• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Jangan Pandang Serong Rtk

Oleh ZUARIDA MOHYIN

MELIHAT kelincahan anak-anak comel dan ukhuwah ibu-ibu tunggal di Rumah Perlindungan Titian Kasih (RTK), Lorong Maran, Jalan Kuantan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, tiada hati yang tidak akan tersentuh. Sayu dan hiba bagaikan bersatu rapi.

Apa lagi, kedatangan penulis disambut ramah pengasasnya yang mesra dengan panggilan Mak Pah. Bahkan, anak-anak di situ seperti sudah lali dengan kehadiran tetamu. Sambil mulut kecilnya pelat berceloteh, sempat juga tangan kecil itu menyambut huluran tangan, lantas mencium tanda hormat.

Katanya, beginilah budak-budak di sini, mereka cukup seronok bila orang ramai-ramai datang. Mungkin pada usia sekecil mereka, apa yang difahami, ada orang, adalah sumbangan. Di sini , kalau bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan, rezekinya alhamdulillah.

"Kalau raya lagi lah meriah. Kalau Zuarida hendak tahu konsep RTK ia bukannya rumah atau asrama untuk golongan tertentu sahaja tetapi kami di sini adalah sebuah keluarga kerana ia berkonsep shelter home atau rumah perlindungan. Jadi, di sini kami ada anak-anak yatim, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal.

"Sebab itulah, kalau tiba musim cuti persekolahan atau perayaan, kalau di rumah anak yatim senarionya kosong, sunyi sepi tetapi di RTK ni, semua yang sudah berdikari, belajar di kolej atau yang tinggal di asrama anak yatim, ibu tunggal yang sudah bekerja, akan balik dan berkampung di rumah ini," ujarnya kemeriahan Syawal terpancar apabila melihat semangat gotong-royong mengemas rumah dan menyediakan juadah pada malam raya.

Malah tambah ibu tunggal beranak tiga ini, Sharifah Adlan, suasana paling menyentuh ialah bila melihat semua mereka menyarungkan pakaian hari raya daripada kayu yang sama. Malah setiap tahun mereka muncul dengan tema warna yang berbeza-beza.

Bagi Mak Pah kegembiraan penghuni di situ juga merupakan kegembiraan tidak terhingga buat beliau. Statusnya yang bergelar ibu tunggal serta pergaulan wanita berhati kental ini dengan golongan senasib, akui Mak Pah telah mengembalikan semula keyakinan dan kesyukuran beliau bahawa nasibnya tidaklah semalang ibu-ibu tunggal yang lain.

"Awal-awal dulu iaitu sebaik ditinggalkan suami tidak bertali, Mak Pah merasakan dunia ini sudah berakhir. Ditambah pula terpaksa menjaga anak-anak yang masih kecil dan tidak memahami erti kehidupan," katanya.

Namun semua yang negatif ini hilang, bila Mak Pah lihat ada lagi yang nasib mereka jauh lebih mencabar. Sekurang-kurangnya, Mak Pah dan anak-anak sihat dan masih kuat untuk berusaha mencari nafkah halal untuk menyara kami anak-beranak.

Bermula dari saat itu, Mak Pah bersama enam ibu tunggal dengan 14 orang anak berganding bahu membina sebuah kehidupan yang lebih baik dan sederhana.

"Dengan kelebihan memasak, Mak Pah membuat kuih-muih untuk dijual dari rumah ke rumah serta turut menerima tempahan menyediakan laksa dan makanan berat yang lain untuk jiran-jiran berdekatan," akui Pah yang pada masa itu tinggal di Gombak sekitar tahun 1998.

Pada tahun 1999, awan mendung yang mengikuti Mak Pah dan ibu-ibu tunggal yang lain mula berarak pergi. Keperitan mereka mendapat perhatian ahli politik yang berjiwa mulia dengan menyediakan sebuah penempatan yang diduduki sehinggalah sekarang.

Bantuan bayaran sewa yang dipersetujui selama dua tahun telah disambung selama lima tahun.

Malah keluarga kecil ini dalam tempoh 11 tahun ini tidak terlepas daripada merasai pelbagai arus perubahan dan badai.

Alhamdulillah sehingga kini RTK telah memayungi lebih 60 kanak-kanak, 14 OKU, tiga warga emas dan 17 ibu tunggal. Lebih membanggakan mereka tanpa kenal putus asa, berusaha meneruskan kelangsungan RTK dengan cara yang bermaruah, beretika dan paling penting berlandaskan Islam.

"Hendak kata susah sehingga tidak dapat makan tidak juga, hendak kata tak ada bantuan, bohonglah tu. Tapi inilah dia yang dikatakan rezeki anak-anak. Selagi kita berdoa, berusaha, dan bertawakal, Kak Pah yakin Allah sentiasa lorongkan dan permudahkan jalan," jelasnya.

Kepuasan Mak Pah selama 11 tahun ini dirasa, apabila melihat penghuninya berjaya dengan 'hijrah' masing-masing.

Ini bermaksud, anak-anak di sini berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran, berubah sikap daripada nakal dan tidak berdisiplin kepada kematangan, daripada terbiar dan teraniaya sebelum ini, kini sudah mendapat perlindungan.

Ibu-ibu tunggal yang tidak tahu jana pendapatan, sekarang ini sudah mampu berdikari malah ada juga yang telah berjaya menyumbang wang dan tenaga kepada RTK.

"Seperkara lagi, Mak Pah tidak dapat elak sekiranya ada orang yang menyimpan perasaan hasad dengki. Mak Pah lebih suka kalau mereka yang timbul kesangsian itu bertemu terus dengan Mak Pah di teratak RTK, supaya dapat melihat sendiri keadaan kami di sini.

"Jangan suka dengar-dengar daripada orang, lebih baik tengok dan saksikan dengan mata kepada sendiri," ujar Mak Pah yang amat mengalu-alukan mana-mana pihak agar mendapatkan produk-produk keluaran RTK demi menjana pendapatan, seterusnya memastikan kelangsungan hidup.

Keyakinan bahawa di sebalik kesukaran pasti ada kebaikan seperti yang dinyatakan dalam surah As-Isyirah ayat lima yang bermaksud: Sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan yang menjadi tunggak kepada kejayaan Mak Pah khasnya dan penghuni-penghuni RTK, amnya.

Malah akui Mak Pah, selagi beliau masih bernyawa dan dikurniakan Allah SWT dengan kesihatan yang sihat, kerja-kerja pembelaan ini akan diteruskan, waima cabaran dan dugaan membadai. Istilah putus asa dan menyerah sebelum mencuba tidak ada langsung dalam diari peribadi beliau.

Akui Mak Pah lagi, apa yang dimulakan dahulu nawaitunya itu tetap sama iaitu mencari keredaan Allah dan tidak sanggup melihat orang lain menderita. Oleh sebab itulah, beliau hanya akan menerima kes-kes yang dirujuk dari mahkamah, hospital dan pejabat agama.

Mak Pah yang berpengalaman sebagai seorang bidan sebelum bertukar kerjaya sebagai pembantu di pusat hemodialisis, menyebabkan beliau mengenali ramai insan-insan yang teraniaya terutamanya kaum wanita yang menjadi mangsa dera suami, anak-anak yang menjadi mangsa seks bapa atau saudara lelaki dan banyak lagi.

"Mak Pah tidak sampai hati bila lihat wanita mangsa dera. Lukanya bukannya sikit-sikit, bayangkanlah ada sehingga cedera teruk dan yang paling menyentuh hati Mak Pah ialah sehingga mengalami penyakit mental.

"Insan beginilah yang perlu dibantu dan sayangnya ada di antara kita tidak peka dengan nasib insan lain dan lebih bersikap mementingkan diri sendiri.

"Entahlah mungkin Mak Pah telah didik sedemikian rupa iaitu suka mengambil berat nasib segelintir individu yang memerlukan bantuan dan serba kekurangan," jelasnya lagi.

Dibesarkan oleh ibu yang menjadi bidan kampung menyebabkan Mak Pah terbiasa dengan kesanggupan dan keikhlasan ibu membantu, sungguhpun bukan atas tiket menyambut kelahiran orang baru.

"Malah apabila mengendali dan menguruskan RTK pun, Mak Pah tidak sekali-kali menggunakan penghuni kanak-kanak sebagai memancing bantuan orang ramai.

"Mak Pah tidak menafikan ada segelintir pengendali rumah-rumah anak-anak yatim yang melakukan kaedah sedemikian. Malah Mak Pah pernah membuat laporan polis, bila mengetahui orang menyalahgunakan usaha Mak Pah unuk kepentingan mereka," tegas Mak Pah yang memilih pendekatan perniagaan sebagai cabang untuk menampung perbelanjaan.

Sehingga akhir bicara kami tengah hari itu, penulis tidak dapat bayangkan kekuatan mental dan fizikal Mak Pah dalam mengharungi pelbagai onak berliku, biarpun apa yang dilakukan itu terang-terangan tidak menyalahi undang-undang Allah dan undang-undang pemerintah.

Pun begitu, pengakuan Mak Pah yang kekurangan dari segi kerja-kerja perkeranian menjadi salah satu penyebab bagaimana segelintir individu atau pihak yang pandai mengambil kesempatan dan tidak amanah menyalahgunakan niat dan kerja suci beliau itu.

Malah sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Orang-orang yang berjalan untuk membantu ibu tunggal dan orang miskin, nescaya mereka akan mendapat pahala seperti mana orang yang berjuang di jalan Allah. Atau seperti orang yang mendirikan ibadat (solat) pada malam hari dan yang berpuasa pada siang hari, wajar dijadikan renungan setiap manusia Muslim.

Hakikatnya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Jika anda ingin mendekati serta membantu mereka, bolehlah berkunjung terus ke alamat RTK, 62A-2, Lorong Maran, Jalan Kuantan, Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-40235769 atau 019-6455769.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)