• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Jangan Perjuangkan Islam Seperti Ideologi

Selama ini cara kita memperjuangkan hukum ALLAH lebih bersifat politik. Yakni mengajak orang menegakkan Islam bukan atas dasar patuh dan taat, tapi kerana kuasa atau kerana hendak membaiki masyarakat. Tidak atas dasar kenal, cinta dan takutkan Allah. Bila kita memperjuangkan Islam atas dasar kenal, cinta dan takutkan Allah, akan tercetuslah segala kebaikan dalam masyarakat tanpa dikawal oleh akta, undang-undang, polisi atau penjara. Masyarakat taat dan takut pada ALLAH. ALLAH yang pengawasannya setiap detik, di mana sahaja dan bila-bila masa sahaja, yang azab-Nya bukan saja di dunia tapi sampai ke Akhirat. Jadilah masyarakatnya, masyarakat yang baik. Kebaikan yang lahir dari hati yang rela, bukan terpaksa. Maksiat hampir-hampir tiada.

Dari sinilah iman mampu mengubah seseorang dari jahat kepada baik. Dari berbuat maksiat kepada beramal soleh kerana taat dan patuh kepada ALLAH. Dari tidak solat kepada solat. Bukan kerana solat itu bagus untuk kesihatan tapi kerana ia perintah ALLAH. Dari tidak tutup aurat kepada tutup aurat dengan rela. Bukan kerana tutup aurat itu menjamin keselamatan tapi kerana ia suruhan ALLAH yang wajib dibuat karena ALLAH. Dari menjadi pengikut nafsu dan syaitan kepada hidup mengikut Sunnah dalam seluruh aspek kehidupan semata-mata kerana ALLAH. Orang yang sanggup susah di dunia kerana ingin senang di Akhirat; juga kerana ALLAH. Orang yang berani menegakkan amar makruf ketika orang-orang lain melakukan mungkar. Dia berani bercakap benar sekalipun di depan raja yang zalim. Sebab dia hanya takut ALLAH yang sangat keras azab-Nya hingga azab-Nya itu layak ditakuti.




Keadaan ini tidak akan terjadi kalau hati tidak kuat. Iman yang lemah tidak mampu untuk mendesak seseorang tidak melakukan hal-hal yang sangat diingini oleh nafsu atau meninggalkan hal yang dibenci oleh nafsu. Maka iman yang kental dan padu mesti diperjuangkan sungguh-sungguh supaya benar-benar mengisi hati umat. Barulah kemudian mereka akan mampu menegakkan hukum-hukum ALLAH dari yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya yakni Islam yang syumul (kaffah) itu. Maka jadilah negara dan masyarakat Islam itu negara yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH.

Firman ALLAH, terjemahannya:
"Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan dan ALLAH." (Saba`: 15)

Tapi hari ini, perjuangan Islam tidak di awalkan dengan memperjuangkan iman. Kalau ada pun, iman yang diperjuangkan ialah taraf iman ilmu yang mana dengan iman itu manusia belum mampu untuk melawan hawa nafsu hingga masih melakukan banyak maksiat dan dosa yang terlepas dari undang-undang atau kawalan polis. Padahal iman yang selamat yakni yang dapat menyelamatkan manusia dari melakukan dosa dan dari pada api Neraka ialah peringkat iman ayan, yakni iman orang soleh yang dimiliki oleh para salafussoleh.

Tapi hari ini orang yang memiliki iman ayan ini dapat dihitung dengan jari. Kerana iman ini tidak diperjuangkan oleh para pejuang dan pengikut Perjuangan Islam. Para pejuang Islam tidak memberi tumpuan kepada iman sebagai asas tertegaknya hukum-hukum ALLAH. Mereka cuma perjuangkan peraturan dan hukum saja. Lantaran itu, jadilah teknik perjuangan mereka itu sama seperti apa yang dilakukan oleh pejuang-pejuang ideologi yang antara sifat-sifatnya ialah:

1. Undang-undang atau peraturan hidup yang mahu mereka tegakkan dalam masyarakat, bukan berasaskan iman dan keyakinan pada Hari Akhirat; yakni bukan kerana taat dan patuh pada ALLAH. Mereka menganjurkannya atas dasar semangat ideologi, semata-mata semangat untuk membaiki masyarakat. Bila ada ujian besar atau permintaan pengorbanan yang tinggi, semangat akan jadi tawar dan mereka tidak akan bertanggung jawab lagi atas tugas perjuangan itu.

2. Dalam mengajak rakyat melakukan sesuatu atau mengajak mereka meninggalkan satu perkara yang tidak disukai adalah atas dasar mematuhi undang-undang dan akta, bukannya atas dasar cinta atau takut ALLAH. Semangat tidak cukup kuat untuk menghadapi ujian dan untuk dorongan berkorban. Maka kerana itu kemahuan untuk patuh pada peraturan tidak kekal. Yang akibatnya undang-undang ditinggalkan orang.

3. Untuk mencegah orang dari melakukan kejahatan atau mengawal mereka agar tidak melakukannya, pejuang ideologi menakutkan rakyat dengan hukuman penjara, denda atau bunuh. Jika rakyat merasa dapat lepas dari hukuman-hukuman itu, maka beranilah ia melakukan kejahatan. Hal ini banyak terjadi sehingga kejahatan bukannya berkurang tapi kian menjadi-jadi. Kerana takut pada penjara, denda atau hukum bunuh, tidak mutlak, yakni masih ada ruang untuk manusia merasa lepas dan selamat.

4. Oleh kerana dasar mereka mahu mencorakkan masyarakat bukan dengan iman tapi dengan semangat dan ancaman, maka tentunya mereka memerlukan kuasa politik. Sebab itu pejuang ideologi mewajibkan urusan mendapat kuasa memerintah negara sebagai syarat untuk tertegaknya undang-undang ideologi mereka itu.




5. Satu kesilapan besar yang dibuat oleh pejuang-pejuang ideologi ialah, dalam memperjuangkan kebenaran yang dilaung-laungkan, mereka mengabaikan kebenaran yang selainnya. Katalah mereka melaungkan keadilan sebagai tema perjuangan. Maka dalam pergelutan menegakkan keadilan di satu sudut mereka membenarkan penipuan, pembohongan, penindasan, penzaliman, membeli pengaruh, fitnah dan mengata-ngata. Ini dapat kita saksikan dalam masyarakat mereka, masing-masing cuba menjatuhkan lawan dengan segala macam tipu muslihat dan akhlak liar.

6. Walaupun kononnya ideologi mereka bersifat universal, tidak terbatas pada batas geografi, bahasa dan bangsa tetapi realitinya perjuangan ideologi banyak terikat dengan suasana negara tempat ia diperjuangkan. Hingga tumbuhlah perasaan fanatik kebangsaan di kalangan rakyat. Yang hasilnya kita lihat negara komunis bergaduh dengan negara komunis yang lain. Negara sosialis bergaduh dengan negara sosialis, dan begitu juga negara kapitalis bergaduh sesamanya.

7. Hasil perjuangan ideologi kita dapat saksikan dalam negara-negara mereka keadaan masyarakat yang tidak pernah aman damai, rakyatnya berakhlak buruk dan krisis tidak pernah selesai bahkan bertambah kusut .

Demikianlah halnya bila melakukan kebaikan atau meninggalkan kejahatan didorong bukan dengan iman yakni bukan dengan rasa taat dan patuh pada ALLAH. la tidak dapat menjadi akhlak individu masyarakat. la seolah-olah terpaksa. Maka dalam keadaan yang tidak terpaksa, orang akan mengabaikannya. Lalu terjadilah orang yang sama kelihatan baik di satu tempat tapi tidak baik di tempat yang lain.



Hal ini tidak akan terjadi kalau kebaikan dilakukan dan kejahatan ditinggalkan dengan kekuatan iman, yakni atas dasar cinta atau takut pada ALLAH. Sebab, bila orang berbuat sesuatu kerana ALLAH yang diyakini senantiasa mengetahui hal dirinya di mana sahaja dan bila-bila masa sahaja, maka dia dapat mendisiplinkan dirinya dengan segala peraturan yang baik dan meninggalkan yang jahat. Mereka tidak mencuri bukan karena takut dipotong tangan tapi kerana takutkan ALLAH. Mereka tidak berzina bukan kerana takut direjam, tapi kerana takutkan ALLAH. Mereka tidak berbuat sebarang kejahatan bukan kerana takutkan hukuman tapi takutkan ALLAH. Sekalipun peluang untuk berbuat jahat itu terbuka luas, dalam keadaan yang tersembunyi, tiada manusia yang tahu dan tentunya akan selamat dari hukuman manusia di dunia, namun mereka tetap tidak melakukannya kerana taat dan patuh pada hukuman ALLAH.

Bagi ALLAH tidak ada sesuatu yang tersembunyi sekalipun desir gerak semut hitam di batu licin pada malam yang gelap-gelita. Lalu orang beriman, walau dalam keadaan apa pun, tetap tidak melakukan dosa kecil apalagi dosa besar. Tapi jika tidak beriman atau iman lemah, manusia akan mencuri atau rasuah kalau terdesak atau kalau dirasakannya selamat. Manusia akan berzina kalau peluang terbuka luas dan selamat dari pengetahuan manusia yang lain. Demikian seterusnya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)