• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kepemimpinan Dalam Takwa, Iman Wujudkan Keharmonian

Oleh Dr Aminudin Mansor

KEADILAN penting dalam pemerintahan, begitu juga kepemimpinan dalam sesebuah keluarga akan dipersoalkan di akhirat kelak. Setiap daripada kita adalah pemimpin bagi diri keluarga, masyarakat dan negara.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir mereka.” - (Hadis riwayat Muslim)

Ciri pemimpin yang baik mestilah perlu mempunyai kecerdasan spiritual tinggi dan memahami penderitaan serta kehendak rakyat dipimpinnya. Begitulah sebagai ibu atau bapa mesti memahami kehendak ahli keluarga dipimpinnya dan bertindak adil dengan penuh kesedaran.

Menurut K H Dewantara, pemimpin di hadapan memberi contoh sehingga dapat diteladani, di tengah memberi dorongan semangat dan mengikuti dari belakang dengan memberi kekuatan dalam usaha melaksanakan tugas.

Muhammad Iqbal berkata, seseorang pemimpin mesti mempunyai semangat patriotisme. Oleh sebab itu, seseorang pemimpin mestilah memerintah dengan bijaksana, ia akan dipatuhi dengan senang hati oleh orang dipimpinnya.

Sewajarnya, seseorang pemimpin mestilah berakhlak, beradab, berani bertindak, bersikap adil, lemah lembut, penyayang, saksama, berdisiplin, selalu bermusyawarah, memudahkan dan mempunyai misi mengarah ke masa hadapan.

Aisyah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sebahagian tanda orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling berakhlak mulia dan paling lembut kepada keluarganya.” - (Hadis riwayat Tirmidzi dan Al-Hakim)

Perilaku seseorang pemimpin yang baik akan menjadi ikutan kepada orang dipimpin. Apabila perilaku baik, sifat ini akan menjadi ikutan dan teladan kepada orang dipimpin ke arah mewujudkan ummah cemerlang di dunia dan akhirat.

Khalifah Umar Al-Khattab adalah contoh pemimpin yang berani dan tegas. Selain itu, beliau juga mempunyai sifat dan rasa kasih sayang tinggi, adil dalam menghukum, suka bermusyawarah, tidak sombong, pendengki dan tidak pendendam.

Beliau mendahulukan kepentingan masyarakat daripada kepentingan peribadi. Suka menerima kebenaran daripada sesiapa saja, sederhana, tidak berlebihan dalam makan minum, berpakaian dan hidup seperti rakyat biasa. Beliau sangat benci kepada yang batil dan berani membela yang benar.

Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata: “Janganlah engkau datangi sesuatu yang tidak penting bagimu! Jauhkan diri daripada musuhmu. Awaslah daripada temanmu yang ramai, kecuali teman kepercayaanmu! Jangan kau percaya selain orang yang takut kepada Allah. Jangan engkau berteman dengan orang zalim, kerana nanti engkau peroleh pengetahuan dari kezalimannya! Jangan engkau perlihatkan kepadanya rahsiamu! Dan bermusyawarah dalam urusanmu dengan mereka yang takut kepada Allah.”

Sebagai pemimpin Saiyidina Umar Al-Khattab seorang yang berani, tegas, disegani oleh kawan dan lawan, berakhlak mulia, berhati jujur dan perkataannya selalu benar. Begitu juga khalifah pertama, Abu Bakar As-Siddiq, yang lebih cinta kepada Allah dan Nabi SAW melebihi cintanya kepada harta benda serta anak serta isterinya sendiri.

Sebagai pemimpin, beliau adalah seorang yang gagah berani, suka menolong orang miskin, memuliakan tetamu, pemurah lagi bersopan santun serta dermawan.

Antara kata nasihatnya: “Aku adalah manusia biasa dan aku bukanlah manusia yang terbaik di antara kamu. Apabila kalian lihat perbuatanku benar, ikutlah aku, tetapi apabila kalian lihat perbuatanku salah, maka perbetulkan aku.”

Begitulah sifat rendah diri dan tawaduk yang ada pada pemimpin yang juga sahabat walaupun termasuk antara mereka yang mendapat jaminan masuk syurga.

Oleh sebab itu, sebagai pemimpin, baik pemimpin negara, di pejabat, rumah dan dalam kalangan masyarakat, sifat ketakwaan dan keimanan kepada Allah dan Nabi SAW penting bagi mewujudkan keharmonian dalam negara dan masyarakat.

Sesungguhnya, sabda Nabi SAW ini seharusnya menjadi renungan dan pandangan kepada kita. Sabdanya yang bermaksud: “Kamu semua adalah penjaga (pemimpin). Dan kamu semua bertanggungjawab terhadap penjagaan (orang yang dipimpin).” - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)