• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Jangan Penuhi Masjid Pada Ramadan Saja

ADAKAH memakmurkan masjid dalam ayat di atas hanya bermaksud ibadat khusus seperti solat dan puasa?

AMINI: Terdapat dua konotasi pengimarahan masjid. Pertama, masjid sentiasa dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti pengisian. Kedua, masjid sebagai tempat peribadatan khusus.

Masjid memerlukan anjakan paradigma beralih daripada fungsi tradisionalnya sebagai pusat ibadah khusus semata-mata. Masjid boleh diimarahkan dengan adanya komitmen masyarakat setempat dan para jemaah.

Ini secara tidak langsung meninggikan imej masjid dan martabat umat Islam kerana rumah ibadat orang Islam sentiasa dikunjungi dan dimakmurkan.

Pengimarahan masjid perlu dipelbagaikan. Umat Islam perlu menggunakan setiap potensi yang ada pada masjid untuk meningkatkan kekuatan ekonomi umat Islam. Pengoptimuman potensi masjid perlu disemarakkan pada zaman ini memandangkan ia merupakan wadah yang berkesan dalam ruang waktu yang ada.

Penumpuan aktiviti masjid kepada ibadah khusus dan ibadah umum perlu lebih seimbang dan tidak tertumpu kepada ibadah khusus semata-mata.

Masjid dapat digunakan sebagai wadah meningkatkan kefahaman umat tentang perpaduan dan kesatuan, kepentingan pendidikan dan pemartabatan akal, keperluan keutuhan ekonomi umat Islam dan tempat penyaluran dana infak, sedekah, zakat, bantuan dan wakaf serta seumpamanya. Masjid juga adalah tempat penyebaran ilmu pengetahuan.

Masjid adalah yang pertama dibina oleh Rasulullah SAW selepas berhijrah. Apakah falsafah yang tersirat di dalamnya?

AMINI: Masjid adalah rumah Allah, tempat suci, tempat beribadat umat orang Islam dan di antara institusi pertama yang ditubuhkan dalam Islam. Masjid Nabawi di samping pusat aktiviti ibadah khusus, pernah menjadi institusi pendidikan percuma, penginapan dan mempunyai kemudahan persinggahan untuk pengembara. Baginda SAW memberikan ajaran-ajaran Islam kepada golongan Muhajirin dan Ansar di samping masjid juga digunakan sebagai tempat mengajar menulis dan membaca.

Masjid adalah di antara tempat pertama Rasulullah SAW menyatukan orang mukmin di bawah satu kesatuan pemikiran berlandaskan Islam. Maka masjid adalah tempat perkumpulan umum dan permesyuaratan. Masjid bukan sahaja bertindak sebagai tempat peribadatan khusus bahkan aktiviti kemasjidan adalah merupakan aktiviti Islam sendiri yang melengkapi segenap bidang agama, politik, sosial, pembangunan komuniti, perdagangan dan kemasyarakatan.

Orang yang berniat iktikaf dalam masjid akan memperolehi ganjaran pahala daripada Allah SWT. Balasan pahala dan syurga juga diberi kepada mereka pergi ke masjid dengan niat beribadat.

Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang pergi ke masjid pada waktu pagi dan petang, Allah akan sediakan baginya tempat dalam syurga setiap kali beliau berkunjung pada waktu pagi dan petang. (riwayat Bukhari)

Bagaimana hendak menukar minda masyarakat bahawa masjid yang disebut sebagai rumah Allah itu mempunyai daya penarik seolah-olah sentiasa mengalu-alukan pelanggannya?

AMINI: Masjid adalah tempat tumpuan semua umat Islam. Bagi Muslim sejati, masjid dikunjungi setiap kali solat fardu. Maka, masjid sebagai tempat suci dan ibadah perlu mengubah identiti sebagai pusat ibadah khusus sahaja. Dalam era globalisasi ini, masjid sebenarnya boleh diimarahkan dengan lebih berkesan.

Malangnya, masjid selalunya kelihatan lengang ketika waktu bersolat kecuali di bulan Ramadan. Kebiasaannya yang mengimarahkan masjid itu terdiri daripada golongan veteran dan sudah berumur. Masjid juga kebiasaannya tidak melebihi dua saf kecuali ketika solat Jumaat.

Makin parah, ketika solat Subuh, jemaah boleh dihitung dengan jari. Kalau waktu Zuhur dan Asar ketika hari bekerja, para pekerja akan bersolat di surau pejabat masing-masing.

Para Ahli Jawatankuasa masjid boleh memain peranan lebih mengimarahkan masjid. Untuk tujuan itu, kita perlukan penambahbaikan keseluruhan organisasi masjid. Antaranya:

1. Kepemimpinan masjid perlu diwakili sekurangnya-kurangnya seorang yang berkelayakan dan mempunyai idea-idea bernas yang boleh dipraktikkan oleh semua.

2. Menubuhkan Biro Pengimarahan Masjid untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan masjid.

3. Menubuhkan Jawatankuasa Pemantau dan Penilai aktiviti pengimarahan masjid untuk mengesan kepincangan dan kelemahan seterusnya melakukan tindakan pembetulan, penambahbaikan dan tindakan pencegahan.

4. Menyediakan prasarana, infrastruktur dan kemudahan di masjid dengan lebih menarik dan mesra-jemaah untuk penggalakkan aktiviti pengimarahan masjid.

5. Aktiviti pengimarahan masjid perlu diperbanyakkan dan lebih berfokus agar berlaku peningkatan jemaah sekali gus memeriahkan masjid.

6. Mempelbagaikan aktiviti pengimarahan masjid untuk menarik minat para remaja, belia dan golongan muda agar mendekati masjid.

7. Menjalin hubungan dan jaringan dengan agensi-agensi kerajaan dan badan berkanun serta NGO untuk sebarang aktiviti pengimarahan masjid sama ada dari sudut pengimarahan ataupun penajaan dan penganjuran bersama.

8. Memberi sokongan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk sebarang aktiviti pengimarahan masjid.

Masjid juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti pendidikan untuk memantapkan modal insan, pembangunan sosial, menyemarakkan semangat keusahawanan, pengumpulan dana infak dan wakaf untuk membasmi kemiskinan sama ada di peringkat kampung, daerah, wilayah dan negeri.

Masjid dapat merealisasikan agama Islam sebagai agama kesejahteraan dan keharmonian sejagat tanpa mengira darjat, keturunan dan status.

Usaha pengimarahan masjid melibatkan banyak perkara seperti aktiviti kerohanian, keagamaan, pembangunan sahsiah, kecemerlangan akademik komuniti serta pembangunan dan kemajuan agama dan masyarakat Islam setempat.

Masjid juga seharusnya dipergunakan untuk kemajuan sosial, komuniti, masyarakat dan ekonomi ummah. Imej masjid mestilah sentiasa dipelihara secara bersistematik. Inisiatif dan kreativiti diperlukan dalam menjana usaha pengimarahan masjid. Pengurusan dana dan tabung secara profesional, telus, cekap dan berintegriti agar dapat memantapkan kekuatan ekonomi ummah dan mengelakkan pergantungan kepada pihak yang tidak berkaitan.

Masjid perlu secara kolektif bersama-sama masyarakat setempat mengamalkan konsep satu masjid satu produk secara strategic alliance dengan agensi kerajaan. Bantuan agensi-agensi kerajaan lain perlu dilakukan untuk khidmat nasihat, bantuan kewangan dan seumpamanya.

Pihak berkuasa perlu mengadakan kempen besar-besaran seperti 'Cinta Masjid', 'Jom ke Masjid' dan 'Sayang Masjid' untuk menggalakkan kehadiran beramai-ramai ke masjid dengan kerjasama media cetak dan media elektronik.

Lebih malang jika masjid bertukar menjadi tempat menyebar permusuhan dan adu domba. Apakah amaran Allah kepada golongan yang begini?

AMINI: Allah SWT telah memperingatkan kita tentang strategi orang munafik yang mengeksploitasi masjid untuk memporak-perandakan perpaduan umat Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri), serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: "Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata. Pada hal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. (al-Taubah: 107)

Masjid adalah tempat penyatuan masyarakat bukannya perbalahan dan perpecahan. Jalinan kesatuan dan solidariti adalah tanggungjawab bersama anggota masyarakat yang mengukuhkan hubungan silaturrahim dan setiakawan.

Di masjid jugalah persaudaraan tanpa mengenal usia dapat dijalin dengan berkesan. Perpaduan yang dijalin adalah kerana ia perintah Allah SWT. Sikap tolong menolong dapat mengeratkan hubungan ukhuwah sesama Islam. Budi yang ditabur akan dikenang orang dan mendapat imbuhan daripada Allah SWT.

Masjid harus dihindari daripada menjadi tempat menabur fitnah, dakyah dan kata nista. Masjid adalah tempat mulia.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)