• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Iri hati mencari kebaikan tak salah

DI sekeliling kita ada yang hidup dalam kesusahan dan kesenangan. Malah, sesetengahnya mempunyai kemewahan yang sukar ditandingi. Apa perasaan kita apabila memandang kepada kehidupan hartawan itu?

Umumnya apabila mata melihat kenikmatan yang diperoleh orang lain, akan tumbuh suatu perasaan di dalam diri, dinamakan iri hati. Sememangnya sesuatu yang bersifat semula jadi dengan nikmat itu akan menimbulkan iri hati.


Cuma apabila iri hati itu akan melahirkan perasaan benci kepada nikmat terbabit dan suka pula ia hilang daripada tangan orang, ia dinamakan sebagai hasad.

Jika iri hati itu melahirkan keinginan mendapatkan nikmat serupa tanpa benci pada nikmat yang ada pada orang, malah tidak berharap nikmat itu hilang daripadanya, ia tidak dinamakan hasad, sebaliknya disifatkan al-ghibtah atau al-munafasah.

Apa itu hasad? Hasad boleh ditakrifkan sebagai rasa tidak senang atau sakit hati dan benci ke atas nikmat yang ada pada orang lain tetapi senang hati atau gembira dan suka nikmat itu hilang daripada tangan orang terbabit.

Ringkasnya, ia merujuk perasaan suka dan senang hati apabila orang lain ditimpa kesusahan dan bencana, tetapi menaruh kebencian apabila orang menerima kesenangan.

Daripada pengertian yang umum itu, sarjana membuat pembahagian sifat hati itu kepada empat peringkat:



Benci nikmat pada orang lain dan suka supaya nikmat itu hilang daripada milik orang, sekalipun nikmat itu tidak akan berpindah ke tangannya. Cuma yang penting padanya ialah asalkan nikmat itu hilang daripada tangan orang terbabit.


Benci kerana tiada nikmat itu di tangannya, bukan benci yang ada pada tangan orang lain dan sukakan nikmat itu ada pada tangannya, bukan sukakan nikmat itu hilang daripada tangan orang.


Tidak suka jenis nikmat itu sendiri untuk dirinya tetapi suka nikmat yang seumpama nikmat terbabit. Apabila gagal mendapatkan yang seumpamanya, timbul rasa suka kalau nikmat itu hilang daripada tangan orang yang memilikinya.

Dengan itu akan samalah tarafnya, iaitu sama-sama tidak memiliki nikmat terbabit, sebagaimana kalau berjaya akan sama-sama memilikinya.


Suka kalau dia memiliki nikmat yang sama dengan nikmat yang dipunyai orang lain. Sekiranya gagal mendapatkannya, dia tidak benci dengan nikmat yang ada pada tangan orang, sebaliknya suka sekiranya nikmat itu kekal dalam miliknya.

Peringkat pertama amat tercela, peringkat kedua adalah tercela, peringkat ketiga ada sudut tercelanya dan ada sudut tidak tercela manakala peringkat keempat dimaafkan. Peringkat keempat ini dinamakan ghibtah atau munafasah.

Munafasah tidak salah dan tidak ditegah kerana ia adalah persaingan. Persaingan yang sihat seperti untuk mendapatkan tempat yang baik di sisi Allah tidak salah.

"Meterainya kasturi dan untuk itulah hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan." (al-Mutaffifin:26)

Rasulullah s.a.w ada menegaskan, maksudnya: "Diumpamakan umat ini dengan empat (jenis) orang iaitu:


Orang yang dikurniakan Allah dengan harta dan ilmu, lalu dia berusaha dengan ilmunya untuk hartanya.


Orang yang dikurniakan Allah dengan ilmu tetapi tidak dikurniakan harta, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku! Kalaulah aku mempunyai seperti harta si polan nescaya akan aku usahakan sama seperti yang diusahakan oleh dia. Orang ini dalam pahalanya adalah sama.


Orang yang diberikan harta tetapi tidak diberikan ilmu, lalu dia menggunakan hartanya pada maksiat.


Orang yang tidak diberikan ilmu dan harta, lalu dia berkata: Kalaulah aku mempunyai harta seperti harta si polan itu, nescaya aku akan belanjakan seperti mana yang dibelanjakan pada perkara yang maksiat. Orang ini pada dosanya adalah sama.

Justeru, tidaklah salah jiwa kita berasa iri hati atas nikmat orang lain dan kita berasa ingin mempunyai nikmat yang sama sepertinya tanpa berasa suka jika nikmat itu hilang daripadanya dan tidak benci jika ia kekal di tangannya.

Bagi nikmat berbentuk keagamaan yang wajib seperti nikmat iman, solat, zakat dan puasa, berlumba-lumba ke atas nikmat terbabit wajib hukumnya, iaitu hatinya hendaklah berasa suka untuk mencapai nikmat seumpamanya.

Ini kerana jika tidak sukakan yang demikian, bererti dia rela dengan maksiat dan ini adalah haram.

Demikian juga jika nikmat itu berbentuk amalan kelebihan (fadhail) yang sangat digalakkan hukumnya adalah sunat dan jika nikmat itu yang haruskan yang dipergunakan secara harus, hukumnya adalah harus.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)