• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Istiqamah Lakukan Kebajikan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Umat islam perlu istiqamah dalam mengerjakan amal kebajikan.

Al-Maraghi berkata: Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut perkara-perkara yang memberi hiburan kepada mereka dan membuat hati mereka bersabar pada saat menghadapi kesengsaraan tersebut.

Di samping itu, Allah SWT menjelaskan betapa kecilnya kesenangan yang diberikan kepada orang kafir di dunia ini serta amat sedikit sekali lagi fana.

Oleh itu, orang yang mempunyai akal yang sihat tidak sepatutnya membandingkan apa yang ada di dunia ini dengan kenikmatan yang abadi di akhirat.

Ayat ke-199

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Sesungguhnya di antara ahli kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.

Sebab nuzul ayat

Ibn al-Jauzi menyebut empat pendapat:

i. Ia diturunkan kepada raja Najashi kerana apabila dia mangkat, Rasulullah SAW solat ke atasnya. Lantas ada yang berkata: Dia solat ke atas orang Kristian sedangkan dia berada di negerinya. Maka turunlah ayat ini seperti yang dinyatakan oleh Jabir bin Abdullah, Ibn Abbas, Anas dan al-Hasan.

ii. Diturunkan kepada orang yang beriman di kalangan ahli kitab daripada Yahudi dan Nasara. Makna ini diriwayatkan oleh Abu Soleh daripada Ibn Abbas dan inilah pendapat Mujahid.

iii. Ayat ini diturunkan kepada Abdullah bin Salam dan rakan-rakannya. Inilah pendapat Ibn Juraiz, Ibn Zaid dan Muqatil.

iv. Diturunkan kepada 40 orang ahli Najran, 30 orang Habsyah, lapan orang Rom yang mereka beriman atas agama Isa dan kemudian beriman dengan Nabi SAW. Inilah pendapat Ata'.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Allah menerangkan daripada nas ini pintu rahmat yang terbuka untuk mereka dengan menyebut penegasan sesungguhnya dan dikuatkan lagi sumpahan selepas daripada ayat tersebut. Ini kerana mereka yang beriman dan mendapat hidayat mempunyai lima sifat:

Pertama: Mereka beriman dengan sedalam-dalam dan seikhlasnya. Iman mereka menghilangkan ego dan kesombongan untuk mencari Tuhan yang sebenarnya.

Kedua: Mereka beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi SAW dan mengetahui bahawa ia adalah Nabi yang terakhir.

Ketiga: Mereka beriman dengan hakikat apa yang diturunkan kepada mereka dan mengetahui pemimpin mereka telah mengubah dan meminda kalam Allah.

Keempat: Khusyuk dan takut kepada Allah SWT.

Kelima: Mereka tidak terkesan sesuatupun daripada dunia untuk menggadai atas ayat Allah yang menjadi tanda dan bukti.

ii. Al-Maraghi berkata, Allah SWT menjelaskan mengenai sifat-sifat mereka yang sepatutnya mendapat kemuliaan dan kehormatan:

lMereka beriman kepada Allah SWT dengan iman yang sebenar-benarnya tanpa dipengaruhi unsur kesyirikan.

lMereka mempercayai kitab suci yang diturunkan kepada umat Islam, iaitu apa yang diwahyukan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

lMereka beriman dengan kitab suci yang diturunkan kepada mereka, iaitu segala wahyu yang diberi oleh Allah SWT kepada nabi mereka.

lKhusyuk. Terhasil melalui keimanan yang benar dan rasa takut kepada Allah SWT melahirkan perasaan yang nyata taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

lMereka tidak menukar ayat-ayat Allah dengan kesenangan dunia.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Difahami oleh ulama dalam erti kesempurnaan ilmu-Nya, dan ada juga yang memahaminya dalam erti kata dekatnya waktu perolehan ganjaran itu.

iv. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini menerangkan tentang sekumpulan ahli kitab yang telah tunduk mengikut petunjuk al-Quran padahal sebelumnya mereka tunduk mengikut petunjuk yang di bawa oleh Nabi mereka.

Ayat ke-200

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Sebab nuzul ayat

Abu Salamah bin Abdul Rahman berkata: Ayat ini diturunkan kepada golongan yang menanti solat selepas selesai solat dan bukan bermaksud peperangan.

Iktibar dan fiqh ayat:

Maksud mereka yang diperintah dengan sabar ada lima pendapat:

Pertama: Bala dan jihad. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a.

Kedua: Agama. Inilah pendapat al-Hassan, al-Qurazi dan al-Zajjaj.

Ketiga: Segala musibah. Inilah pendapat al-Hassan juga.

Keempat: Segala fardu. Inilah pendapat Said bin Jubair.

Kelima: Taat kepada Allah SWT. Inilah pendapat Qatadah.

Adapun maksud dengan diperintahkan supaya menyabarkan diri ada dua pendapat:

Pertama: Musuh. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a dan Jumhur.

Kedua: Janji yang Allah SWT janjikan kepada mereka. Inilah pendapat Ata' dan al-Qurazi.

ii. Al-Maraghi berkata: Bersabarlah kamu menghadapi segala penderitaan dan kesulitan dunia seperti sakit, ditimpa kemelaratan dan ketakutan. Sabar bermaksud tabah menghadapi sesuatu yang tidak berkenaan di hati yang datang daripada orang lain termasuk dalam pengertian ini ialah tabah menghadapi gangguan daripada ahli keluarga dan jiran tetangga serta tidak bersikap dendam terhadap orang yang berbuat tidak baik kepadamu.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Bermacam-macam sabar yang dituntut dari manusia, antaranya:

lBersabar menghadapi perbezaan pendapat atau keimanan.

lBersabar memelihara persatuan dan kesatuan.

lBersabar dalam mengerjakan solat dan berdoa.

lBersabar dalam pelbagai musibah.

iv. Al-Sonhaji berkata: Allah SWT menyeru orang-orang mukmin supaya bersabar di dalam sebarang usaha yang membawa kepada mentaati Allah dan melaksanakan kewajipannya.

Semoga Allah SWT memberi taufik kepada kita untuk mengerjakan amalan yang diredai-Nya sehingga kita mampu memperoleh kebahagiaan di dunia serta di akhirat dan berkata kemurahan-Nya, kebaikan-Nya, kurniaan-Nya dan dermawan-Nya.

Semoga ucapan salam sejahtera selalu diberikan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda dan semua para sahabat baginda.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)