• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kemewahan Harta Dunia Perlu Diiringi Kekayaan Jiwa

Perspektif Ikim: Kemewahan harta dunia perlu diiringi kekayaan jiwa
Oleh Nur Syahidah Abdul Jalil

HARTA adalah nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia sebagai ujian. Kaya dan miskin, adalah dua isu yang sering kita kaitkan dengan harta. Harta juga penyebab kepada kegembiraan, kebahagiaan juga menjadi alasan kepada permusuhan, dendam dan pertumpahan darah.

Banyak teladan yang dikaitkan dengan dua isu ini seperti kisah Si Tenggang yang derhaka selepas menjadi kaya dan kisah Qarun yang enggan mengeluarkan zakat dan sebagainya. Namun harus diingat bahawa kekayaan bukanlah sesuatu yang keji atau perlu dielakkan oleh umat Islam.

Malah menurut Ibn Qayyum, kekayaan yang dimiliki seseorang itu membantunya melaksanakan kebaikan seperti menunaikan haji, bersedekah, membina masjid dan amalan baik lain. Jangan pula menganggap hidup dalam keadaan tidak berharta itu baik lantaran hati akan sering mahukan keselesaan dunia yang tidak diperoleh.




Sehinggakan kadang-kala mendorong untuk melakukan perbuatan salah. Lihat saja kejadian ragut baru-baru ini yang menimpa sepasang suami isteri sehingga mengorbankan nyawa. Isteri menjadi balu dan anak yang masih kecil menjadi yatim. Inilah kesan sikap untuk mencari sekelumit kekayaan dunia dengan cara mudah.

Sejak zaman berzaman manusia begitu mengejar kekayaan sehingga terlupa bahawa hatilah yang utama perlu dikayakan. Dalam satu hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Bukhari: "Yang dikatakan kaya itu bukanlah kerana banyak harta benda, tetapi sebenar-benar kaya ialah kaya jiwa (hati)" . Kekayaan inilah yang patut dikejar oleh semua peringkat manusia sama ada yang berharta atau tidak berharta. Kaya jiwa adalah kaya dengan sifat kebaikan, kaya budi pekerti dan kaya harga diri.

Kekayaan jiwa adalah kekayaan hakiki. Tidak ramai yang mempunyai kekayaan harta memiliki kekayaan jiwa. Kaya jiwa apabila imannya kukuh, hatinya kental dalam apa juga keadaan. Bila seseorang itu kaya hati, miskin atau kaya keadaannya sama saja. Sama sekali tidak menyusahkan hatinya atau menggugatkan jiwanya.

Namun adalah sangat malang jika miskin harta datang bersama dengan miskin jiwa. Miskin jiwa bukan hanya tidak pernah bersyukur dengan harta yang sedikit kita miliki atau keengganan membuat amal kebajikan. Miskin jiwa juga adalah sikap buruk yang menjadi amalan hari demi hari. Kejadian ragut adalah cerminan manusia yang jiwanya miskin dan kosong. Sudahlah miskin harta kerana mendorongnya melakukan ragut, hatinya juga miskin kerana sanggup membunuh demi secebis harta yang sedikit itu.

Miskin jiwa ini sangat berbahaya kerana boleh menghinggapi segenap lapisan masyarakat tidak kira kaya atau miskin, pangkat atau darjat. Ini kerana jiwa yang miskin boleh mendorong kita melakukan penindasan, permusuhan dan jenayah kerana hati tidak pernah bersyukur dengan apa yang dimiliki apatah lagi untuk berasa cinta dan belas kepada sesama manusia.

Pendidikan adalah aspek yang penting dalam usaha memurnikan jiwa insani. Pemurnian jiwa dalam masyarakat bukan hanya melalui ceramah atau kuliah sebaliknya melalui pergaulan, pemerintahan, bantuan serta mengambil berat sesama kita. Anak-anak pula perlu didedahkan bukan sekadar dengan didikan akademik malah perlu kepada didikan agama dan moral. Hal ini supaya jiwa mereka tidak kosong seterusnya menjadikan mereka insan yang berguna dan kaya jiwanya pada masa hadapan.

Kayakanlah jiwa kita dengan rasa takwa, syukur, ikhlas, belas serta menghormati orang lain. Jangan ditunggu orang lain mengubah sikap masing-masing terlebih dulu ataupun menunggu orang lain untuk mengubah sikap kita. Sesungguhnya rugilah bagi mereka yang hanya mengejar harta dunia tetapi miskin jiwanya kerana tiada tempat baginya di samping orang yang dikasihi Allah.






Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)