• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kelebihan Menerima Tetamu, Adab Ziarah Ketika Aidilfitri

Perspektif Ikim: Kelebihan menerima tetamu, adab ziarah ketika Aidilfitri

Oleh Mastura Mohd Zain

RAMADAN semakin berakhir, Syawal bakal menjelma akhir minggu ini. Tentunya kanak-kanak paling gembira kerana menerima duit raya. Selalunya mereka akan pergi ziarah raya dari rumah ke rumah bersama rakan-rakan. Tujuannya bukan untuk menziarah sangat, lebih bertumpu kepada duit raya yang diberi tuan rumah apabila bersalaman.

Duit raya yang dihulur mungkin suatu 'paksaan' bersedekah. Sebenarnya syarat bersedekah ialah ia mesti diberi dengan ikhlas sekadar termampu. Ada ibu bapa yang memberi duit raya kerana orang lain memberikan duit raya kepada anak mereka. Jika tidak dibalas takut berkecil hati, lantas memberi kerana terpaksa atau menutup malu. Pemberian sedekah begini tentu kurang dari segi keikhlasannya.

Ada juga yang berniat untuk menunjuk-nunjuk ketika memberi duit raya kepada kanak-kanak. Niat perlu betul, jangan sampai hangus pahala sedekah yang diberi. Seeloknya dimasukkan di dalam sampul agar jumlah wang yang diberi tidak dapat dilihat orang lain.



Kanak-kanak juga harus diingatkan agar jangan hanya berhari raya di rumah orang kaya saja. Tujuan asal berziarah pada hari raya adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama Islam. Oleh itu jangan dipinggirkan mereka yang miskin dan kurang berkemampuan untuk memberi duit raya. Didik anak agar tidak terlalu menjadi mata duitan. Walau macam mana daif pun tuan rumah, mereka tetap gembira menerima kunjungan anak-anak pada hari raya.

Anak perlu diberitahu adab ke rumah orang agar tidak cacat tujuan ziarah itu sendiri. Tujuan berziarah adalah untuk bermesra bersama jiran atau saudara-mara sambil bertanya khabar. Jangan pula tidak makan, tidak minum mahupun berbual, tetapi hanya duduk semata-mata menanti sampul duit raya. Ini tentunya bertentangan dengan semangat berziarah untuk bergaul dan mengeratkan lagi hubungan.

Seperkara lagi ada anak yang mengunjungi sesebuah rumah sehingga dua tiga kali semata-mata untuk menambah duit raya. Tuan rumah selalunya tidak menyedari kanak-kanak itu pernah singgah lantas memberikan duit raya sekali lagi. Jangan pula mengambil kesempatan kebaikan tuan rumah untuk membuat duit raya. Berilah peluang kepada orang lain pula untuk menerima duit raya .

Namun sejak akhir-akhir ini didapati semakin ramai yang tidak gemar membuka pintu kepada anak-anak yang datang beraya. Ramai yang 'tutup pagar' takut dikunjungi kanak-kanak yang datang untuk beraya di rumah mereka. Ada yang pura-pura tiada di rumah atau ada yang sedang duduk di rumah tetapi hanya buat tidak tahu apabila kanak-kanak memberi salam dan hendak beraya.

Ada yang malas dan takut letih melayan kerenah mereka. Mungkin juga kerana takut 'terpaksa' beri duit raya kepada kanak-kanak itu. Tetapi jika kita kurang bersedekah pada masa-masa lain, masa inilah paling sesuai untuk kita bersedekah kepada kanak-kanak yang datang berziarah. Masa inilah juga kita dapat berkenalan sekurang-kurangnya dengan bertanya "kamu ini anak siapa dan tinggal di mana?"

Luangkan sedikit masa untuk anak yang bertandang ke rumah kita. Tidak perlu tunggu 'rumah terbuka' baru hendak melayan mereka. Pamerkan kemesraan dan sifat kasih sayang kepada anak-anak yang datang menziarah. Tetamu yang datang berkunjung ke rumah akan menghapuskan dosa tuan rumah. Apatah lagi apabila dia mendoakan kesejahteraan kita kerana melayannya dengan baik. Hidup kita akan dilimpahi keberkatan.

Jika kita tutup pintu kepada generasi muda ini, mereka akan bertambah jauh dari kita. Maka jangan pula mereka ini disalahkan jika mereka lebih gemar mendengar nasihat rakan sebaya, internet serta lebih banyak menghabiskan masa di depan kaca televisyen yang sememangnya banyak menyiarkan rancangan menarik ketika sambutan raya.

Harus diingat raya bukanlah hari untuk bersuka ria semata-semata, sebaliknya ia adalah perayaan keagamaan. Maka cara menyambutnya perlulah mengikut adab agar kita akan mendapat ganjaran-Nya.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)