• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Istiqamah Dituntut Dalam Islam

Oleh Sharifah Hayaati
Kerja sukar bertambah mudah jika sering dilakukan

PEPATAH Melayu ada menyebut, 'sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit' dan 'alah bisa tegal biasa'. Kedua-dua pepatah ini merujuk kepada melakukan sesuatu yang besar bermula dengan yang kecil secara berterusan dan apabila sudah biasa melakukannya, tiada terasa kesukarannya lagi.

Pepatah ini sangat dalam maknanya dan boleh membawa natijah besar jika dijadikan resam kehidupan. Saya pernah melihat seorang wanita usia 40-an berjalan dengan perlahan dan bertongkat setiap pagi menuju ke pejabat.

Walaupun nampak agak sukar atau barangkali sakit, wanita itu terus melakukan rutinnya setiap pagi. Terdetik di hati betapa kuatnya semangat dan konsisten dia melakukannya sehingga dia boleh berjalan menaiki dan menuruni bukit tanpa lagi bertongkat. Malah langkahnya juga semakin laju.

Banyak lagi contoh kejayaan yang bermula dengan kesusahan dan terhasil daripada usaha sedikit demi sedikit secara berterusan tanpa jemu sama ada dalam bidang pendidikan, perniagaan, politik dan sebagainya. Semua itu perlu dijadikan teladan.

Bait syair Arab yang bermaksud: "Tirulah walaupun jika engkau tidak dapat menjadi sepertinya, kerana meniru kemuliaan atau kebaikan itu suatu kejayaan."

Apa yang perlu ditiru daripada senario ringkas itu ialah ketekunan, kegigihan, iltizam dalam melakukan sesuatu secara berterusan. Gerak laku dan tindakan seseorang boleh berbeza mengikut hajat, keperluan, suasana, budaya dan matlamat masing-masing.

Namun, asas yang sama sebagai pegangan dan prinsip adalah nilainya iaitu disebut sebagai istiqamah yang bermaksud melaksanakan kebaikan secara berterusan, teguh pendirian dan iltizam membabitkan amalan hati, tingkah laku dan gerak geri khususnya keimanan.

Ibn al-Qayyim Al Jauziah menyatakan: "Istiqamah adalah perkataan mencakupi semua aspek dalam agama. Ia adalah berpegang teguh (tidak berubah) kepada keimanan kepada Allah sama ada ucapan, perbuatan mahupun niat."

Banyak ayat al-Quran menyebut perihal istiqamah dalam beriman antaranya firman Allah yang bermaksud: "Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul seperti mana diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum Allah sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan." (Surah Hud, ayat 112).

Perintah ini juga dinyatakan Rasulullah SAW dalam dua perkataan ringkas tapi padat dalam dialognya kepada Abu Sufyan bin Abdullah al-Tsaqafi apabila ditanya dengan berkata: "Ya Rasulullah, katakan kepadaku satu perkataan saja yang aku tidak akan bertanya kepada siapapun selain engkau! Jawab Rasulullah SAW: Katakan, aku beriman kepada Allah, lalu istiqamahlah." (Hadis riwayat Muslim).

Dr Mustafa al-Bugha dalam kitabnya al-Wafi Syarh Arbain al-Nawawi ketika menjelaskan hadis ini menyebut pentingnya istiqamah itu bermula dengan hati, kerana hati adalah landasan dan sikap yang melahirkan istiqamah.

Kata kunci bagi istiqamah adalah berterusan. Kisah perlumbaan kura-kura dan arnab yang menjadi bahan cerita untuk kanak-kanak sangat mudah dibayangkan bagaimana berusaha tanpa putus asa, berterusan tanpa lemah semangat boleh menjanjikan kejayaan.

Walaupun pada logik akal dan penglihatan adalah mustahil kura-kura yang lambat boleh mengalahkan saingannya yang lebih laju.

Kajian juga membuktikan kepandaian seseorang dan pengetahuannya hanya menyumbang tiga peratus kepada kejayaan. Selebih 97 peratus lagi ditentukan sikap dan tindakannya. Oleh itu, tiada yang mustahil dalam mencapai sesuatu kejayaan jika kita mengamalkan nilai ini.

Istiqamah mampu memberikan pulangan positif kepada hati, akal dan gerak laku. Apabila kita terus menerus melakukan kerja baik ia melatih tubi hati untuk bersabar, kuat semangat, sentiasa positif dan yakin kepada hasil yang dicapai.

Bagi akal, istiqamah mampu berfungsi ibarat batu asah menajamkan daya fikiran yang sentiasa digerakkan ke arah pencapaian matlamat, manakala bagi gerak laku fizikal pula, istiqamah menjadikan kerja sukar bertambah mudah dan ringan apabila biasa dilakukan.

Ketiga-tiga hasil inilah yang melahirkan kepakaran dan kemahiran bekerja. Pendek kata, istiqamah mampu menjadikan sesuatu itu sebati dengan jiwa dan raga sehingga menjadi hobi menyeronokkan dan apabila tidak dilakukan pula akan berasa canggung atau bersalah.

Oleh kerana pentingnya istiqamah dalam setiap urusan kehidupan, maka amalan wajib yang diperintahkan kepada umat Islam termasuklah solat, puasa, zakat dan haji, sifatnya juga berterusan.

Justeru, marilah kita bertekad bekerja untuk kebaikan secara istiqamah kerana langkah beribu bermula dari yang satu dan langkah yang satu tidak akan menjadi beribu ke hadapan jika tanpa gerak kaki berterusan.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)