• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kedahsyatan Sebenar Kiamat Sukar Dijangkau Akal

Oleh Abdul Razak Idris

Kemusnahan alam dipaparkan dalam filem hanya gambaran terhad dari kaca mata manusia

FILEM selain untuk hiburan, ia juga menjadi sumber rujukan dan satira dalam masyarakat. Namun ada kalanya ia dilihat sudah bersifat melampaui akal logik manusiawi yang dahagakan hiburan sambil mengutip sedikit pengajaran. Di negara ini penerbit dan pengarah filem sering menguar-uarkan filem mereka sebagai penuh elemen moral dan Islamik walaupun ia sebenarnya memerlukan lebih penjelasan daripada mereka sebelum kita bulat-bulat menerima pernyataan itu.

Filem dari barat selepas berakhirnya era fobia kepada Y2K banyak memaparkan elemen kepercayaan agama tertentu mengenai tanda awal kiamat seperti dalam filem End of Days, Stigmata, Knowing dan terbaru 2012. Lupakan apakah moral filem sedemikian melainkan ia hanya ingin menonjolkan bahawa tamadun kita sudah mencapai tahap optimum dan segala-galanya akan berakhir tidak lama lagi, hanya Allah SWT yang maha mengetahui.




Kehebatan imej janaan komputer (CGI) menghasilkan filem mega dari Hollywood hasil tangan manusia kreatif seperti Star Wars, Terminator, Titanic, Spiderman, Batman dan berpuluh lagi filem fiksyen yang ada 'sumbangan' ikhlas sebahagian daripada kita yang membeli tiket wayang. Kehadiran filem 2012 yang menggambarkan kiamat bukan sesuatu yang boleh dianggap remeh. Gambaran CGI yang memaparkan kemusnahan alam maya ini dibuat dengan penuh teliti. Tsunami setinggi Everest, gempa yang membelah bumi dan letusan gunung berapi yang membadai hebat amat menggetarkan hati sesiapa yang menontonnya.

Sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya kepada hari kiamat dan kepercayaan ini perlukan keyakinan yang sebenar-benarnya bahawa kita akan melaluinya tidak kira kiamat kecil (kematian) atau kiamat yang sebenar-benarnya. Kita sebagai insan wajib mempercayai bahawa filem adalah gambaran hasil ilmu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia. Daripada penulis cerita, lalu diangkat menjadi skrip dan lakon layar diadun pula oleh pengarah dan pasukan kreatifnya lalu jadilah sebuah filem yang kelihatan hidup tetapi bukan yang sebenar-benarnya.

Ia tetap rahsia Allah SWT walau bermacam ramalan dilakukan manusia sejak berzaman. Seperti dalam filem 2012 ramalan kiamat berlaku dibuat oleh kaum Maya melalui kalendar ortodoks mereka. Ada juga ajaran sesat yang percaya kiamat akan berlaku menelan racun beramai-ramai untuk mengelakkan diri menghadapi situasi apabila kiamat berlaku. Akhirnya mereka mati katak atau mati sesat mengikut pemimpin songsang mereka.

Kiamat dalam agama Islam juga disebut sebagai hari pembalasan, hari pengadilan atau hari kebangkitan, hari di mana manusia dan bumi ini akan musnah sekelip mata lalu dibangkitkan dari kematian untuk diadili di Padang Mahsyar. Namun bencana yang melanda dunia yang kita diami pada hari ini seakan riak-riak kecil atau petanda awal bahawa kiamat dan mati tidak jauh dari kita hanya kita yang seakan ego tidak bertepi.

Tsunami yang melanda Sumatera pada Disember 2004 meragut ratusan ribu nyawa dan sesungguhnya ia tidak jauh dari negara kita dan ada juga korban nyawa dan kemusnahan fizikal turut membabitkan rakyat negara ini. Kita tidak boleh lagi mendabik dada mengatakan kita jauh dari bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami lagi kerana ia semakin dekat dan semakin menggegarkan kita seperti yang berlaku di Bukit Tinggi Pahang dan gempa bumi di Padang, Sumatera.

Gempa bumi di Padang adalah realiti yang tidak dapat disangkal lagi. Bumi atau tanah merekah dan menimbus hidup-hidup semua penduduk kampung dan menghilangkan langsung landskap sebahagian tanah adat perpatih yang asal.

Kita sebagai umat Islam perlu lebih bertaqwa dan beriman dengan Rukun Iman yang satu daripadanya ialah percaya kepada hari kiamat dan percaya kepada qada dan qadar. Kiamat adalah realiti yang belum lagi berlaku dan wajib bagi kita mempercayai sebagai sebahagian dari akidah kita.

Tragedi yang berlaku akibat taufan yang semuanya bernama wanita seperti Katrina, Wilma dan sebagainya adalah gambaran hidup yang boleh kita saksikan di televisyen bahawa manusia tidak dapat menentang kuasa Allah SWT walau sehebat mana mereka membina teknologi.

Kisah 25 rasul dalam menyebarkan ajaran Islam turut menyaksikan peristiwa dahsyat yang menimpa umat manusia yang tidak beriman dengan Allah SWT.

Kaum Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir besar, begitu juga kaum Nabi Musa yang diketuai Firaun tenggelam kelemasan bersama bala tenteranya ketika memburu Nabi Musa yang menyeberang laut yang terbelah dua setelah dipukul permukaan laut dengan tongkat baginda.

Begitu juga dengan takdir yang menimpa kaum Nabi Lut yang diterbalikkan bumi ke atas mereka kerana nafsu rakus mereka yang mengamalkan seks sejenis. Kisah kaum Nabi yang menerima balasan kerana kufur nikmat dan tidak beriman dengan Allah SWT selalunya berakhir dengan balasan bencana fizikal yang dahsyat dan mengerikan.

Gambaran yang dibuat oleh filem mutakhir tidak lebih daripada gambaran berasaskan rujukan bersifat keagamaan dan realiti kiamat yang digambarkan dari kaca mata manusia yang terhad pengamatannya.

Sesungguhnya kiamat yang sebenarnya jauh dari realiti yang digambarkan di layar perak oleh sutradara Barat. Filem 2012 sendiri hanya gambaran peristiwa kiamat yang belum sampai takdirnya yang mana dalam filem itu ia berakhir dengan muka bumi Allah SWT ini berubah dari kedudukan asalnya dan manusia masih berjaya meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Lambang makhluk yang memiliki ego yang tidak bertepi. Secara mudahnya moral filem mengenai kemusnahan duniawi seperti filem 2012 menunjukkan kepada kita bahawa kemusnahan dunia ini akan berlaku apabila kita tidak lagi bersifat manusiawi atau berlakunya kiamat dalam sifat kemanusiaan. Mungkin itu moralnya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)