• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kemerdekaan Spiritual Menurut Al-quran

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

SPIRITUAL manusia berpusat pada kalbu, dan di dalam kalbu manusia sudah ada potensi-potensi spiritual yang merupakan format dasar kemanusiaan. Hakikat diri manusia adalah diri yang rohaniah/spiritual yang telah tercipta sebelum adanya tubuh biologis (basyar).

Ketika manusia masih dalam wujud roh di alam lahut, roh merupakan wujud pertama manusia dalam proses penciptaannya sebelum diturunkan ke bumi dan dimasukkan ke dalam tubuh jasmaniah (basyar). Allah SWT mempersiapkan basyar (tubuh biologis) hanya sebagai wadah bagi manusia rohaniah itu.

Inti roh yang menjadi pusat diri manusia adalah kalbu. Di dalam bahasa Arab dikenal ada dua jenis kalbu: Kalbu jasmaniah berupa gumpalan daging iaitu jantung, dan kalbu rohaniah yang dalam bahasa kita disebut hati nurani.

Di dalam kalbu rohaniah inilah terletak fitrah iaitu sifat-sifat ketuhanan berupa kesedaran, perasaan, kecerdasan, iman dan iradah. Jadi, sejak diturunkan dari sisi Allah SWT, manusia rohaniah itu kalbunya tidak kosong. Sebabnya, di dalam kalbu itu Allah sudah menempatkan potensi-potensi dasar spiritual (fitrah), bibit iman, moral, ilmu dan kemerdekaan.

Firman Allah bermaksud: Tinggallah engkau dan isterimu di dalam kebun ini dan makanlah segala yang tersedia berlimpah, yang mana sahaja yang kamu kehendaki... (al-Baqarah: 35).

Berapa besar kebebasan (kemerdekaan) yang Allah berikan pada Adam? Kebebasan yang mutlak. Adakah kebebasan itu hanya untuk Adam dan Hawa sahaja? Ataukah sepanjang di dalam kebun (syurga) itu sahaja?

Kebebasan yang Allah beri amat luas hingga sampai seluruh manusia di muka bumi ini bebas bahkan untuk membangkang Allah sekali pun, sebagaimana firman Allah bermaksud: Kalau Tuhanmu menghendaki, Dia boleh membuat semua yang ada di muka bumi beriman kepada Dia. (Yunus: 99).

Timbul persoalan, mengapa Allah memberi kebebasan yang begitu luas kepada manusia hingga manusia bebas untuk membangkang Allah sehingga manusia berbuat jahat di muka bumi?

Sebagai wakil Allah yang akan memimpin kehidupan di muka bumi, manusia akan banyak menghadapi masalah. Bagi menyelesaikan masalah itu maka manusia haruslah merupakan makhluk yang kreatif. Maka untuk menjadi kreatif, Allah berikan ilmu dan kebebasan kerana ilmu dan kebebasan adalah bahan baku untuk munculnya kreativiti.

Kreativiti yang berlandaskan ilmu pengetahuan dan kemerdekaan, adalah salah satu dari hal-hal yang paling awal Allah berikan kepada manusia. Dengan ilmu manusia akan menjadi cerdas dan banyak mengetahui, dan dipandu dengan kemerdekaan kecerdasan berubah menjadi daya cipta yang hebat yang menyebabkan peradaban manusia berkembang progresif.

Perkara yang merosak fitrah manusia adalah hawa nafsu, iblis, syaitan, dan agen-agen diayah wali syaitan. Firman Allah bermaksud: Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?" (Taha: 120).

Iblis menyusup ke kebun kelimpah ruahan (jannah) dan memujuk Adam, manusia pertama di bumi dengan janji keabadian dan kejayaan tanpa batas dengan cara memakan buah pohon terlarang (khuldi). Rupanya Adam tergiur mendapatkan keabadian dan kejayaan tanpa batas, maka Adam pun memakan buah tersebut. Lalu apa yang terjadi?

Firman Allah bermaksud: Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga, dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). (Taha: 121).

Apabila manusia menurut hawa nafsunya yang berupa hasrat keabadian dan keserakahannya, maka akan nampaklah segala hal yang memalukan dari dirinya, terkuaklah segala aib yang menghinakannya.

Manusia menjadi telanjang dan pakaiannya rontok. Sedangkan pakaian adalah simbol keberadaban, martabat dan status sosial, yang tiada lagi berguna ketika manusia menurut hasrat hawa nafsunya dengan mengabaikan fitrahnya.

Ketika Allah melarang mendekati pohon terlarang itu, sebenarnya Allah sedang memberi latihan dan pendidikan kepada Adam mengenai suatu kebebasan bukanlah tanpa batas, harus dikendalikan. Titik lemah manusia adalah hasrat keabadian dan keserakahan dan iblis adalah musuh yang nyata bagi manusia.

Adam bertaubat dan memohon ampun, Allah menerima taubat dan mengampuni Adam. Lalu Adam dikeluarkan dari 'kebun pelatihan' untuk turun ke bumi menjalani misinya sebagai hamba Allah sekali gus khalifah Allah di bumi.

Spiritual oleh jin dan manusia

Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya), sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. (Faatir: 6)

Syaitan dan jin dapat dengan mudah menipu daya manusia dengan terlebih dahulu dikuasai kesedarannya. Misalnya dengan mengamalkan ilmu batin, ghaib dan lain-lain. Para syaitan dan jin memujuk manusia terlibat di dalamnya dengan menawarkan berbagai jenis spiritual.

Di kalangan manusia ada yang memelihara jin dan makhluk halus lainnya untuk mempengaruhi manusia, sehingga orang tersebut menjadi hamba jin. Daripada sini manusia diperhambakan oleh jin sehingga orang tersebut menjadi hamba jin dan dia tidak lagi disebut sebagai orang yang bebas merdeka. Jalan untuk mencapai makrifatullah terputuslah sudah.

Sesungguhnya jin dapat bebas keluar masuk ke dalam tubuh manusia, baik secara memberi informasi mahupun mengadakan tipu daya langsung melalui hatinya.

Firman Allah bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekelian manusia. Yang menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekelian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia". (an-Naas: 1-6).

Justeru, manusia dilarang keras bekerjasama dengan jin kerana itu menyebabkan syirik kepada Allah. Walaupun dia mengaku sebagai jin Islam atau malaikat sekalipun.

Ciri-ciri khas manusia yang terkena efek ilmu seperti itu adalah hilangnya kesedaran logikal dan rasionalnya serta tumpulnya hati nuraninya. Oleh itu berhati-hatilah ketika kita bergaul di dunia maya ini, banyak penipu, pemerkosa, dan lain-lainnya berkeliaran untuk mencari mangsanya.

Berwaspadalah dalam berguru ilmu batin, kerana ada guru spiritual yang membebaskan spiritual kita dan ada guru spiritual yang menghambat kemajuan dan kejayaan kita zahir dan batin. Mereka telah membunuh kemerdekaan spiritual manusia.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)