iktibar untuk diterjemahkan dalam kehidupan.
Mentaati sunnah baginda menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi s.a.w. Ini termasuk menjaga perkataan dan perbuatan kita. Allah s.w.t memberi jaminan bahawa baginda adalah insan terbaik untuk dijadikan ikutan dan teladan bagi seluruh manusia.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguh�nya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu...” (Surah al-Ahzab ayat 21).
Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, dalam kitab ‘Al-Bidayah wa al-Nihayah’ karangan Ibnu Kathir, ulama berselisih pendapat mengenai tarikh sebenar kelahiran Rasulullah.
“Perkara ini menunjukkan isu tarikh kelahiran Rasulullah adalah isu khilafiyah yang memerlukan kajian lanjut secara ilmiah. Namun, majoriti ulama dan sejarawan Islam bersepakat Rasulullah dilahirkan pada hari Isnin.
“Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah ditanya mengenai puasa sunat hari Isnin. Maka Baginda menjawab: “Hari itu (hari yang bersejarah kerana) padanya aku dilahirkan dan padanya aku diutus menjadi Rasul.” (Hadis riwayat Muslim)
“Berdasarkan hadis ini, secara jelas dapat difahami bahawa Rasulullah turut memuliakan hari kelahirannya. Baginda memuliakan hari itu dengan melakukan amalan baik yang tujuannya tidak lain untuk mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.
Beliau berkata, mencintai dan menyayangi junjungan besar Rasulullah adalah satu hal yang amat dituntut dalam Islam.
“Perkara ini boleh difahami dengan jelas berdasarkan mafhum sabda Rasulullah yang bermaksud: “Belum sempurna iman seseorang daripada kamu, kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya.” (Hadis riwayat Muslim)
“Menyayangi Rasulullah bukan perkara remeh kerana ia membabitkan iman. Cara menyayangi dan mengasihi Rasulullah bukan dengan hanya mengungkap kata-kata indah tetapi perlu dibuktikan dengan perbuatan.
“Wajar kita mengambil peluang sempena hari Maulid al-Rasul nanti untuk bermuhasabah diri. Adakah perlakuan kita selama ini sejajar dengan tindakan Rasulullah? Ini antara perso�alan yang perlu sama-sama kita jawab,” katanya.
Mohd Shahrizal berkata, sambutan Maulid al-Rasul yang disambut masyarakat Islam di Malaysia adalah amalan baik yang wajar diberi galakan.
“Pengisytiharan cuti umum oleh pihak pemerintah sempena Maulid al-Rasul adalah satu usaha baik, ditambah pula dengan aktiviti bercorak keagamaan yang menjamin kesan positif dalam masyarakat.
“Malah pihak media turut menyiarkan program siaran yang menjurus kepada usaha memperingati junjungan besar Nabi Muhammad. Ini dikira usaha baik dan wajar diberi pujian,” katanya.
Menurutnya, beberapa usaha perlu ditambah bagi menjadikan sambutan hari Maulid al-Rasul lebih bermakna dan bermanfaat kepada masyarakat.
“Umat Islam perlu didedahkan dengan sirah Rasulullah yang meliputi segenap aspek kehidupan untuk dicontohi. Seperti yang diketahui umum, Rasulullah menjadi contoh ikutan terbaik bagi umat Islam.
“Untuk memiliki akhlak terpuji, Rasulullah adalah contoh yang perlu dijadikan ikutan. Segala-galanya ditunjukkan dalam perilaku serta tutur kata baginda.
“Baginda mempamerkan contoh terbaik sebagai seorang anak, suami, peniaga, pemimpin masyarakat, perancang ekonomi, panglima angkatan perang dan ahli politik,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat Islam khususnya di Malaysia perlu didedahkan dengan maklumat berkaitan sejarah serta perjalanan hidup baginda yang penuh dengan ranjau.
“Baginda mampu menjadi pendorong kepada umat Islam untuk terus bangkit memperjuangkan kesucian agama Allah terutama mempergiatkan usaha dakwah serta memperbanyakkan majlis ilmu.
“Hanya dengan ilmu, masyarakat akan faham betapa perlunya mencontohi keperibadian Rasulullah.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21).
“Perkara ini perlu diusahakan sekarang dan dilakukan secara berterusan. Ia tidak hanya terjadi pada satu hari (Maulid al-Rasul) sahaja.
“Barangkali sambutan memperingati hari kelahiran Rasulullah ini menjadi titik permulaan timbulnya rasa kasih kepada Rasulullah, seterusnya meletakkan baginda pada tempat yang teratas sekali iaitu sebagai ikon yang paling ideal.
Katanya, masyarakat juga perlu terus dinasihatkan supaya perkara yang baik tidak sekali-kali dicemari dengan perkara buruk dan dilarang Islam.
“Percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, pembaziran wang dan
tenaga serta persembahan hiburan yang berlebihan antara perkara yang perlu dijauhkan,” katanya.
Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih
2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal
© Mukmin (Tiada Notis Copyright)
Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)