• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Islam Sebar Rasa Damai

APA yang menjadikan Islam sebagai agama kedamaian? Nama Islam itu sendiri sesuatu yang amat unik. Itulah pertama kalinya dalam seluruh sejarah agama di dunia ada agama secara harfiah bermakna kedamaian.


Perkataan Islam memiliki dua konotasi. Pertama, tunduk dan penyerahan diri sepenuhnya kepada kehendak dan perintah Allah manakala yang kedua adalah damai. Islam adalah agama yang ditegakkan Allah S.W.T sendiri. Allah mempunyai pelbagai fitrah dan salah satunya adalah As-Salam yang bererti pembawa kedamaian. Orang yang beriman kepada Islam disebut Muslim. Muslim adalah seseorang yang sepenuhnya damai dengan dirinya sendiri dan mengembangkan kedamaian dalam masyarakat. Sebuah definisi yang cantik mengenai erti kata Muslim diberikan Nabi Muhammad s.a.w yang menyatakan: "Seorang Muslim adalah seseorang yang daripada tangan mahupun lidahnya semua orang menikmati keamanan dan keselamatan. (Riwayat Bukhari).


Hakikatnya, hanya orang yang tidak mengakibatkan mudarat kepada orang lain boleh dikatakan sebagai Muslim. Muslim juga hanya saling menghormati dan bertasamuh sesama Muslim atau bukan Muslim.


Rasulullah sendiri berdiri (sebagai penghormatan) ketika rombongan membawa mayat seorang Yahudi. Sahabat bertanya "Wahai Rasulullah, tapi dia itu orang Yahudi?" Rasulullah menjawab "Bukankah dia manusia?" Bahkan ketika Rasulullah ditanya berkenaan memberi bantuan kepada bukan Muslim: "Apakah kami boleh memberi bantuan kepada orang Yahudi?" tanya sahabat kepada Rasulullah s.a.w. "Boleh, sebab mereka juga makhluk Allah dan Allah akan menerima sedekah kita", jawab Rasulullah sambil bangga atas inisiatif sahabatnya.


"Bukankah dia manusia?". Kata ini penting, ketika kita membangunkan konsep hubungan antara manusia, sifat saling menghargai, menghormati dan saling mengerti amat penting. Tiada halangan yang boleh membataskan hubungan kita dengan orang yang berbeza agama, budaya dan status sosial. Sebagai manusia, kita perlu bersikap toleransi mengadili manusia tanpa memandang siapa dia, termasuk agamanya. Seorang Yahudi, yang setiap hari melempar kotoran ke arah Rasulullah, mencaci dan menyakiti baginda. Terbeliak matanya apabila mengetahui orang pertama sekali mengunjunginya ketika dia sakit adalah orang yang teramat dibencinya. Kerana itulah Yahudi berkenaan dengan bergetar hatinya berkata; "Demi Allah, budi pekertimu sungguh mencerminkan akhlak nabi. Maka, aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan engkau adalah utusan Allah". Bukankah dia manusia yang melahirkan satu sikap indah dengan berlapang dada malah walaupun dengan mereka yang berbeza fahaman dan keyakinan? Suatu ketika rombongan 60 Nasrani Kota Najran tiba di Madinah al-Munawarah. Rasulullah kebetulan berada di rumah. Pada waktu Asar, mereka masuk ke Masjid Nabawi, tempat Rasulullah berada. Mereka menunaikan sembahyang di dalam masjid. Rasulullah bersabda "Biarkanlah mereka menghadap ke arah timur untuk menunaikan sembahyangnya". Betapa indah sikap Rasulullah terhadap keyakinan orang lain, beliau tetap menghormatinya.


Ahmad Shawi menceritakan dalam tafsirnya, Abu Hushain (sahabat Anshar) mempunyai dua anak lelaki beragama Nasrani. Di saat kedua-dua anaknya berniaga ke Madinah, dia akan menemui mereka.


Abu Hushain sangat menginginkan kedua-dua anaknya memeluk Islam. Dengan keadaan memaksa sambil emosi Hushain membawa kedua-dua anaknya kepada Rasulullah s.a.w seraya berkata: "Ya Rasulullah, pantaskah di antara kami masuk neraka?" sambil menunjuk kedua-dua anaknya dengan kesal. Namun, Rasulullah diam. Maka ketika peristiwa itu, turun ayat al-Quran surah Al-Baqarah ayat 156: "Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)". Bahkan Rasulullah tidak memaksa orang tua mengajak anaknya memeluk Islam. Begitulah toleransi yang diajar Islam.


Hari ini, sejak kehadiran Islam kita hidup dalam keadaan damai dengan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama. Islam menyebarkan rasa damai di hati manusia dengan tidak memaksa kebenaran yang diyakini umat lain. Islam lahir dengan toleransi, sikap tasamuh, berlapang dada dengan keyakinan orang lain. Islam yang memiliki ajaran 'laa ikraaha fi diin' itu dianggap sebagai candu yang membahayakan peradaban manusia, sehingga harus dilawan habis- habisan. Sememangnya Islam sangat bertoleransi. Sebagai contoh, ketika baginda diajak golongan kafir untuk saling menukar waktu, tempat dan bergantian menyembah tuhan, baginda menjawab tegas: "Lakum diinukum waliyadiin" (Agama kamu untukmu dan agamaku untukku). Itulah batas dan sempadan bebas bertoleransi, tetapi tetap ada batasnya. Bukannya Islam yang tidak kenal toleransi, tetapi mereka yang pernah hidup bersama Islam yang tidak mahu belajar apa yang Islam hidangkan sepanjang sejarah.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)