• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Jangan Taksub, Guna Pendekatan Khilaf

Tazkirah Remaja: Jangan taksub, guna pendekatan khilaf
Bersama Mohd Zawawi Yusoh

RAMBUT sama hitam, tetapi hati berlainan. Itulah bidalan peninggalan orang lama. Memang kita tidak dapat mengelak berbeza pendapat.

Orang pandai berbeza pendapat jika isu yang dibangkitkan bersifat zhonni atau menerima perbezaan takwilan serta pandangan dalam keadaan yang baik. Mereka tidak pernah menjadikan perbezaan itu asas permusuhan.

Allah SWT berkuasa menjadikan manusia bersepakat di atas satu agama dan sependapat, tetapi Allah sengaja tidak berbuat demikian.

Memang menjadi fitrah manusia untuk saling berbeza pendapat, tetapi mereka perlu berlapang dada.

Ada berpendapat perbezaan dalam kalangan ulama tidak sepatutnya berlaku kerana nas al-Quran dan Sunnah sudah ada. Justeru, mengapa masih bertelingkah?

Pemikiran sebegini timbul kerana mereka kurang faham mengenai sebab khilaf di kalangan ulama.

Sifat ta'ssub (fanatik) dan berkelompok dengan satu pandangan perlu dihindari.

Ia boleh dielakkan jika ditangani dengan adab berkhilaf, antaranya:

1- Tidak memaksa orang lain mengikut pendapatnya semata-mata selagi perselisihan itu di tahap 'al-mukhtalaffih'.

Tiada imam yang mengaku pendapatnya ialah wahyu. Malah, tiada sesiapa mendakwa orang yang tidak berpegang dengan pendapatnya melakukan maksiat.

Sesungguhnya mereka hanya berijtihad mencari kebenaran dan ijtihad mereka terbina di atas dalil yang bersifat zhonni. Adapun yang qot'ie (jelas), tiada khilaf sesama mereka.

Disebut dalam Tarjamah Imam Malik rahimahullah, bahawa Abu Jaafar Al-Mansur pernah bercadang menjadikan kitab Muwatto' karangan Imam Malik rahimahullah sebagai rujukan lalu mengabaikan ijtihad dan pendapat lain.

Maka, Imam Malik menolak cadangan itu.

2- Tidak mengingkari pihak yang berlainan pendapat dengannya: Tidak melemparkan tuduhan bidaah atau sesat kepada orang yang tidak sependapat dengannya.

Imam Al-Ghazali menyamakan masalah khilaf di kalangan ulama dengan masalah dua orang musafir yang berijtihad dalam masalah arah kiblat dan ijtihad mereka berbeza.

Maka, kedua-duanya berhak solat ke arah kiblat yang disangka berdasarkan zhon mereka dan hendaklah menyekat diri daripada mengingkari temannya.

Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie pernah solat di belakang imam mazhab Maliki di Madinah padahal golongan itu tidak membaca bismillah (dalam al-Fatihah) secara perlahan atau kuat.

Namun, hari ini kita sentiasa mendengar kalimah seperti bidaah, sesat, Wahabi dan yang sewaktu dengannya.

3- Tidak sombong untuk kembali kepada kebenaran apabila yakin dirinya tersilap.

Imam Ahmad pernah menarik balik tuduhan bidaahnya kepada perbuatan seorang lelaki buta yang membaca al-Quran di sisi kubur selepas Muhammad bin Qudamah menyebut ada hadis menyokong perbuatan lelaki itu membaca awal dan akhir surah al-Baqarah.

Apabila dikebumikan jenazah, Muhammad bin Qudamah menyebut, "Aku mendengar Ibnu Umar mewasiatkan dengan perkara itu." Ulama menyebut, "Sesungguhnya untuk menjadi ekor dalam kebenaran lebih aku sukai daripada menjadi kepala dalam kebatilan."

Imam Syafie berkata, "Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang melainkan aku lebih suka dia diberi taufik, diluruskan, dibantu dan dikurniakan pemeliharaan serta penjagaan daripada Allah SWT. Aku tidak pernah berdebat melainkan aku tidak peduli sama ada Allah menzahirkan kebenaran itu melalui lidahku mahupun lidahnya."

4- Menjauhi masalah yang menyebabkan fitnah, pergaduhan dan huru-hara. Pada hari ini kita lihat ramai yang gemar membicarakan perkara yang mencetuskan kontroversi dalam masyarakat setempat.

Sangkaan mereka masyarakat sekitar termasuk tok guru tersilap. Kononnya mereka yang mengetahui hadis dan al-Quran. Kesan daripada adab ini dapat kita lihat melalui kehidupan imam mazhab empat seperti:

1) Saling memuji antara satu sama lain. Imam Syafie memuji Imam Abu Hanifah, "Manusia fakir (berhajat) kepada Abu Hanifah dalam fiqh." Imam Syafie memuji gurunya, Imam Malik, "Apabila disebut ulama, Malik ialah bintang yang bergemerlapan." Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya adakah Imam Syafie seorang pakar hadis lalu beliau menjawab, "Demi Allah, beliau seorang pakar hadis." Diulang-ulangnya sebanyak tiga kali.

Imam Syafie berkata, "Aku keluar dari Baghdad dan aku tidak meninggalkan di sana seorang yang lebih warak, lebih bertakwa, lebih faqih dan lebih alim daripada Ahmad bin Hanbal."

2) Saling menghormati antara satu sama lain. Penghormatan yang diberikan sesama mereka adalah dalil lain yang menunjukkan kasih sayang dan kekaguman yang terbuku di dalam hati sanubari mereka.

Imam Syafie membelek helaian kertas dengan lembut di hadapan Imam Malik kerana kagum dengan kehebatan beliau. Tujuannya supaya Imam Malik tidak mendengarnya. Imam Syafie tidak baca qunut ketika solat Subuh berdekatan kubur Imam Abu Hanifah kerana beradab dengannya.

Ini dalil yang menunjukkan mereka tidak hanya menghormati orang yang masih hidup malah apabila meninggal dunia.

3) Saling mendoakan antara satu sama lain dalam keadaan tidak diketahui tuannya. Imam Ahmad berkata, "Aku tidak pernah solat sejak 40 tahun yang lalu melainkan aku akan mendoakan untuk Imam Syafie rahimahullah."

Kita hendaknya selalu memohon kepada Allah untuk diberi petunjuk kepada kebenaran serta perkara yang menjadi perselisihan.

Kita lemah dalam segala hal kerana hawa nafsu sering mendahului yang menyebabkan jalan kebenaran tertutup.

Kita perlu menghormati pendahulu yang mendahului kita dalam iman dan amal selain tidak melupakan untuk mendoakan kebaikan serta kesejahteraan untuk mereka.


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)