• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Istighfar Amalan Kekal Nikmat, Hindar Musibah, Hapus Dosa

SESUNGGUHNYA kehidupan paling bernilai bagi seorang insan bermula dari saat dilantunkan taubat, dijatuhkan butir air mata dan diperah segenap perasaan yang mengaku berdosa. Taubat bukan hanya hak milik sesetengah mereka yang berdosa, kotor dan jelik pada pandangan manusia.

Taubat juga amalan nabi dan rasul, orang salih serta pejuang ilmu yang mengamalkan agamanya dengan segenap pengorbanan. Baginda SAW mengajar umatnya sentiasa berasa diri hina di hadapan Allah walaupun selepas berada pada kemuncak amal yang paling ikhlas.

Sehingga tidaklah lahir pada jiwa orang yang beramal itu rasa suci dan hebat berbanding orang lain. Betapa ramainya orang terseleweng selepas melakukan amal salih, iaitu apabila menganggap diri sempurna dan memandang rendah pada orang lain.

Belitan iblis terlalu halus, ia datang tanpa disedari orang beramal. Untuk itu, Baginda SAW mendidik sahabat supaya membiasakan diri melafazkan istighfar selesai saja mengerjakan sembahyang dan amal salih yang mungkin dicemari riak.

Istighfar yang memerlukan istighfar lainnya, begitulah hakikat apabila berada pada kemuncak ilmu dan amal. Semakin tinggi ilmu dan makrifah seorang hamba kepada Allah semakin jatuh hatinya rebah ke tanah, mengaku tidak mampu memikul amanah dan menyesal atas setiap detik berlalu dalam keadaan bermaksiat kepada Allah dan menganiaya manusia.

Alangkah peliknya, hamba yang tidak mengambil berat mengenai istighfar. Mengapa? Apakah kerana amalnya sudah cukup untuk menghapus kejahatannya, atau hatinya sudah mencapai tahap keikhlasan yang murni?

Apakah ilmu yang dimiliki mampu mendekatkan dirinya kepada Allah? Apakah sudah lahir akhlak mulia di mata manusia sehingga kedudukannya bagaikan permata berkilauan di tengah-tengah mereka?

Sedangkan Nabi SAW dan sahabat yang sudah berada pada tahap ketinggian dan kemuliaan di sisi Allah menyediakan masa, membuat pengakuan taubat pada penghujung malam pada waktu sahur. Tidakkah hamba lalai dan sedikit ilmu itu lebih memerlukan taubat untuk menghidupkan kembali jiwa mereka?

Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa dalam sembahyang malam dengan lafaz yang bermaksud: “Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang malampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Jika kekasih Allah masih menganggap dirinya berdosa, mengapa manusia biasa tidak sudi mengaku hina? Sesungguhnya tangisan taubat umpama air hujan yang menyuburkan tanah, menghasilkan rimbun daun dan lebatnya buah.

Ia menghidupkan jiwa insan yang hampir mati, menggetarkan hati beku oleh maksiat dan membuka jalan bagi mengenali Tuhan. Oleh itu, hanya yang pernah merasai kemanisan taubat memahami hakikat ini.

Mereka tidak pernah jemu membuat pengakuan dalam hati dan lisan setiap kali melakukan suatu perbuatan, mengharap Allah mengampuni apa yang tersilap secara disedari atau tidak. Kemanisan taubat bukan hanya dapat dirasai dalam hati tetapi ia janji Allah bagi mereka yang menepati.

Begitulah khabar daripada al-Quran dan sunnah mengenai keutamaan taubat. Ada tiga kesenangan yang layak dimiliki pencinta taubat. Pertama, dikurniakan kenikmatan berpanjangan. Kemudian terhindar daripada pelbagai musibah dan ketiga, menjadi penghapus dosa.

Adapun dalilnya disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menjadi cahaya bagi orang mencari jalan keselamatan.

Nabi Hud menyeru umatnya untuk kembali kepada Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (secara terus menerus) kepada kamu.” (Surah Hud, ayat 3)

Begitu juga Nabi Nuh yang bersabar selama 950 tahun menasihati umat supaya bertaubat. Al-Quran merakamkan kenyataan Nabi Nuh dengan janji yang turun daripada Allah yang bermaksud: “Maka aku (Nuh) katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu, mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu.” (Surah Nuh ayat, ayat 10-12)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengulas mengenai nikmat dikurniakan Allah kepada orang yang bertaubat, bahawa kenikmatan itu mencakupi jasmani dan rohaninya. Kerana ramai orang yang nampak saja bahagia dengan harta benda tetapi menderita jiwa dan rohaninya.

Sedangkan Allah tidak sesekali menurunkan kesusahan, kecemasan dan penderitaan kepada orang yang mencintai taubat dengan rezeki menggembirakan hati. Oleh itu, sesiapa merasai kesedihan dan suka merungut dengan pemberian Allah hendaklah memperbaharui taubatnya. Boleh jadi tiada keberkatan dalam rezekinya disebabkan dia meninggalkan taubat.

Yang kedua, taubat menjadi benteng melindungi seorang hamba daripada musibah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah tidak sesekali mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah pula Allah akan mengazab mereka sedang mereka meminta ampun.” (Surah Al-Anfal, ayat 33)

Sesungguhnya ada dua jenis musibah dalam kehidupan manusia iaitu musibah yang memberi pengajaran semata-mata untuk mempertingkatkan keimanannya kepada Allah, berlaku kepada orang Islam dan musibah berupa azab yang menutup peluang serta merta kepada orang kafir yang dilaknat.

Walau bagaimanapun, musibah tetap menjadi suatu kenyataan menakutkan bagi orang mukmin dan mereka disuruh berlindung kepada Allah daripada sebarang mudarat yang boleh membahayakan iman.

Hakikatnya, musibah paling dahsyat bagi orang mukmin adalah terhalangnya diri daripada merasai kenikmatan bermunajat kepada Allah. Hal ini pernah diungkapkan melalui luahan jiwa seorang pendeta bani Israil seperti mana disebut dalam kitab Shaydul Khatir.

Ibnul Qayyim mengungkapnya: “Pendeta bani Israil itu berkata: Wahai Tuhanku, betapa aku sering melakukan maksiat kepada-Mu, tetapi mengapa tak kunjung datang azab-Mu menimpa diriku? Didatangkan ilham kepadanya melalui ilmunya: Alangkah besarnya azab Allah kepadamu, tetapi engkau tidak mengetahui hakikatnya. Tidakkah engkau berasa dirimu dihalangi daripada merasai kemanisan beribadat kepada-Nya?”

Untuk itu benteng bagi orang beriman adalah taubat kerana dengan istighfar sesukar apapun musibah yang ditelan ia tidak akan menjejaskan agamanya dan hatinya pun sentiasa diliputi kemanisan iman. Ia adalah janji dan pertolongan Allah kepada pencinta taubat.

Keutamaan taubat yang terakhir, ia menjadi penghapus dosa dan pembuka pintu syurga seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” (Surah Ali Imran, ayat 135-136)

Sesungguhnya sesiapa yang mencari kasih sayang Allah, carilah ia dengan taubat, sesiapa yang menjual dunia untuk mendapatkan akhirat janganlah lupakan taubat, kerana walaupun amal soleh berjaya dikumpulkan tidak mustahil dicemari hasutan syaitan.

Tangisilah dirimu, biarkan syaitan berputus asa. Hakikatnya, tangisanmu itu membuat syaitan menangis juga. Seperti mana dia menangis melihat seorang hamba bersujud kepada Allah, sedangkan dia dulu tidak mahu bersujud.

Penulis ialah Mufti Perlis

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)