• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kategori Umat Islam

Al Quran dan Hadis banyak menyebut tentang orang-orang Islam yang zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Kalau kita teliti betul-betul, kita akan dapati bahawa orang-orang yang dimaksudkan itu boleh dibahagi-bahagikan ke dalam beberapa kategori. Kalau kita kaji orang-orang yang dalam berbagai kategori ini, mungkin kita akan dapat faham kedudukan orang bertaqwa berbanding dengan orang-orang di kategori-kategori yang lain. Kita pun dapat mengukur di tahap mana diri kita, sama ada kita sudah selamat atau belum.

Kategori-kategori tersebut ialah:

1. Orang yang abai
2. Orang yang cuai
3. Orang yang lalai
4. Orang yang bertaqwa

ORANG YANG ABAI

Ertinya orang yang mengabaikan Tuhan dan syariat Tuhan. Dia itu Islam mungkin kerana datuk neneknya Islam dan emak ayahnya Islam. Maka secara automatik, dia pun Islam. Namun dia tidak fikir tentang Tuhan dan tidak fikir tentang syariat Tuhan. Dia tidak fikir tentang ibadah dan dia tidak fikir tentang halal dan haram. Tuhan ada atau tidak, tidak penting baginya. Tuhan ada atau tidak ada, sama sahaja baginya.

Begitulah rasa hati orang yang mengabaikan Tuhan.Dia hidup mengikut gaya dan corak yang disukainya. Tidak mengikut syariat yang ditetapkan oleh Islam. Lebih tepat lagi, dia mengikut hawa nafsunya. Kalau kita tanya apa agamanya, dia kata dia Islam. Tetapi Islam itu tidak nampak pada dirinya, peribadi dan tingkah lakunya. Islamnya hanya berdasarkan keturunan dan warisan.

ORANG YANG CUAI

Ini baik sedikit dari orang yang abai. Orang cuai ini, dia rasa bertuhan tetapi di waktu-waktu yang tertentu sahaja terutama di waktu dia susah, di waktu dia sakit dan di waktu dia diuji. Di waktu-waktu itu dia mengeluh, “Wahai Tuhan!!” Waktu senang, dia langsung tidak ingat Tuhan. Ibadahnya mengikut keadaan. Apabila dia tidak sibuk dia beribadah ala kadar. Apabila dia sibuk atau dia tidak ada mood, dia tidak sembahyang dan tidak puasa. Begitu juga dengan perkara halal haram. Ada masa dan dalam sesetengah hal, dia tidak buat yang haram. Pada masa dan dalam sesetengah hal yang lain pula, dia selamba sahaja buat yang haram.

Dengan kata-kata yang lain, orang yang cuai ini, dia buat sedikit tetapi banyak yang dia tidak buat. Sebahagian kecil dia buat, sebahagian besar dia tinggalkan. Atau dia buat suruhan agama bermusim- musim. Dia tidak rasa menyesal dan tidak rasa bersalah atau berdosa di atas semua itu.

ORANG YANG LALAI

Orang ini, soal lahiriahnya termasuk ibadahnya sangat baik dan tidak boleh dipertikaikan. Semuanya selesai, semuanya beres. Kalau dipandang secara lahir, orang akan kata dia orang agama, orang baik, ahli ibadah. Segala rukun Islam dibuatnya, ditambah pula dengan yang sunat-sunat. Dia buat umrah, baca Quran,wirid dan zikir. Tasbih sentiasa di tangan. Orang ramai sekampung memujinya. Mereka kata, “Baik orang itu.” Amalan agamanya yang lahir beres. Syariat lahirnya selesai. Yang tidak selesai dan yang tidak beres ialah hatinya.

Semakin banyak beribadah, dia semakin tamak, semakin bakhil, semakin hilang rasa takut dengan Tuhan, semakin tidak ada rasa hamba dan dia rasa selamat dengan ibadahnya yang banyak itu. Dia tertipu dengan sembahyang dan ibadah-ibadahnya yang lain. Orang melihat dia seperti beragama tetapi hakikatnya dia adalah orang yang lalai. Manusia kata dia baik tetapi Tuhan kata dia tidak baik sebab hatinya tidak takut dan tidak cinta dengan Tuhan. Dia masih megah, angkuh, cinta dunia dan gila puji walaupun sembahyangnya banyak, puasanya banyak, baca Quran, wirid dan zikirnya banyak. Tuhan kata dia orang yang lalai. Walaupun dia tidak lalai dengan ibadah lahiriah tetapi hatinya lalai dengan Tuhan.

Hakikat ini membuatkan kita cemas. Orang yang dianggap beragama pun tidak selamat kerana faktor lalai. Dan lalai itu bukan perkara lahir tetapi perkara hati. Tidak takut Tuhan, tidak takut dengan dosa, itu termasuk lalai walaupun sembahyang banyak, puasa banyak, wirid, zikir dan baca Quran banyak.

ORANG YANG BERTAQWA

Orang yang bertaqwa pula dia sempat buat ibadah yang wajib sahaja. Ibadah-ibadah sunat kurang. Itupun ibadah sunat yang dibuat hanya yang besar-besar sahaja. Yang kecil-kecil tidak dibuat. Kalau dibandingkan ibadahnya dengan ibadah orang yang lalai atau ahli abid, sangat jauh bezanya. Banyak kurangnya. Tetapi dia takut dan cinta dengan Tuhan. Rasa bertuhannya tebal. Hatinya sentiasa rasa tidak selesai dengan Tuhan.

Dia tidak rasa dirinya baik malahan dia rasa dirinya orang yang paling jahat, hina dan tidak berguna. Inilah orang yang bertaqwa.Walaupun dia buat ibadah yang wajib sahaja dan yang sunat kurang, namun dengan Tuhan hatinya sentiasa bergelombang dan bergelora macam air laut yang tidak pernah tenang. Dia kurang buat ibadah-ibadah sunat yang kecil-kecil sebab terlalu sibuk, terlalu letih dan tidak ada masa kerana terlalu banyak membantu dan menolong manusia serta membuat kerja-kerja masyarakat. Masanya banyak dimanfaatkan untuk orang ramai.

Ibadah hablumminallahnya kurang tetapi yang hablumminannasnya banyak. Ibadah ini lebih besar pahalanya dari ibadah-ibadah sunat. Rasulullah SAW ada bersabda: Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” Memberi manfaat kepada manusia lain dengan tenaga, ilmu, minda, kuasa, wang ringgit dan lain-lain itu adalah lebih besar. Buktinya orang yang banyak ibadah pun tidak sanggup hendak berbakti, berkhidmat atau berkorban apa yang ada padanya untuk manfaat orang lain.

Orang bertaqwa tidak membuat dosa. Kalau dia sedar dia terbuat dosa, sehari suntuk jiwanya akan terseksa. Dia rasa menyesal, menderita dan dukacita. Dia akan buat ibadah-ibadah tambahan yang lain untuk menutup dan menebus dosanya itu. Begitulah kategori orang-orang Islam berdasarkan apa yang disebut dalam Quran dan Hadis sebagai zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Mengikut kategori-kategori ini, barulah kita tahu dan sedar tentang letak duduk orang bertaqwa berbanding orang yang abai, cuai dan lalai. Umat Islam sekarang ini hina-dina di mana-mana, tidak dibantu, tidak dilindung dan tidak dibela oleh Tuhan kerana orang Islam yang bertaqwa terlalu sedikit jumlahnya. Ia masih kumpulan minoriti.

Yang terbanyak ialah orang Islam yang abai, diikuti orang Islam yang cuai dan lalai. Tuhan tidak membantu dan tidak membela orang Islam yang abai, cuai dan lalai ini. Tuhan hanya akan membantu orang Islam yang bertaqwa sahaja. Di Akhirat nanti, hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan selamat.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)