• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Islam Pentingkan Persaudaraan

Oleh Sharifah Hayaati
Mukmin digalak doakan kesejahteraan untuk insan lain

MELIHAT suasana kemeriahan Syawal yang masih ada, sewajarnya kita terus bersyukur nikmat kehidupan yang banyak di sekeliling. Semoga ia terus menyinarkan cahaya pada mata hati dan mata akal untuk mengambil sebanyak-banyak pengajaran serta manfaat terhadap nikmat itu.

Tidak kira sekecil manapun atau sama ada tersirat mahupun tersurat faedahnya supaya dapat menyuntik nilai baik dalam diri dan hasil kerja. Dengan itu, dapat meletakkan manusia pada kedudukan tinggi nilai harga dirinya.

Nikmat kehidupan adalah modal yang dianugerahkan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan kalau kamu hitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat kamu menghitungnya." (Surah Ibrahim, ayat 34 dan Surah al-nahl, ayat 18)

Salah satu nikmat itu ialah persaudaraan dan mudah dirasai khasnya dalam bulan Syawal ini. Sudah tentu akan lenyaplah kegembiraan dan ketenangan dalam hati jika tiada persaudaraan di hari raya.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah berpecah-belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuhan, maka Tuhan melunakkan hati kamu supaya kamu berbaik-baik, maka kamu pun bersaudara dengan nikmatnya." (Surah Ali-Imran, ayat 102-104)

Mengeratkan persaudaraan ini, masyarakat Islam melakukan pelbagai amalan murni antaranya memenuhi atau menyempurnakan hajat orang lain. Amalan ini menyuntik kegembiraan dan keseronokan dalam pelbagai bentuk yang amat digalakkan ajaran Islam.

Usaha seperti menyediakan juadah, pakaian dan keperluan hari raya untuk ibu bapa serta keluarga, memberi duit raya walaupun kepada bukan sanak saudara, meraikan golongan kurang bernasib baik, menunaikan zakat fitrah, bermaaf-maafan, ziarah-menziarahi, semuanya bertujuan menunaikan hajat, memberi kegembiraan atau menyukakan hati orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, nescaya Allah akan menunaikan hajatnya." (Hadis riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Abu Daud)

Malah, di sebalik hukum sunat untuk menjamah makanan sebelum ke masjid dan haram berpuasa pada 1 Syawal juga adalah tanda kasih sayang Allah untuk menggembirakan hamba-Nya yang berjaya dalam ibadat puasa.

Selain menjalinkan hubungan baik dengan amalan murni, usaha mendoakan kebaikan bagi saudara yang lain juga adalah usaha tersirat untuk menyuntik kegembiraan kepada yang lain.

Sering kali kita mendengar pelbagai ucapan berbentuk doa disampaikan mereka yang bertemu ketika majlis hari raya seperti, semoga dimurahkan rezeki, tahun depan jemputlah lagi.

Amalan terpuji ini akan mendapat perhatian doa daripada malaikat seperti kata Abu al-Darda', bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Jika seseorang hamba Allah yang Muslim mendoakan untuk saudaranya secara rahsia, malaikat akan berkata, ‘dan untukmu perkara yang serupa’." (Hadis riwayat Imam Muslim dan Ahmad)

Matlamat persaudaraan yang ingin dicapai dalam Islam sangat tinggi dan luhur apabila dihayati sehingga masyarakat merasakan kehidupan mereka saling bergantungan, memerlukan serta merasai nikmat kegembiraan dan kesedihan secara bersama.

Matlamat ini disampaikan Baginda Rasulullah SAW dalam bentuk perumpamaan yang indah dan mudah untuk difahami hingga diibaratkan seperti satu jasad, apabila ada anggota tubuh itu sakit, maka seluruh jasad turut merasai kesakitan.

Itulah antara strategi utama Rasulullah SAW mengeratkan hubungan, perpaduan serta menguatkan iman masyarakat. Rasulullah SAW bersabda dengan uslub yang tegas dan bersumpah maksudnya: "Demi Tuhan yang rohku dalam tanganNya, tidak beriman sesiapapun antara kamu hinggalah dia inginkan kebaikan bagi saudaranya seperti mana dia inginkan kebaikan itu untuk dirinya sendiri." (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Oleh itu, interaksi Syawal juga perlu dijadikan latihan praktikal untuk mengoptimumkan modal dan daya insan seseorang pekerja. Ia latihan tanpa bayaran, sebaliknya ganjaran apabila diaplikasikan. Semua nilai murni dalam interaksi Syawal tidak boleh dihalang oleh faktor masa dan tempat.

Justeru, janganlah nilai dan amalan itu hanya dibudayakan dalam suasana hari raya saja, sebaliknya di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia hanya perlu disesuaikan dengan suasana di tempat kerja.

Usaha seperti mengutamakan pelanggan, melaksanakan tugasan dalam tempoh ditetapkan, mesra dan bermanis wajah ketika memberikan perkhidmatan, menjaga tutur bicara dengan sopan, menghulurkan bantuan, adalah usaha mewujudkan kegembiraan dalam usaha mengeratkan persaudaraan dalam kalangan warga organisasi.

Usaha memenuhi hajat dengan saling menggembirakan hati serta saling mendoakan rakan sejawat dan pelanggan akan menyatukan masyarakat, meningkatkan kualiti dan produktiviti tentu sekali mengundang kasih sayang Allah SWT.

Baginda Rasulullah SAW dalam riwayat yang disepakati bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT mengasihi hamba-Nya yang mengasihi orang lain."

Penulis ialah Ketua Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)