• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Jangan Percaya Bulat-bulat

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

SETIAP amalan terpuji di bulan Ramadan akan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda daripada Allah.

Semestinya umat Islam tidak mahu melepaskan bulan penuh keberkatan dan keampunan ini untuk meningkatkan amal ibadat masing-masing.

Yang pasti, kelainan dan kemeriahan Ramadan adalah waktu malamnya yang tidak sama dengan bulan lain kerana mempunyai solat tarawih.

Rasulullah juga menuntut umatnya untuk memakmurkan setiap malam sepanjang Ramadan dengan ibadat qiamullail dan solat tarawih.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun (qiamullail) pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, diampunkan baginya dosa-dosa terdahulu.”

Kemeriahan memakmurkan masjid atau surau perlu diteruskan sama ada awal atau akhirnya. Ibadat lain yang dituntut dalam bulan Ramadan ialah solat tahajud, membaca al-Quran dan meng­khatam sebanyak mungkin.

Qiamullail dalam bulan Ramadan diberi maksud mengerjakan solat tarawih secara berjemaah.

Jika sebelum ini, ramai sibuk dengan jadual yang padat, inilah masa untuk memberi ‘ruang’ melaksanakan solat tarawih secara berjemaah.

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah menunaikan solat tarawih di masjid kemudian diikuti beberapa orang bersamanya. Baginda bersolat lagi dan orang yang solat bersamanya semakin bertambah ramai.

Seterusnya orang ramai berhimpun pada malam ketiga dan keempat tetapi Rasulullah tidak keluar untuk solat tarawih bersama mereka.

Apabila tiba waktu subuh, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu lakukan. Tiada yang menghalang aku keluar kepada kamu selain kerana aku takut ia difardukan ke atas kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitu juga halnya ketika zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar al-Khattab, umat Islam pada peringkat awal mengerjakan solat tarawih secara bersendirian.
Umar al-Khattab memerintahkan mereka mengerjakan secara berjemaah dan melantik Ubai bin Kaab sebagai imam.

Kelebilah bertarawih secara berjemaah seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Seseorang lelaki yang bersolat (tarawih) bersama imam sehingga imam itu pulang (selesai mengerjakan solat), ia dikira bangun (beribadat) keseluruhan malam.”

Namun, setiap Ramadan ramai pasti menerima e-mel atau SMS mengenai fadilat atau kelebihan solat tarawih yang berlainan sepanjang 30 malam.

Ia menjadi hadis popular di bulan Ramadan. Hadis itu berbunyi, diriwayatkan daripada Saidina Ali bahawa Rasulullah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadan.

Antaranya, pada malam pertama: Akan terhapus dosa orang mukmin seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan daripada Allah).

Malam keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.

Malam keenam: Allah kurniakan pahala malaikat yang tawaf di Baitul-Ma’mur (seba­nyak 70,000 malaikat sekali tawaf), serta setiap batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa orang yang mengerjakan solat tarawih malam itu.

Malam ketujuh: Kelebihan seolah-olah dapat bertemu serta menolong Nabi Musa menentang Firaun dan Haman.

Malam kelapan: Allah mengur­niakan pahala orang solat tarawih seperti yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim.

Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad dan kelebihan lain sehingga sampai malam yang ke-30.

Hadis itu yang menyatakan kelebihan solat tarawih dikatakan palsu dan tidak pernah ditemui dalam Sunnan Sittah (himpunan dalam kitab hadis oleh enam ulama hadis masyhur) dan kitab Muwatta’ karangan Imam Malik.

Hadis ini juga dianggap palsu kerana tidak mempunyai sumber yang muktabar.

Terdapat hadis sahih berkenaan solat tarawih iaitu: Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersab­da yang bermaksud: “Sesiapa yang menghayati (beribadat) malam lailatulqadar dengan iman dan mengharap­kan pahala nescaya diampuni semua dosanya.” (Hadis riwayat al-Nasa’i).

Selain itu, sebuah lagi hadis daripada Said Musay­yap, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa beribadat (solat tarawih) di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala nescaya diampuni dosa yang terdahulu.” (Hadis riwayat al-Nasa’i).

Pendakwah yang pernah berkhidmat di unit dakwah Kedutaan Arab Saudi, Dr Abdullah Yasin, berkata hal berkaitan fadilat atau kelebihan tertentu adalah urusan Allah.

“Ia adalah sesuatu yang ghaib dan hanya dalam ilmu Allah dan Rasul. Tiada hadis Rasulullah berkaitan kelebihan itu.

“Ia bukan perkara baru dan jika anda menerima SMS atau e-mel mengenai kelebihan atau fadilat solat tarawih, abaikan saja,” katanya.

Cuma, katanya tarawih pada 10 malam terakhir saja dinyatakan kelebihannya dan umat Islam perlu merebut peluang itu.

“Malam itu adalah lailatulqadar yang mempunyai keistimewaan dan keberkatan. Allah menjanjikan pengampunan kepada hamba-Nya yang menghidupkan malam itu dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan.

“Umat Islam perlu berwaspada dengan maklumat yang mereka terima, jangan percaya bulat-bulat. Jika keliru atau ragu-ragu, rujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang agama,” katanya.

Beliau berkata apa saja yang berkaitan dengan agama, ganjaran, seksaan dalam Islam adalah hak mutlak Allah.

“Jika mahu menggalakkan umat islam rajin bersolat tarawih, berikan sumber hadis sahih yang diambil dari kitab muktabar.

“Sebenarnya tidak salah kita mengharapkan ganjaran Allah, cuma dibimbangkan jika tiada hubungan dengan hadis Nabi atau al-Quran, ia boleh mengelirukan.
“Saya bimbang jika ada umat Islam yang bersungguh-sungguh mempercayainya, ia boleh membawa kepada tergelincir akidah,” katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)