• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Jangan banyak berdebat, wasiat ke-4 Hasan al-Banna

Fahri Abdullah al-Masri

Janganlah memperbanyak perdebatan dalam berbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Pertengkaran ini semata-mata tak akan mendatangkan kebaikan, demikian wasiat Hasan al-Banna.

Sememangnya, perdebatan lebih banyak mengundang kehancuran kerana pada realiti hari ini, umat Islam terdedah dengan sifat angkuh, kurang ilmu serta tidak menghormati kebenaran. Mereka lebih suka berdebat sekadar menonjol-nonjolkan kehebatan diri.

Sedangkan, yang jujur berdebat mengenai hal-hal dasar sangat kurang. Dalam pada itu, kita lihat ramai sekali yang suka berdebat akan memilih tajuk-tajuk yang ringan, bersifat rantingan dan ini tentunya membuang masa.

Sesetengah isu itu sudah lama didebatkan dan ia cuma diulang semula semata-mata mahu meraih publisiti, menonjol-nonjolkan kehebatan diri. Sudah tentulah hal ini membazirkan masa dan pendirian Islam berhubung masa sangat jelas.

Demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian. Demikian maksud ayat al-Quran yang ringkas dan padat dengan falsafah itu.

Mengundang lebih banyak pertengkaran
Sebenarnya bukanlah Hasan al-Banna tidak menggalakkan debat. Tetapi hampir kesemua debat ini lebih banyak mengundang parah dan bahaya perpecahan. Sebabnya, pihak yang berdebat itu tidak berbahas dengan ikhlas, berhikmah, beradab dan intelektual.

Mereka mungkin tak menjaga lidahnya daripada memaki hamun, mengeluarkan kata-kata kesat dan semua ini akan menyinggung perasaan pihak-pihak tertentu dan akhirnya akan menimbulkan pertengkaran yang berakhir dengan perpecahan.

Apabila berlaku lebih banyak perpecahan, maka yang untungnya adalah golongan kuffar yang sentiasa mengintai kelemahan dan meneropong pekung dalaman umat Islam sendiri. Dan, retak-retak perpecahan itulah yang melambatkan kemenangan dakwah Islam.

Hadis yang masyhur telah menyebutkan bahawa umat Islam ini terpecah kepada 73 puak. "Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 golongan dan umatku terpecah kepada 73 golongan. Semua mereka masuk neraka kecuali satu golongan yang selamat." Sahabat bertanya: "Siapakah yang selamat itu ya Rasulullah?" Rasulullah bersabda: "Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan hidup para sahabatku." (at-Tirmidzi)

Maka, perpecahan ini disebabkan oleh pemikiran berbeza. Jika mereka berjuang mencari kebenaran dengan kejujuran dan keikhlasan, bertujuan ingin berpandukan jalan hidup dan pemikiran Rasulullah serta para sahabat baginda, maka kemungkinan penyatuan bolehlah dilakukan semula.

Cabaran umat Islam makin berat
Sebetulnya, cabaran umat Islam memang berat dan mereka mestilah cuba mengurangkan ketegangan daripada sudut emosi dan pemikiran.

Suatu masa dahulu, umat Yahudi terancam oleh Roman dan mereka telah diperhambakan oleh bangsa Mesir. Maka, dengan ancaman ini, termasuk campuraduk ajaran para pendita yang tidak bertanggungjawabm mereka terpecah kepada 71 buah golongan.

Umat Kristian turut menerima tempias jarum-jarum Yahudi. Maulana Jalaludin Ar-Rumi lewat kitab Matsnawi menulis bagaimana satu rencana disusun dengan niat mengelirukan aqidah asal Nasrani hingga pada akhirnya mereka berubah menjadi Kristian.

Maka bermula saat itu hingga era kegelapan Eropah, Kristian dan Yahudi saling sengketa sesama mereka. Akhirnya, Islam tiba di celah-celah sengketa itu. Maka, serangan Yahudi dan Kristian ke atas Islam menyebabkan ancaman ke atas Islam bertambah berat.

Ini kerana, umat Islam dikepung pemikiran mereka dan maklumat latar hidup mereka dimonopoli para penjajah yang ada pertalian erat dengan Yahudi dan Kristian.

Maka, umat Islam yang sepatutnya memikul amanah sebagai umat pendakwah agama ini ke atas umat lain telah kalah dengan ujian pemikiran kerana sering bersengketa sesama sendiri, dalam mempertarung idea antara mazhab.

Alangkah baiknya, jika mereka mencuba bidang lain, meneroka bidang lain seperti usaha mengkaji agama-agama lain dan cuba mengheret perhatian penganut agama itu kepada Islam. Maka, debat-debat yang seperti inilah yang mungkin sesuai dilaksanakan.

Debat antara agama atau debat dalam agama?
Di akhir usia dunia hari ini, umat Islam sepatutnya membuat keputusan dengan bijaksana; adakah mereka mahu habiskan masa dengan bertarung idea sesama mazhab dalam Islam, atau menghabiskan waktu dengan bertarung idea bersama penganut agama lain?

Bertarung sesama sendiri, walaupun berlainan mazhab tidak ke mana-mana kerana akhir pada debat itu, kita sendiri mengaku bahawa kita sama-sama menganut Islam yang benar. Maka, tidak berbaloi untuk didebatkan lagi melainkan sekadar memuaskan hati.

Dan hal inilah yang mungkin membuang masa, menurut pendapat Hasan al-Banna. Tapi, jika kita mahu manfaatkan masa untuk mengkaji perbandingan antara agama agar dengan itu penganut agama lain dapat menyertai Islam sebagai agama universal ini, maka hal itu tentulah tidak membuang waktu.

Sekurang-kurangnya, jika tiada yang menganut Islam selepas debat antara agama-agama itu, setidak-tidaknya kita berjaya membuktikan bahawa Islam adalah agama Tauhid yang masih mempertahan kesucian pengabdiannya berbanding agama samawi yang lain.

Ringkasnya, berdebat dan bertengkar tentang masalah dalam agama Islam itu perlu kita kurangkan kerana ia banyak mengundang keburukan dna perpecahan, sebaliknya debat antara agama samawi lebih berfaedah kerana lebih banyak membawa kebaikan kerana ia termasuk dalam usaha menerangkan kedudukan Islam yang sememangnya tinggi.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)